Oleh ESHARMANIZAWATI SAMSURI

MELAHIRKAN novel bertemakan perubatan sebagai wadah penulisan kreatif untuk dimanfaatkan oleh pembaca merupakan objektif yang ingin dicapai daripada Bengkel Pemurnian Manuskrip (Perubatan dan Kesihatan) DBP-USM 2018 pada kali ini. Bengkel anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini berlangsung pada 21 dan 22 Februari 2018.

Bengkel ini merupakan rentetan daripada Bengkel Penulisan Kreatif yang berlangsung pada 23 dan 24 Julai 2016. Bengkel selama dua hari ini dihadiri oleh pakar perubatan serta paramedik USM yang berbakat dalam penulisan kreatif. Mereka dibimbing oleh Rozninah Abd. Azib, Ketua Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran,DBP dan novelis berpengalaman serta penyunting buku dan majalah DBP.

Ucapan perasmian oleh Dato’ A.Aziz Deraman.

Ucapan perasmian oleh Dato’ A.Aziz Deraman.

Bengkel kali ini dirasmikan oleh mantan Ketua Pengarah DBP, Dato’ A. Aziz Deraman. Perkongsian ilmu penulisan serta jejak pengalaman A. Aziz membangkitkan semangat peserta bengkel. Mereka teruja apabila diberi peluang untuk mendeklamasikan puisi hasil karya A. Aziz. Esharmanizawati Samsuri tampil sebagai deklamator yang cuba menjiwai puisi berjudul “Awang Gedebe”.

“Awang Gedebe budok pandai belako. Awang Gedebe budok boleh belako.” Begitulah antara yang tersurat dalam puisi itu. Pesan A. Aziz kepada peserta, itulah jua harapannya kepada mereka para pengamal perubatan USM bukan sekadar berbakti kepada para pesakit, malah mampu menjadi penulis kreatif yang akan menyampaikan maklumat kesihatan yang tepat dan benar kepada masyarakat melalui penulisan kreatif.

Puan Rozninah ketika memberi bimbingan kepada peserta bengkel.

Puan Rozninah ketika memberi bimbingan kepada peserta bengkel.

“Konsep novel atau karya perubatan yang kita mahu ialah karya yang mampu menjadi sumber maklumat dan fakta yang tepat dan realistik tentang penyakit, etiologi, komplikasi, rehabilitasi, serta langkah pencegahan dan kawalan penyakit. Karya itu diharap akan menjadi karya panduan, semangat, motivasi, dan inspirasi positif kepada para pembaca.” Itu antara pesanan penting Rozninah kepada para peserta bengkel.

Penyampaiannya kali ini lebih santai dan mesra bersama-sama para peserta kerana hampir kesemua peserta pernah mengikuti bengkel pertama bersama-samanya. Beliau menerangkan cara untuk menghasilkan plot novel serta perbezaan olahan bahasa dalam penghasilan novel dan cerpen.

Suntikan semangat oleh Prof Dr. Nik Haslina kepada para peserta bengkel.

Suntikan semangat oleh Prof. Dr. Nik Haslina kepada para peserta bengkel.

“Saya juga bermula dengan bahasa yang kaku dan keras. Tiada lenggok sastera pun dalam karya saya,” begitu suntikan semangat oleh penerima Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2017, Profesor Dr. Nik Hazlina Nik Hussain. Kerana memahami keresahan hati para peserta yang rata-ratanya berada dalam bidang sains, beliau sebagai pengorak bagi pakar perubatan yang memecahkan tembok paradigma penggunaan bahasa Melayu dan bait sastera bagi menghasilkan karya perubatan, telah berkongsi pengalaman susur galur dalam dunia penulisan. Beliau telah membuktikan kejayaan setelah berhasil menulis 20 judul buku terbitan DBP, iaitu 16 judul buku umum, dua judul buku ilmiah dan dua judul novel bertemakan perubatan.

Bagi para peserta pula, bimbingan dan perkongsian ilmu serta pengalaman yang digarap dalam bengkel ini memudahkan jalan untuk mereka meneruskan penulisan. Peserta turut aktif dalam berkongsi pendapat bagi menghasilkan tulisan yang baik, termasuk mencari penyelesaian untuk menyampaikan istilah perubatan yang jelas agar tidak mengelirukan pembaca. Seorang peserta yang sudah pun menulis buku fiksyen yang diterbitkan oleh syarikat swasta, iaitu Syahr Musafir (Dr. Muhamad Syahrul Fitri Zawawi), turut berkongsi petua penulisan bersama-sama peserta. Langkahan tatih itu diharap akan bertukar menjadi larian seorang jaguh unggul.

Para peserta tekun mendengar pengalaman  Dato’ A.Aziz Deraman dalam dunia penerbitan, bahasa dan sastera.

Para peserta tekun mendengar pengalaman Dato’ A. Aziz Deraman dalam dunia penerbitan, bahasa dan sastera.

Penganjur berharap agar para peserta dapat menyerahkan hasil karya fiksyen perubatan masing-masing, sama ada dalam bentuk cerpen ataupun novel, untuk diterbitkan. Karya ini bukan sekadar sebagai bahan bacaan santai, malah memberikan input penting kepada masyarakat dan menjadi amal jariah.

Taklimat tentang proses penerbitan disampaikan oleh Zaiton Ismail, Ketua Bahagian Buku Sastera, DBP. Beliau turut mengulas rumusan pengisian bengkel. Komitmen kakitangan DBP bagi menjayakan bengkel ini amatlah baik.

Bengkel Pemurnian Manuskrip ini diakhiri dengan ucapan penutupan oleh Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail, Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan, USM. Yang turut hadir semasa acara penutupan ialah Profesor Dr. Din Suhaimi Sidek, Timbalan Dekan Pelajar dan Jaringan, USM.

Peserta Bengkel Pemurnian Manuskrip (Perubatan dan Kesihatan) DBP-USM 2018 bergambar kenangan bersama-sama Dekan PPSP dan Timbalan Dekan.

Peserta bengkel bergambar kenangan bersama-sama Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan dan Timbalan Dekan Pelajar dan Jaringan.

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1052914
    Visit Today : 1167
    This Month : 1167
    Total Visit : 1052914
    Hits Today : 5127
    Total Hits : 4323073
    Who's Online : 11
  • Kategori