Oleh ZAIDI ISMAIL

PADA 4 dan 5 September 2018, Institut Kajian dan Latihan Integrasi Nasional (IKLIN), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional dengan kerjasama Akademi Dewan Bahasa dan Pustaka (Akademi DBP) telah menganjurkan Kursus Pengurusan Maklumat Laman Web 2018 di Ibu Pejabat IKLIN Putrajaya.

Kursus ini diadakan untuk memberikan pendedahan dan panduan kepada peserta tentang asas tatabahasa dalam penulisan berita; teknik fotografi yang berkesan; dan sistem pengurusan kandungan laman web. Kursus selama dua hari ini diisi dengan sesi peningkatan kemahiran bahasa Melayu, dan diikuti dengan sesi pengurusan maklumat dalam laman web jabatan.

Kursus Peningkatan Kemahiran Bahasa Melayu pada 4 September 2018.

Untuk sesi peningkatan kemahiran bahasa Melayu, penulis selaku penceramah memecahkan sesi tersebut kepada tiga sesi, iaitu asas tatabahasa (ejaan, pembentukan kata, dan binaan ayat); panduan penulisan berita dalam laman web; dan kesalahan bahasa dalam penulisan, serta latihan dan pembentangan berkumpulan. Pengisiannya disusun secara khusus agar peserta dapat memahami asas bahasa Melayu serta penggunaan tatabahasa yang betul dan tepat dalam penulisan berita; mengetahui kesilapan lazim yang dilakukan dalam penulisan berita; dan meningkatkan kemahiran menulis dan keterampilan berbahasa Melayu dalam penulisan berita.

Dalam sesi pertama, peserta diperkenalkan dengan asas bahasa Melayu meliputi aspek ejaan dan pembentukan kata serta kesalahan umum penggunaan bahasa Melayu dalam aspek ejaan dan pembentukan kata, serta binaan ayat. Seterusnya, peserta dijelaskan tentang format dan kandungan berita yang meliputi enam persoalan utama (5W 1H), iaitu apa (what) yang berlaku; siapa (who) yang terlibat; di mana (where) berlaku; bila (when) berlaku; kenapa (why) berlaku; dan bagaimana (how) berlaku?

Setelah itu, barulah peserta diterangkan tentang laras bahasa dalam berita untuk membina berita yang tidak sahaja tepat dari segi maklumat yang ingin disampaikan, tetapi juga tepat dari segi penggunaan bahasanya. Ketepatan penggunaan bahasa meliputi ketepatan bahasa pada tajuk dan juga ketepatan bahasa dalam setiap ayat yang disusun untuk membentuk berita.

Selain diberi penerangan dan penjelasan tentang penggunaan bahasa Melayu yang betul dan tepat, serta memenuhi aspek penulisan sesuatu berita yang baik, peserta turut diberi latih amal penulisan berita dan pembentangannya untuk bersama-sama memperbaiknya. Setelah selesai sesi bahasa, pada hari keduanya barulah dilanjutkan dengan sesi pengurusan maklumat dalam laman web jabatan yang meliputi peranan dan tanggungjawab pegawai pengurus maklumat; amali sistem pengurusan kandungan; dan teknik fotografi yang berkesan. Sesi tersebut dikendalikan oleh pegawai dari IKLIN.

Seramai 35 orang peserta yang terdiri daripada pegawai IKLIN dari pejabat cawangan di pelbagai negeri telah mengikuti kursus tersebut. Mereka terlibat secara langsung dalam pengurusan laman web jabatan.

Peserta Kursus Pengurusan Maklumat Laman Web 2018.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046193
    Visit Today : 1089
    This Month : 28792
    Total Visit : 1046193
    Hits Today : 3577
    Total Hits : 4294142
    Who's Online : 3
  • Kategori