Oleh NORAZLINDA MISRAN

PADA tahun 2018, konsep sambutan Hari Guru ditumpukan kepada pelaksanaan untuk menggerakkan gelombang guru seluruh negara untuk bersama-sama berganding dengan kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi merealisasikan transformasi pendidikan negara, seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Sehubungan dengan hal itu, bersempena dengan perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan pada bulan Mei setiap tahun, forum “Kebersamaan Pemikiran Guru dalam Kemenjadian Murid” diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 15 Mei 2018 yang lalu. Forum ini dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Institut Aminuddin Baki dan Bahagian Pendidikan Guru KPM.

Sebahagian daripada khalayak yang menghadiri forum tersebut.

Sebahagian daripada khalayak yang menghadiri forum tersebut.

Forum menampilkan Nazri Kahar, Penerbit Eksekutif Astro Awani sebagai moderator berserta tiga orang ahli panel, iaitu Dr. Zainal Aalam Hassan, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Dato’ Mohamed Sabri Mohd Arsad, Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat dan Profesor Dr. Zamri Mahamod, pensyarah Fakulti Pendidikan,Universiti Kebangsaan Malaysia.

Dr. Zainal Aalam Hassan, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan) ketika menyampaikan pandangan beliau mengenai Dasar Pendidikan Negara.

Dr. Zainal Aalam Hassan, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan) ketika menyampaikan pandangan beliau mengenai Dasar Pendidikan Negara.

Menurut Zainal Aalam, Dasar Pendidikan Negara yang diwujudkan sebelum ini tidak banyak berubah, malah diperkemas mengikut perkembangan semasa. Para guru perlu bersedia dan berada dalam gagasan yang lebih besar daripada pendidikan sedia ada. Guru juga perlu mencari ilmu dan menjadi pendidik yang kreatif untuk melahirkan generasi yang boleh bersaing pada peringkat lebih tinggi.

Mohamed Sabri pula menyatakan bahawa kemenjadian murid bukan bermakna mereka hanya berjaya dalam bidang akademik semata-mata. Kemenjadian murid yang diharapkan hasil daripada sistem pendidikan kita adalah menyeluruh atau holistik, termasuk sahsiah diri, memiliki budi pekerti yang tinggi, memiliki semangat patriotik dan cinta akan negara, serta sentiasa berpegang pada nilai murni sejagat yang berpaksikan pegangan agama yang kukuh. Beliau juga berharap agar setiap tunjuk ajar guru di sekolah dapat diterapkan di rumah dan komuniti.

Datuk Haji Abdul Adzis Abas, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, menyampaikan cenderamata kepada Dr. Zamri Mahamod, selaku ahli panel dalam forum tersebut.

Datuk Haji Abdul Adzis Abas, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, menyampaikan cenderamata kepada Dr. Zamri Mahamod, selaku ahli panel dalam forum tersebut.

Berdasarkan kajian oleh Dr. Zamri, beliau berpendapat bahawa beban guru hari ini semakin tinggi dan keadaan ini menyebabkan mereka agak tertekan untuk mengajar. Oleh itu, beliau berharap agar setiap aspirasi KPM selari dengan pemikiran para guru. Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) juga perlu memainkan peranan mereka bagi membantu pihak sekolah untuk mendapatkan sumber kewangan yang boleh meningkatkan prasarana pendidikan anak tanpa menunggu bantuan daripada KPM.

Hal ini bertepatan dengan tujuan forum ini, iaitu memberikan pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat tentang sumbangan dan cabaran guru bagi mendidik anak bangsa. Mereka merupakan pemacu pendidikan negara dan masyarakat wajar menghargai sumbangan murni guru ke arah pembangunan pendidikan negara.

Pada hakikatnya, forum ini menjadi landasan bagi masyarakat untuk bertukar-tukar pandangan dengan ahli panel, terutamanya yang berkaitan dengan usaha untuk menggerakkan gelombang guru seluruh negara supaya bersama-sama kerajaan dan KPM bagi merealisasikan transformasi pendidikan negara.

Moderator dan ahli panel bergambar kenangan bersama-sama  Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Haji Abdul Adzis Abas (dua dari kanan).

Moderator dan ahli panel bergambar kenangan bersama-sama Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Haji Abdul Adzis Abas (dua dari kanan).

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1045325
    Visit Today : 221
    This Month : 27924
    Total Visit : 1045325
    Hits Today : 751
    Total Hits : 4291316
    Who's Online : 22
  • Kategori