OLEH WAN NORASIKIN WAN ISMAIL

Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Kedai Tanjong, Pasir Mas, Kelantan.

Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Kedai Tanjong, Pasir Mas, Kelantan.

ORANGNYA berbadan kecil, berperwatakan sederhana dan cepat mesra. Zaidi Ismail atau dikenali dengan gelaran ‘Zaidi Kelantan’ dilahirkan pada 14 Oktober 1969 di Pasir Mas, Kelantan. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kedai Tanjung, Pasir Mas dan melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di sekolah Menengah Sultan Ibrahim Dua. Setelah berjaya dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pada tahun 1990, beliau melanjutkan pelajaran ke Universitas Padjajaran, Bandung dalam bidang Sastera Indonesia (Major Linguistik) atas tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), hingga tahun 1996.

Ketika menyambung pelajaran di Indonesia.

Sewaktu melanjutkan pelajaran di Universitas Padjajaran, Bandung.

Zaidi Ismail memulakan kerjaya awalnya sebagai guru sambilan di Institut Za’ba, Pasir Mas, Kelantan sebelum ditawarkan untuk bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1 Ogos 1997 sebagai Pegawai Perancang Bahasa. Tugas pertamanya di DBP bermula di Bahagian Pengembangan Bahasa Sektor Awam bagi menangani isu-isu berkaitan bahasa Melayu di sektor awam seperti khidmat nasihat bahasa, kursus pembentukan pegawai bahasa di sektor badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan dan menulis risalah ke arah Bahasa Melayu yang Berkesan. Sepanjang kerjayanya selama 19 tahun di DBP, beliau telah bertugas di Bahagian Penyelidikan Bahasa, Bahagian Ensiklopedia, dan di beberapa bahagian lain lagi termasuklah di Jabatan Penerbitan. Pada tahun 2014, beliau mendapat tawaran biasiswa DBP untuk melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dalam bidang Bahasa Melayu di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Zaidi mula berjinak-jinak dengan dunia penulisan pada tahun 2003. Artikel pertamanya, Dua Kali Ganda yang diterbitkan oleh DBP dalam majalah Pelita Bahasa edisi Julai 2003, membakar semangatnya untuk terus berkarya. Dari situlah beliau mula berjinak-jinak dengan dunia penulisan sehingga menjadi sebahagian daripada rutin hariannya. Beliau mengakui bahawa menulis telah membuka ruang untuk beliau berkongsi ilmu dengan orang lain.

Sehingga kini, Zaidi menghasilkan lebih daripada 250 makalah yang telah diterbitkan dalam majalah, terutamanya dalam majalah Dewan Bahasa dan Pelita Bahasa serta klik web DBP.

Selain makalah, beliau turut menghasilkan beberapa buah buku dan risalah, antaranya termasuk:

1. Zaidi Ismail dan Prof. Madya Abdul Rashid Daeng Melebek (Penyusun Bersama). 2016. Masyarakat, Bahasa dan Pemikiran.Kuala Terengganu: Kata Pilar.

2. Zaidi Ismail. 2007. Di Sebalik Kata. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

3. Zaidi Ismail. 2008. Kata Ganda Bahasa Melayu: Tinjauan Bentuk Berdasarkan Data Korpus.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

4. Zaidi Ismail. 2008. Kata Majmuk Bahasa Melayu: Bentuk Berdasarkan Data Korpus. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

5. Zaidi Ismail. 2008. Panduan Singkatan SMS Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

6. Zaidi Ismail. Risalah Ke Arah Bahasa Melayu yang Berkesan Bil. 3 (1/2000). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

7. Zaidi Ismail. Risalah Pedoman Bahasa Bil. 1/ 2003. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

8. Zaidi Ismail. Perbandingan Kata Ganda Bahasa Indonesia dengan Kata Ganda Bahasa Malaysia: Tinjauan Bentuk dan Makna, 1996 (Skripsi untuk Program Sarjana (S1) Universitas Padjadjaran (Unpad), Bandung, Indonesia);

9. Zaidi Ismail. Frasa Adjektif Kesangatan dalam Dialek Kelantan, 2017 (Tesis Sarjana, Universiti Putra Malaysia)

Antara seminar antarabangsa yang dihadiri.

Antara seminar antarabangsa yang dihadiri.

Zaidi sering membentangkan kertas kerja dalam seminar di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Antaranya ialah “Kata Majmuk Bahasa Melayu: Tinjauan Bentuk Berdasarkan Data Korpus” yang dibentangkan dalam Seminar Kebangsaan Linguistik (SKALi 07) pada 21 Mac 2007 di Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi; “Sinonim yang Tidak Semakna dalam Akhbar Melayu: Kajian Berdasarkan Data Korpus” dalam Persidangan Antarabangsa Memartabatkan Bahasa Melayu (25 – 27 November 2014) di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim; kertas kerja “Singkatan: Ringkas Biarlah Tepat” dalam Seminar Internasional ‘Tantangan Bahasa dan Sastera Indonesia/Melayu pada Era Masyarakat Ekonomi Asia (MEA)’ (18 hingga 19 Ogos 2015) di Universitas Gadjah Mada, Yogyakarta, Indonesia dan lain-lain lagi.

Menjadi pembimbing kursus bahasa untuk penjawat awam.

Menjadi pembimbing kursus bahasa untuk penjawat awam.

Selain bergiat aktif dalam bidang penulisan, Zaidi juga menjadi Munsyi Dewan sejak tahun 2001 lagi. Beliau aktif memberikan ceramah dan kursus peningkatan penguasaan bahasa Melayu dalam penulisan dokumen rasmi di beberapa kementerian dan jabatan kerajaan, antaranya termasuklah Bahagian Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri; Kementerian Pertanian dan Asas Tani; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Intan Bukit Kiara; Intan Wilayah Tengah; Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia; Jabatan Perhutanan Malaysia; dan Maktab Polis Diraja Malaysia.

Sering diundang sebagai pembimbing kursus bahasa yang dianjurkan oleh DBP.

Sering diundang sebagai pembimbing kursus bahasa yang dianjurkan oleh DBP.

Kepakaran yang meluas dalam bidang bahasa dan Linguistik, terutama dalam bidang tatabahasa Bahasa Melayu menjadikan beliau sebagai sumber rujukan bergerak oleh rakan-rakan. Kepakaran beliau bukan sahaja dimanfaatkan di DBP, malahan beliau sering di undang menjadi penceramah, pembimbing, pakar rujuk dan editor dalam bidang penulisan dan pengajaran bahasa Melayu di pelbagai organisasi. Di samping itu beliau turut di undang untuk menjadi hakim dalam pelbagai pertandingan bahasa peringkat kebangsaan dan antarabangsa, dan terlibat dalam program di radio MySuara FM, slot Riang Ria Bahasa Kita.

Menjadi tetamu jemputan di radio MySuara FM.

Menjadi tetamu jemputan di radio MySuara FM.

Sepanjang berkhidmat di DBP, beliau telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 2003 dan Anugerah Penghargaan Kesihatan pada tahun 2010 kerana tidak pernah mengambil cuti sakit sepanjang tahun tersebut. Menurut beliau lagi, beliau akan terus menulis selagi mampu kerana baginya menulis memberikan suatu kepuasan dan sebagai terapi kepada diri sendiri. Beliau akan terus berkarya menyampaikan ilmu dan menangani permasalahan yang berkaitan dengan bahasa Melayu. Beliau sedia membantu rakan-rakan yang memerlukan khidmat dan bimbingan berkaitan bahasa mahupun dunia penulisan.

Sila Beri Pandangan


  • Laman

  • Arkib