Oleh NURUL JULIA ALANI HENRY

PADA 18 September 2018, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerima kunjungan hormat daripada Menteri Luar Negeri, Dato’ Saifuddin Abdullah. Kehadiran Dato’ Saifuddin disambut oleh pengurusan tertinggi DBP, iaitu Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Dr. Mohamed Hatta Shaharom, Ketua Pengarah DBP, Datuk Haji Abdul Adzis Abas, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran serta pengarah-pengarah jabatan.

Menteri Luar Negeri, Dato’ Saifudin Abdullah (tengah), mendengar taklimat tentang harapan dan hala tuju DBP dalam Malaysia Baharu.

Dalam kunjungan hormat tersebut, Dato’ Saifuddin diberi taklimat tentang harapan dan hala tuju DBP, khususnya dalam era Malaysia Baharu di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan. Selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei, Dato’ Saifuddin dilantik sebagai Menteri Luar Negeri. Beliau mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, di Istana Negara pada 2 Julai.

Dalam persidangan media, Dato’ Saifuddin berkata, Kementerian Luar Negeri akan memainkan peranan yang penting untuk mempromosikan bahasa kebangsaan di pentas antarabangsa menerusi pejabat kedutaan Malaysia di seluruh dunia. “Kita akan mempopularkan bahasa dan istilah bahasa Melayu menerusi ucapan duta Malaysia yang dilantik agar bahasa Melayu mudah dikenali oleh masyarakat luar,” katanya.

Menurut beliau lagi, Wisma Putra juga bercadang untuk meletakkan buku berbahasa Melayu terbitan DBP di pejabat kedutaan Malaysia di luar negara dan menjadikan buku tersebut sebagai cenderamata yang diberikan kepada tetamu semasa sesi lawatan ke negara lain atau kepada delegasi luar negara yang berkunjung ke kedutaan Malaysia itu. Dato’ Saifuddin juga bercadang untuk memanfaatkan peranan duta yang berada di luar negara bagi mempromosikan bahasa dan istilah bahasa Melayu melalui program anjuran pejabat kedutaan berkenaan.

Dato’ Saifuddin mendengar penerangan daripada Puan Kamariah Abu Samah tentang manuskrip “Kitab Ilmu Bedil” semasa berkunjung ke Pusat Dokumentasi Melayu.

Dalam lawatan yang sama juga, Menteri Luar Negeri melakukan kunjungan mesra ke Pusat Dokumentasi Melayu dan Bahagian Majalah. Di Pusat Dokumentasi Melayu, Dato’ Saifuddin dibawa melihat manuskrip Melayu lama dan beberapa koleksi karya agung. Dalam kunjungan itu juga, Ketua Pusat Dokumentasi Melayu, Puan Kamariah Abu Samah menerangkan keistimewaan manuskrip “Kitab Ilmu Bedil” yang membuktikan kehebatan senjata Melayu lama kepada Dato’ Saifuddin dan tetamu lain yang turut mengiringi lawatan itu.

Ketua Editor Bahagian Majalah (kanan sekali) menerangkan proses kerja penerbitan majalah.

Di Bahagian Majalah pula, Dato’ Saifuddin diberi taklimat tentang proses kerja penerbitan majalah yang disampaikan oleh Ketua Editor Bahagian Majalah, Puan Fauzilahyatun Mustafa. Sebaik-baik sahaja taklimat selesai, Ketua Editor bersama-sama sidang editor Dewan Masyarakat, Encik Abd. Kadir Mohd. Ayub dan Encik Ahmad Sayuti Mohd Yusob, mewawancara Dato’ Saifuddin. Wawancara tersebut akan disiarkan dalam majalah keluaran November 2018.

Dato’ Saifuddin meneliti majalah DBP dalam kunjungan beliau ke Bahagian Majalah.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046558
    Visit Today : 174
    This Month : 29156
    Total Visit : 1046558
    Hits Today : 315
    Total Hits : 4295117
    Who's Online : 17
  • Kategori