Judul: Intelektual Masyarakat Membangun

Penulis: Syed Hussein Alatas

Harga: RM18.00

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Pengulas: Jaymani a/p Sevanathan

APAKAH yang dimaksudkan dengan intelektual? Menurut James Maccregor Burns dalam bukunya Leaderships, intelektual adalah “a devotee of ideas, knowledge and values” atau seorang yang terlibat secara analitis dan kritis dengan nilai, tujuan dan cita-cita yang diperjuangkan. Intelektual juga pendukung atau penentang sesuatu ideologi, budaya dan pembawaan masyarakat serta melihat perkara dalam perspektif yang berbeza.

Buku yang asalnya dalam bahasa Inggeris dengan tajuk Intellectuals in Developing Societies ini mengandungi 11 bab. Antara bab yang menjadi perhatian pengulas adalah yang menjelaskan berkenaan bebalisme, iaitu orang pandir dalam masyarakat membangun, kemunculan kaum intelektual dan kaum elit mundur dan masalah penyebabnya. Buku ini secara umumnya tidak memberi kita penyelesaian secara langsung kepada masalah kemunduran yang dihadapi tetapi penulis memberi kita kesedaran dan pemikiran bagaimana kita ingin menyelesaikan cabaran yang dilalui oleh pemimpin dan masyarakat.

Penulis bimbang dan memberikan perhatian kepada kemunduran masyarakat dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, politik, sosial dan kebudayaan. Bagi beliau, faktor kepada masalah ini adalah kekurangan kepimpinan intelektual ataupun golongan ini wujud tetapi gagal untuk berfungsi dengan sempurna. Beliau juga membawa tiga persoalan, iaitu mengapa kelompok intelektual diperlukan dalam masyarakat yang berkembang? Persoalan seterusnya adalah jenis (kelompok) yang terbaik untuk memenuhi keperluan itu dan persoalan yang terakhir adalah rintangan yang menghalang kemunculan dan berfungsinya kelompok ini. Dalam konteks masyarakat, masalah yang seharusnya diberikan perhatian oleh kelompok intelektual terbahagi kepada dua, iaitu masalah teoretis dan masalah praktikal.

Menurut Syed Hussein, masalah utama dalam bidang pengetahuan ialah minda tertawan (captive mind). Menurut teori tawanan minda, minda tertawan itu bercirikan cara berfikir yang dikuasai oleh pemikiran Barat. Salah satu daripada tujuan utama intelektual adalah membebaskan diri daripada tawanan minda ini.

Dalam buku ini, kita dapat melihat penulis mencipta suatu istilah, jadong, iaitu jahat, bodoh dan sombong. Pemimpin atau masyarakat yang memiliki sikap ini pastinya tidak dapat memberikan sumbangan dan menjadi halangan kepada pembangunan sesebuah masyarakat dan negara.

Suatu perkara yang kita perlu sedar adalah golongan intelektual tidak semestinya yang memiliki kelayakan akademik. Sebaliknya, seseorang yang tidak mempunyai sebarang kelayakan akademik dapat menjadi intelektual apabila kemampuan berfikirnya dimanfaatkan sebaik-baiknya. Ahli politik juga tidak semestinya golongan intelektual. Sesiapa sahaja boleh menjadi intelektual walaupun berlatarbelakangkan perkerjaan dan taraf pendidikan yang berbeza. Sama juga dengan situasi semasa negara apabila sesetengah golongan terpelajar tidak dapat berfikir dengan kritis dan analitis dalam proses membuat keputusan dan menyelesaikan masalah.

Seterusnya, penulis juga menerangkan konsep intelektual dan inteligensia yang sering dikelirukan maksudnya. Inteligensia bermaksud, mereka yang telah mendapat pendidikan formal dan merupakan pakar dan golongan profesional. Penulis dilihat memasukkan pemikiran sarjana dan tokoh-tokoh terkemuka seperti Jamaluddin al-Afghani, Rabindranath Tagore dan Trotsky yang masing-masing memberikan hujah tentang ketiadaan semangat dan pertumbuhan kelompok intelektual. Seterusnya, penulis menegaskan bahawa ketiadaan intelektual bermakna tiadanya kepemimpinan dalam pengajuan, pentakrifan, analisis dan penyelesaian masalah. Penulis juga banyak membuat contoh perbandingan menggunakan negara seperti Rusia, China, Jepun, Filipina dan India.

Selain itu, penulis mengetengahkan masalah penguasaan orang bebal dalam kalangan masyarakat yang dikenali sebagai bebalisme. Orang bebal hanya bertindak balas dan mengambil tindakan selepas sesuatu kejadian. Sikap seperti ini amat merugikan rancangan pentadbiran negara. Bebalisme merupakan perkataan yang berasal daripada perkataan bebal yang bermaksud bodoh, malas dan keras kepala. Perkataan ini pertama kali digunakan dalam buku ini dan dijadikan kalimah sepanjang perbahasan beliau. Bebalis juga merupakan orang yang tidak berasaskan pada eksperimen.

Di samping itu, penulis memfokuskan kewujudan revolusi orang pandir yang dilihat melemahkan lagi masyarakat yang membangun. Antara ciri orang pandir ialah tidak mampu mengenali permasalahan, tidak mampu mempelajari apa yang diperlukan dan paling penting mereka tidak mengakui kepandiran mereka. Jika kepimpinan dan kefungsian kaum intelektual lemah, maka kaum pandir ini akan mula menguasai pemerintahan bersama sifat bebalisme mereka.

Orang pandir juga golongan yang menghapuskan gejala rasuah dan kemiskinan tetapi sebaliknya kedua-dua isu sosial ini semakin berkembang. Sistem apa-apa pun sekiranya dikuasai oleh orang pandir, tidak dapat berfungsi dengan baik. Kesan buruk apabila orang pandir memegang jawatan dan kuasa penting dalam pemerintahan, antaranya pembaziran wang kerajaan berjumlah jutaan ringgit disebabkan oleh “kepandiran” dan sifat bebal orang pandir ini dalam membuat perancangan, perkiraan, kajian dan analisis dengan terperinci dan sistematik.

Bagi memastikan intelektual berfungsi dengan baik, penulis menyarankan pertembungan intelektual dengan rakan sejawat melalui penerbitan, ceramah, mesyuarat, pertemuan kelompok kecil dan perdebatan tentang masalah nasional. Dalam pada ini, seseorang individu yang memilih untuk menjadi ibarat katak di bawah tempurung akan kekal mundur dan tidak dapat memberikan penyelesaian masalah yang komprehensif.

Walaupun sudah terbit puluhan tahun, buku ini sangat memberikan pencerahan dan dilihat masih relevan jika dikaitkan dengan situasi semasa Malaysia. Bagi pengulas, masyarakat, pemimpin dan anak muda khususnya wajib menelaah buku ini bagi menangani konflik masyarakat yang dihadapi. Mahasiswa yang sibuk mengejar kejayaan dan segulung ijazah sangat dialu-alukan membaca buku ini dan membawa pembaharuan kepada masyarakat.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046351
    Visit Today : 1247
    This Month : 28950
    Total Visit : 1046351
    Hits Today : 4113
    Total Hits : 4294678
    Who's Online : 10
  • Kategori