Oleh SITI IRNI YUSLINDA MOSMAN

PENGANJURAN Program Eksplorasi Bahasa bersempena dengan Program Keselamatan Kanak-kanak “Sahabat B.I.J.A.K.: Selamat dan Lindung” di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 20 Oktober 2018 lalu mendapat sambutan yang meriah dan menggalakkan daripada kanak-kanak yang hadir. Seramai 75 orang kanak-kanak daripada pelbagai peringkat umur, latar belakang dan sekolah telah menyertai program ini. Program Eksplorasi Bahasa diadakan untuk menguji tahap pengetahuan dan kemahiran kanak-kanak dalam bidang bahasa dan sastera, di samping menggalakkan semangat bekerjasama dalam kalangan peserta.

Pelepasan Eksplorasi Bahasa disempurnakan oleh Puan Padilah Haji Ali, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera.

Seawal pukul 8.00 pagi, para peserta telah berkumpul di hadapan Menara DBP untuk sesi pendaftaran dan acara pelepasan. Sebanyak 25 buah kumpulan yang terdiri daripada tiga orang peserta sekumpulan telah mengambil bahagian. Tepat pukul 9.00 pagi, Puan Padilah Haji Ali, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, telah merasmikan acara pelepasan Eksplorasi Bahasa dengan mengibarkan poster sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia 2018 di lobi Menara DBP.

Peserta eksplorasi bahasa semangat menyelesaikan tugasan yang diberi.

Antara tugasan yang perlu diselesaikan oleh setiap kumpulan ialah memadankan pantun empat kerat, mengeja perkataan dengan betul, menjawab kuiz simpulan bahasa, membina perkataan menggunakan Sahibba Chop, dan mencari makna perkataan dengan menggunakan Kamus Dewan. Tepat pukul 11.15 pagi, kumpulan terakhir tiba di hentian penamat. Walaupun keletihan berlari, para peserta tetap berasa teruja dan seronok, berbincang dan bertukar-tukar pendapat untuk menyelesaikan tugasan di setiap hentian, serta bekerjasama bagi memastikan kumpulan mereka menjadi juara.

Ucapan alu-aluan oleh Tuan Haji Mohd. Fazari Mohd Salleh, Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat.

Selesai sesi pengiraan markah, Kumpulan 23 dari Sekolah Kebangsaan USJ 12 telah menjadi juara Eksplorasi Bahasa dengan mendapat markah tertinggi di setiap lima hentian; mereka menerima wang tunai sebanyak RM250.00, sijil penyertaan dan cenderamata iringan. Tempat kedua disandang oleh Kumpulan 7 dari Sekolah Rendah Islam Integrasi Al-Amin; mereka menerima wang tunai sebanyak RM200.00, sijil penyertaan dan cenderamata Iringan. Tempat ketiga pula diduduki oleh Kumpulan 15 dari Sekolah Kebangsaan Intan Baiduri, Kuala Lumpur; mereka menerima wang tunai sebanyak RM150.00, sijil penyertaan dan cenderamata iringan. Hadiah sagu hati keempat diberikan kepada Kumpulan 15 dari Sekolah Kebangsaan Islam Integrasi Al-Hikmah dan sagu hati kelima kepada Kumpulan 8 dari Sekolah Rendah Islam Integrasi Al-Amin, masing-masing menerima wang tunai berjumlah RM100.00 dan sijil penyertaan. Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YB Dr. Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia.

YB Dr. Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Dalam ucapan perasmian, Dr. Maszlee mengatakan bahawa mulai tahun 2019, dalam usaha menangani kes lemas dalam kalangan kanak-kanak, pihak Kementerian Pendidikan akan mewujudkan sesi belajar berenang kepada murid sekolah. Menurutnya lagi, buat permulaan kegiatan itu akan diajar kepada sekolah yang berhampiran dengan kemudahan kolam renang awam. Untuk menjayakan inisiatif itu, kementeriannya akan mengadakan perbincangan lanjut bagi menyelaraskan perkara itu dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Jabatan Pendidikan Negeri.

Majlis pelancaran buku kanak-kanak DBP.

Selain itu, Dr. Maszlee juga berharap agar sekolah menjadi tempat selamat kepada pelajar sekolah. Ini untuk memastikan semua sekolah yang dibina selamat digunakan dan mesti mendapat sijil kelayakan menduduki bangunan (CFO) atau Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) dan Sijil Perakuan Kelayakan Menduduki (CF). Beliau juga berharap tidak akan berlaku lagi kes keciciran pelajar dan menggalakkan guru mengutamakan keceriaan kelas selain pengajaran serta mengurangkan beban beg sekolah murid.

Johan pertandingan mewarna peringkat prasekolah.

Program sehari anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ini diharap dapat membina harapan bagi kanak-kanak di Malaysia melalui penyediaan keperluan dan persekitaran yang kondusif bagi golongan ini mencetuskan aspirasi diri ke arah bidang yang diceburi.

Yang turut hadir dalam Majlis Perasmian Penutup ini ialah Datuk Haji Abdul Adzis Abas, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka dan Tuan Haji Mohd. Fazari Mohd Salleh, Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1045825
    Visit Today : 721
    This Month : 28424
    Total Visit : 1045825
    Hits Today : 2361
    Total Hits : 4292926
    Who's Online : 14
  • Kategori