Oleh WAN NORASIKIN WAN ISMAIL

Seminar ini telah menghimpunkan tokoh sejarah dan sosiobudaya, agamawan, cendekiawan, golongan profesional dan pendidik yang melibatkan penyertaan beberapa buah universiti di Malaysia dan selatan Thailand.

PADA 6 hingga 7 Oktober 2018 di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, Kota Bharu, Kelantan, telah diadakan Seminar Antarabangsa Sejarah dan Budaya Kelantan-Patani. Seminar ini dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan, Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur dan beberapa buah agensi kerajaan yang lain. Tujuan seminar ini diadakan adalah untuk mengenal pasti dan memahami perkembangan hubungan antara Kelantan dengan Patani; menyalurkan maklumat tentang sejarah dan budaya wilayah Kelantan-Patani dalam konteks peradaban Melayu; serta menjadi jambatan ilmu dalam beberapa aspek tertentu.

Antara tetamu yang hadir ke Seminar Antarabangsa Sejarah dan Budaya Kelantan-Patani.

Seminar yang berlangsung selama dua hari ini telah dihadiri oleh 250 orang peserta dan 45 orang pembentang kertas kerja dari dalam dan luar negara. Seminar ini telah menghimpunkan tokoh sejarah dan sosiobudaya, agamawan, cendekiawan, golongan profesional dan pendidik yang melibatkan penyertaan beberapa buah universiti di Malaysia dan selatan Thailand. Antaranya, Prince of Songkla University, Princes of Naradhiwas University, Universiti Fatoni, Walailak University, Universiti Malaysia Kelantan dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, hadir merasmikan seminar tersebut.

Seminar berkenaan telah dirasmikan oleh Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz. Dalam ucapannya, beliau berharap seminar ini dapat memupuk silaturahim, kebijaksanaan dan persefahaman antara Kelantan dengan Patani. Beliau juga menyokong cetusan idea mewujudkan “Bandar Berkembar” antara Kota Bharu dengan Patani direalisasikan agar dapat didorongkan lagi hubungan melalui kesepakatan, saling mempelajari sistem pemerintahan, pengurusan dan pentadbiran serta peneguhan hubungan sosiobudaya antara dua buah negara.

Mantan Ketua Pengarah DBP, Dato’ Haji A. Aziz Deraman yang kini presiden PERADABAN, dalam ucaptamanya menyatakan bahawa kehidupan sosiobudaya Kelantan-Patani memiliki banyak persamaan kerana berada di wilayah geografi dan goebudaya yang sama. Kedua-duanya ada pertalian sejarah dan budaya yang sangat akrab. Kelantan-Patani merupakan pancaran lambang kegemilangan peradaban Melayu-Islam timur laut yang sudah terjalin sejak zaman-berzaman.

Sesi pembentangan kertas kerja.

Dalam majlis tersebut juga, telah diadakan majlis penyampaian anugerah sejarawan PERADABAN 2018 kepada Haji Muhammad Yunan Mahmood. Anugerah ini diberikan berdasarkan kewibawaan hasil kerja penyelidikan lapangan dan pendokumentasian sebagai sumbangan penting dalam bidang sejarah di negeri Kelantan. Pada masa yang sama juga, diadakan majlis pelancaran buku Kelantan-Patani: Ulama dan Intelektualisme Melayu Wilayah Timur terbitan Majlis Agama Islam Kelantan.

Seminar ini menjadi forum yang benar-benar bererti dan merupakan kesinambungan idea dalam pembangunan tamadun kita sendiri dalam keriuhan tamadun Barat yang sifatnya sangat ofensif. Kemurnian tamadun Melayu yang kita warisi itu diharap dapat dipertahankan walaupun pendekatan dalam penghayatannya telah dimodifikasikan bagi memenuhi tuntutan zaman yang tentunya sentiasa berubah.

Dato’ Haji A. Aziz Deraman yang kini presiden PERADABAN, menyampaikan cenderamata kepada pembentang kertas kerja.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046211
    Visit Today : 1107
    This Month : 28810
    Total Visit : 1046211
    Hits Today : 3645
    Total Hits : 4294210
    Who's Online : 8
  • Kategori