org seletar

Judul buku      : Orang Seletar

Pengarang      : Juma’at Misman

Penerbit          : Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun Terbit    : 2017

Pengulas         : Nurdiana binti Mohd Kamal

BUKU Orang Seletar ialah buku mewah yang mengemukakan kehidupan masyarakat Orang Asli suku kaum Orang Seletar di negeri Johor. Buku ini berdasarkan kajian rintis pengarang ketika berkhidmat di Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA). JAKOA berperanan membangunkan dan melindungi sosiobudaya masyarakat Orang Seletar selaras dengan hasrat kerajaan di samping menyediakan kemudahan dan bantuan pendidikan dan kesihatan. Buku ini merupakan usaha pengarang memperkenalkan secara eksklusif kepada pembaca tentang budaya, adat resam dan pantang larang Orang Seletar yang diamalkan sejak turun-temurun.

Orang Seletar ialah suku kaum Orang Asli yang pada masa dahulu tinggal sepanjang masa di dalam sampan berkajang di pesisir pantai Selat Tebrau, Johor. Mereka digambarkan sebagai orang yang berambut kusut-masai dan berpakaian daripada kulit kayu kempas atau nyirih. Orang Seletar, sejak kecil lagi telah mahir berenang dan menyelam. Yang paling jelas dan menarik mereka pernah menjadikan sampan berkajang sebagai rumah kediaman dan kemudahan untuk mencari rezeki. Malah di situlah mereka berkahwin, berkeluarga serta melakukan kegiatan sosial.

Orang Seletar mempunyai struktur masyarakat yang tersendiri, seperti institusi batin dan kekeluargaan. Buku ini mencatatkan beberapa susur galur ketua keluarga yang digelar batin yang tinggal di Sungai Temon dan Kampung Telok Jawa, Selat Tebrau, Johor. Di samping itu, pengarang juga membincangkan adat resam dan pantang larang Orang Seletar. Misalnya, mereka percaya bahawa setiap pantai, laut tanjung, tali arus besar, tali arus kecil dan pokok bakau mempunyai penunggu tersendiri.

Pengarang juga membicarakan adat pengebumian suku kaum Orang Seletar. Menurut Orang Seletar, sekitar kawasan Sungai Bueh merupakan kawasan perkuburan nenek moyang mereka. Kawasan ini agak “keras” dan ada kalanya mereka terhidu bau asap rokok atau telinga mereka terdengar suara seseorang menyapa.

Orang Seletar turut terpengaruh dengan unsur-unsur di persekitaran kehidupan mereka. Contohnya, penyerapan budaya Melayu dari segi bentuk rumah kediaman di Kuala Sungai Reden. Bentuk rumah Orang Seletar pada awal penempatan di darat serupa dengan bentuk rumah nelayan Orang Melayu. Struktur rumah Orang Seletar bertiangkan kayu bakau, berlantaikan nibung, berdindingkan buluh dan beratapkan nipah.

Selain itu, kraf tangan Orang Seletar menggambarkan keindahan dan kehalusan yang diwarisi secara turun-temurun. Anyaman mengkuang dijadikan tengkolok, selempang dan perhiasan yang disirat halus bercirikan pembentukan bahan kerja seni.

Buku ini turut mengutarakan amalan perubatan masyarakat Orang Seletar. Ubat-ubatan tradisional Orang Seletar hanya menggunakan tumbuhan-tumbuhan bagi merawat penyakit yang ringan.

Buku ini juga membincangkan konteks pemartabatan Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971. Tujuan penubuhan kongres tersebut adalah untuk memelihara pengembangan kesenian dan perhubungan ke arah kemajuan kebudayaan kebangsaan. Antara usaha JAKOA adalah memperuntukkan kawasan khas bagi Orang Seletar. Melalui usaha ini corak kehidupan dan sosiobudaya Orang Seletar dapat dipelihara, selaras dengan hasrat kerajaan untuk memartabatkan kesenian negara.

Segala maklumat yang disampaikan dalam buku ini mengandungi fakta yang menarik dan membuka minda pembaca di samping foto berwarna-warni. Oleh itu, buku ini dapat menyuntik nafas baharu kepada para pengkaji untuk memperoleh idea dalam dunia perubatan.

Secara keseluruhannya, buku ini sesuai dijadikan sumber rujukan pelajar yang mengikuti pengajian budaya dan pembaca umum yang berminat terhadap bidang ini. Pendedahan kepada pembaca tentang apresiasi masyarakat terhadap budaya Orang Seletar dapat mendukung kehidupan berbudaya tinggi berasaskan amalan budaya masyarakat Malaysia.

Buku ini mengandungi tradisi pusaka alam Melayu yang perlu digarapkan oleh setiap lapisan masyarakat. Oleh itu, pembaca yang ingin mengetahui secara mendalam tentang kehidupan Orang Seletar, dapatkanlah buku ini.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1045498
    Visit Today : 394
    This Month : 28097
    Total Visit : 1045498
    Hits Today : 1232
    Total Hits : 4291797
    Who's Online : 10
  • Kategori