Oleh SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

BAUSUNG ialah khazanah budaya Banjar yang kini kian langka, namun perlu terus dilestarikan agar generasi mendatang dapat mengenali budaya unik ini. Pada suatu ketika dahulu, masyarakat Banjar, khususnya di Sabak Bernam, Selangor, kerap mengamalkan budaya bausung, tetapi kini agak sukar untuk ditemukan lagi.

Bausung diambil daripada kata usung di atas bahu atau gendong. Pengantin pula ialah pasangan pengantin lelaki dan wanita yang sedang melangsungkan perkahwinan.

Pengantin lelaki dan perempuan diusung di atas bahu.

Pengantin lelaki dan perempuan diusung di atas bahu.

Menurut tradisi masyarakat Banjar, pasangan pengantin, sebelum bersanding di atas pelamin, terlebih dahulu diusung oleh dua orang lelaki sambil menari. Dengan diiringi paluan gamelan, gong dan suara serunai, dua orang lelaki penari ini mengusung kedua-dua pengantin sambil menari mengikuti irama muzik di tengah pandangan para tetamu undangan yang menyaksikan acara tersebut. Di beberapa buah tempat, khususnya di daerah Sabak Bernam, ada juga pihak yang memadukan upacara bausung ini dengan tarian kuda kepang atau dengan kesenian hadrah.

Pada masa dahulu, upacara bausung ini hanya dilakukan oleh masyarakat golongan bangsawan atau keturunan raja. Hal ini dikatakan demikian kerana perbelanjaan untuk melaksanakan upacara ini amat besar dan tidak mampu dibiayai oleh golongan rakyat biasa. Selain perlu dibayar kepada kumpulan muzik yang mengiringi majlis, lelaki penari yang ditugaskan sebagai pengusung pengantin juga perlu dibayar dengan harga yang tinggi.

Keluarga yang mampu untuk melaksanakan upacara bausung pengantin bermakna keluarga tersebut dianggap sebagai orang yang berada. Namun begitu, sekarang upacara ini dapat dilaksanakan oleh seluruh ahli masyarakat, khususnya bagi mereka yang masih mencintai budaya Banjar.

Yang berlaku dalam majlis perkahwinan masyarakat Banjar adalah setibanya pengantin lelaki di rumah pengantin perempuan, kedua-dua pengantin ini akan keluar menuju ke halaman. Di sana sudah disediakan kerusi untuk diduduki. Pasangan ini akan kembali bersanding. Bunyi serunai, gendang dan gong pun bergema mengiringi persandingan.

Beberapa orang lelaki berseragam hitam pun menunjukkan pencak silat – gesit, lincah, dan indah dalam gerakan. Masyarakat Banjar menyebut persembahan ini sebagai ba-kuntau. Ba ialah awalan dalam bahasa Banjar, yang menunjukan kata kerja, seperti awalah ber. Kuntau ialah nama cabang bela diri pencak silat. Masyarakat serta pengantin lelaki dan perempuan berasa sangat terhibur dengan persembahan ini.

Pengusung menari sambil mengusung pasangan pengantin.

Pengusung menari sambil mengusung pasangan pengantin.

Selesai persembahan silat, dua orang lelaki akan menghampiri pengantin lelaki dan perempuan lalu memberikan salam penghormatan kepada mereka. Kemudian kedua-dua pengantin dipersilakan naik ke atas bahu dua orang lelaki tadi. Mereka diusung.

Kedudukan pengantin lelaki ketika diusung, berada di atas bahu kiri dan kanan pengusung, mengapit kepala pengusung. Hal ini bermakna bahawa pengantin lelaki duduk sambil mengangkangkan kedua-dua belah kakinya mengepit kepala pengusung. Pengantin perempuan hanya berada di satu sisi bahu pengusung walaupun diberi alat bantu berupa kain tempat berpijak pengantin tersebut.

Kedudukan pengantin lelaki dan perempuan berbeza sewaktu diusung.

Kedudukan pengantin lelaki dan perempuan berbeza sewaktu diusung.

Sebelum diusung, pengantin lelaki dan perempuan diberi nasihat oleh ketua kampung atau pak imam. Kemudian ketua kampung atau pak imam tersebut akan berdoa dan membaca selawat kepada Nabi Muhammad SAW. Sambil mengusung pengantin, lelaki tukang usung pengantin akan berjalan sambil menari, mengikuti alunan nada dan muzik serunai, gendang dan gong yang mengiringinya.

Bagi para tetamu majlis perkahwinan tersebut, hiburan ini mungkin luar biasa yang disuguhkan oleh pengantin lelaki dan perempuan kepada mereka. Mereka asyik menonton dan kadang-kadang tertawa melihat pasangan raja sehari, bahkan ada tetamu yang mengabadikan saat tersebut dengan kamera di tangan masing-masing.

 

Sila Beri Pandangan


  • Arkib

  • Statistik

    000000
    Melawat hari ini:
    Jumlah Pelawat:
    Hits hari ini:
    Jumlah Hits :
    Siapa atas talian:
  • Kategori