OLEH SITI MARIAM ABDUL RASID

 

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara telah menganjurkan Sayembara Mencipta Lagu Puisi Remaja 2017 bersempena dengan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan pada tahun ini. Pertandingan ini telah diadakan pada 16 November yang lalu bertempat di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Matlamat sayembara ini adalah untuk memberi peluang kepada remaja atau karyawan muda mengetengahkan bakat dan hasil karya mereka dalam bidang penciptaan puisi dan penyampaian lagu puisi. Syarat-syarat pertandingan sayembara ini terbuka kepada warganegara berumur 18 hingga 24 tahun sahaja. Lagu yang dipertandingkan hendaklah disampaikan secara berkumpulan dengan bilangan tidak melebihi lima orang. Selain itu, sajak yang hendak dilagukan dan dipertandingkan hendaklah karya baru ciptaan peserta sendiri bertemakan kasih sayang, ketuhanan serta kemanusiaan yang sesuai untuk dihayati oleh golongan remaja serta belum pernah disiarkan atau diterbitkan.

Sebanyak 16 kumpulan yang layak ke Peringkat Separuh Akhir daripada 36 penyertaan ciptaan lagu puisi yang diterima. Peringkat Separuh Akhir telah dijalankan pada 15 November dengan keputusan muktamad sebanyak lapan kumpulan sahaja yang terpilih ke Peringkat akhir pada 16 November 2017.

Persembahan pembukaan oleh Fauziah Gambus.

Persembahan pembukaan oleh Fauziah Gambus.

Persembahan Gurindam 12 Fasal ke-17 telah didendangkan oleh Fauziah Gambus sebagai pembuka tirai Pertandingan Akhir Sayembara Mencipta Lagu Puisi Remaja 2017 dan diteruskan dengan persembahan para peserta pertandingan. Beberapa persembahan jemputan turut diadakan pada akhir pertandingan iaitu nyanyian daripada Fauziah Gambus dengan lagunya bertajuk Kamelia dan Joget Siapa Dia. Turut hadir memeriahkan lagi persembahan ialah Adzrin Azhar, penyanyi lagu Pujaan Malaya. Beliau menyampaikan tiga buah lagunya yang berjudul Aku Okay, Kembali dan juga lagu Pujaan Malaya hasil karyanya sendiri.

Johan Sayembara Mencipta Lagu Puisi Remaja 2017.

Johan Sayembara Mencipta Lagu Puisi Remaja 2017.

Pada tahun ini, kumpulan Dua Jiwa berjaya membawa pulang hadiah utama iaitu wang tunai bernilai RM3,000 berserta trofi dan sijil penghargaan selepas dinobatkan sebagai johan pertandingan ini. Lagu puisi “Sang Perindu” yang dinyanyikan oleh dua orang insan ini telah berjaya menawan hati para juri yang diketuai oleh Dato’ Freddie Fernandez, Dato’Muhammad Azhar bin Abu Bakar atau Azmeer serta Tuan Haji Muhammad Azam.

Naib johan Sayembara Mencipta Lagu Puisi Remaja 2017.

Naib johan Sayembara Mencipta Lagu Puisi Remaja 2017.

Naib Johan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, trofi dan sijil penghargaan telah dimenangi oleh kumpulan Anak Seni Warisan dengan lagu puisi kedua mereka bertajuk “Puisi Untuk Ayah”. Seterusnya, tempat ketiga disandang oleh kumpulan Nuraga dengan lagu puisi bertajuk “Rindu Syair”. Mereka menerima hadiah wang tunai sebanyak RM1,000, trofi dan sijil penghargaan.

Pemenang tempat ketiga Sayembara Mencipta Lagu Puisi Remaja 2017.

Pemenang tempat ketiga Sayembara Mencipta Lagu Puisi Remaja 2017.

Seterusnya, lima buah kumpulan mendapat hadiah sagu hati dengan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM700, trofi dan juga sijil penghargaan untuk setiap kumpulan. Kumpulan yang memenangi hadiah sagu hati ialah kumpulan Lasykar (Topeng), Crescendo (Bumi Permai) ,Citra Warisan (Damailah Anak Syurga), TGMasMusic (Sinergi Bangsa) dan D’Mahfuz (Ku terus Berlari).

Selain itu, Anugerah Puisi Terbaik disandang oleh kumpulan TGMasMusic dengan puisinya bertajuk Sinergi Bangsa dan telah memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM500, trofi dan sijil penghargaan.

Sayembara Mencipta Lagu Puisi Remaja 2017 ini sememangnya dapat memperluaskan hasil karya puisi baharu sekali gus dapat disampaikan dalam bentuk lagu. Di samping itu, pertandingan ini juga diharap dapat menarik minat golongan muda mendekati lagu-lagu puisi serta meningkatkan apresiasi masyarakat terhadap karya puisi. Usaha DBP ini haruslah dilakukan secara berterusan agar dapat menarik minat lebih ramai lagi penyertaan anak muda untuk menceburi bidang kebudayaan dan kesenian ini.

Turut hadir dalam majlis penyampaian hadiah ialah Yang Berhormat Tan Sri Norliza binti Rafli, Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara dan Yang Berbahagia Datuk Abdul Aziz bin Abas, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046615
    Visit Today : 231
    This Month : 29214
    Total Visit : 1046615
    Hits Today : 421
    Total Hits : 4295223
    Who's Online : 12
  • Kategori