Oleh NORHASMANALINDA MUSTAPA

BAHASA MELAYU menjadi wahana pemersatu bangsa Malaysia. Oleh itu, penguasaan bahasa Melayu amat penting dalam agenda perpaduan negara kerana bahasa Melayu mampu mengangkat martabat negara bangsa di persada dunia. Usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu sentiasa dilaksanakan oleh pelbagai pihak dari semasa ke semasa.

YB Dr. Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia menyampaikan ucapan perasmian dalam Forum Peningkatan Standard Bahasa Melayu.

Pada 2 Oktober 2018, bertempat di Pusat Konvensyen HGH Sentul, berlangsung Majlis Perasmian Forum Peningkatan Standard Bahasa Melayu SJKC 2018. Majlis ini disempurnakan oleh YB Dr. Maszlee bin Malik, Menteri Pendidikan Malaysia dan turut dihadiri oleh YB Teo Ni Ching, Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia , Pengerusi Jawatankuasa Peningkatan Standard Bahasa Melayu SJKC, Datuk Eddie Heng, Pengerusi Jawatankuasa Forum Peningkatan Standard Bahasa Melayu SJKC, Prof Madya Dr Abdul Rasid Jamian dan Datuk Haji Abdul Adzis Abas, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka. Forum ini turut dihadiri oleh guru-guru SJKC dari seluruh Malaysia.

Menurut Dr. Maszlee, penghayatan terhadap bahasa perlu dilakukan dengan menjiwai, kasih sayang dan saling hormat-menghormati. Bukan sekadar diukur dengan peperiksaan sahaja tetapi yang penting ialah keseronokan sewaktu belajar. Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya SJKC lebih kreatif dalam pengajaran bahasa Melayu di sekolah. Antaranya dengan menayangkan filem-filem Tan Sri P. Ramlee dan Upin Ipin bagi menarik minat pelajar untuk mempelajari bahasa Melayu itu tanpa ada rasa keterpaksaan malah seronok untuk belajar dan bertutur dengan bahasa Melayu itu sendiri.

Sementara itu, ucaptama majlis ini disampaikan oleh Puan Pang Chinn Fei, pembaca berita dan pengacara Stesen TV3 yang petah serta fasih berbahasa Melayu . Beliau menegaskan bahawa untuk fasih berbahasa Melayu, guru besar dan pengetua perlu memulakan dahulu di sekolah terutamanya ketika perhimpunan sekolah dengan memulakan ucapan dalam bahasa Melayu kemudian baru meneruskan ucapan dalam bahasa ibunda. Beliau juga mencadangkan agar diadakan persembahan seperti pantun dan puisi ketika perhimpunan sekolah sedang berlangsung. Usaha ini dilihat dapat membantu para pelajar di SJKC mahir dalam pelbagai bidang seni sastera.

YB Dr. Maszlee Malik menyempurnakan gimik perasmian.

Forum yang dianjurkan oleh Majlis Bahasa Cina dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Bahagian Pembangunan Kurikulum, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sentul serta sebelas buah badan bukan kerajaan ini menjadi wahana terbaik kepada pelbagai golongan untuk menjanakan pemikiran ke arah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang mampu dikuasai oleh golongan muda pada hari ini.

Pelaksanaan Forum Peningkatan Standard Bahasa Melayu SJKC ini juga bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk memastikan kemajuan pendidikan di Malaysia sentiasa diambil perhatian selain mampu mempercepat usaha untuk memastikan setiap modal insan yang mendapat pendidikan di Malaysia menguasai bahasa Melayu dengan baik.

Persembahan bicara berirama menyerikan Majlis Perasmian Forum Peningkatan Standard Bahasa Melayu SJKC.

Pusat Konvensyen HGH dipenuhi dengan tetamu yang hadir.

Kepesatan pembangunan negara yang bergerak seiring dengan perkembangan kemajuan bahasa, khususnya bahasa Melayu, akan dapat direalisasikan dengan jayanya melalui pelaksanaan program seperti forum ini. Penggemblengan tenaga daripada pelbagai pihak khususnya pakar-pakar bahasa akan dapat mencerminkan bahawa usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu akan sentiasa terpelihara dan mendapat kerjasama padu daripada semua pihak.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1045697
    Visit Today : 593
    This Month : 28296
    Total Visit : 1045697
    Hits Today : 1896
    Total Hits : 4292461
    Who's Online : 10
  • Kategori