ikat

Judul                :           Ikat Limar: The Ancient Malay Textile

Penulis             :           Norwani Md. Nawawi

Harga               :           RM69.00

Tahun              :           2016

Penerbit           :           Dewan Bahasa dan Pustaka

Pengulas          :           Hassan Alias

IKAT limar merupakan kain ikat benang pekan yang dihasilkan melalui teknik sofistikated dengan menggunakan benang pekan yang dicelup warna. Teknik ini didokumenkan dalam banyak karya sastera klasik dan puisi dan diiktiraf sebagai tekstil yang paling halus dan bernilai tinggi.

Kain ikat limar banyak dihasilkan bagi golongan bangsawan dan istana dahulu kala. Malangnya kain ini tidak dihasilkan lagi di negara kita atas beberapa alasan. Antaranya, kekompleksitian penghasilannya dan ketiadaan penenun yang menguasai teknik ikat limar.

Buku ini mewakili kajian bersistematik terhadap corak dan motif ikat limar dengan menggunakan fabrik tulen limar dari muzium, kedai antik, penenun tempatan dan koleksi peribadi. Terdapat 10 bab dalam buku ini, iaitu (i) Sejarah Tekstil Malaysia, (ii) Teknik Ikat Limar, (iii) Kain Ikat di Malaysia, (iv) Penggunaan Tekstil dalam Budaya Malaysia, (v) Struktur Kain Limar, (vi) Jenis dan Corak Ikat Limar, (vii) Motif Ikat Limar, (viii) Warna Ikat Limar, (ix) Kebangkitan Semula Teknik Ikat Limar, dan (x) Kesimpulan.

Bab 1 merakamkan perspektif sejarah orang Melayu di Malaysia dan budaya yang berkaitan dengan tekstil. Yang ketara bagaimana orang Melayu mengekalkan nilai yang terdapat di sekeliling mereka dan berdasarkan pengalaman dalam upaya menghasilkan corak dan motif tekstil. Mereka  mengekalkan motif dan corak dahulu kala dalam penghasilan songket tetapi tidak pada ikat limar.

China dan India, dua negara pembuat tekstil yang hebat pada zaman purba mempunyai pengaruh yang besar dalam perkembangan tekstil di wilayah Asia Tenggara. Hal ini demikian kerana wilayah ini merupakan titik pertemuan strategik pedagang dan pengembara dari China dan India.

Penemuan sutera China sebelum abad pertama Sebelum Masihi menyemarakkan permintaan negara Barat. Beberapa laluan dirintis oleh pedagang Timur, antaranya dari China, mengelilingi Semenanjung Tanah Melayu dan berakhir di muara Sungai Ganges di India.

Sebelum mengenal pasti corak dan motif ikat limar, penting untuk mengkaji teknik ikat limar di negara lain. Bab 2 membincangkan teknik ikat limar di Jepun, Timur Laut Thailand, Hyderabad, India dan Palembang, Indonesia yang masih menghasilkan kain ikat. Walau bagaimanapun tanpa mengikra di mana dihasilkan, ikat limar yang terhasil sama dari segi kesan santak (bleeding). Yang membezakannya adalah cara ikat dan alat tenun yang digunakan. Hasil penyelidikan menunjukkan bahawa alatan untuk menghasilkan yan merupakan kunci penghasilan fabrik ikat limar.

Dalam Bab 3, penulis menyenaraikan jenis kain untuk membuat kain ikat iaitu ikat pua, ikat loseng, ikat limar dan cindai. Kain ikat pua contohnya, terdapat di Sarawak. Istilah ini merujuk kepada dua jenis kain, iaitu pua karap dan pua kumbu.

Kain ikat loseng banyak dihasilkan di Kelantan dan Terengganu. Kain ini dikaitkan dengan orang Champa yang berhijrah ke negeri-negeri berkenaan. Cara tenun kain ini juga berbeza dengan cara tenun pua. Penulis menghuraikan perkara ini secara terperinci di dalam buku ini.

Kain cindai yang asalnya disebut kain patola berasal dari India. Kain ini terkenal dari abad ke-14 hingga abad ke-16 apabila Melaka menjadi pusat perdagangan wilayah Asia Tenggara ketika itu. Dahulu kala kain ini dianggap “suci” dan mempunyai kuasa magik, mungkin kerana kecantikan rekaan dan kesukaran untuk menghasilkannya.

Kain ikat limar dihasilkan menggunakan teknik ikat pakan, menggunakan sutera yang diimport dari China. Pusat tenun kain ini biasanya terletak berhampiran pelabuhan supaya mudah mendapat bahan tenunan seperti kapas dari India, benang emas dari negara Arab dan sutera dari China.  Kain yang ditenun berwarna merah gelap dan diterangi warna jingga, coklat lembut, hijau dan putih.

Bab 4 memberikan tumpuan kepada kepentingan kain kepada orang Melayu selain sebagai bahan untuk membuat pakaian. Dahulu kala, kain biasanya ditenun di dalam negara atau dibeli dari negara lain seperti China, India dan Parsi.

kandung

Teknik menghasilkan kain ikat yang ditunjukkan di dalam buku ini.

Kain menjadi aset penting kepada pemiliknya, menunjukkan kedudukan seseorang dalam masyarakat dan petunjuk prestij dan status. Kain membezakan pemerintah dengan orang yang diperintah; sehingga kain tenunan berwarna kuning hanya berhak dipakai oleh keluarga raja sahaja.

Bab ini membahagikan kostum masyarakat timur laut Semenanjung Malaysia kepada dua, iaitu kostum untuk wanita dan kostum untuk lelaki. wanita Melayu biasa  di Terengganu dan Kelantan memakai pakaian berbentuk empat segi yang ringkas; menggunakan kain kapas dan sutera, sesuai bagi cuaca yang panas dan lembap.

Bagi kaum lelaki pula, mereka memakai sarung ringkas tanpa baju. Kainnya berbentuk segi empat, tidak berjahit  dan terdapat motif ikat di penghujung kain. Kaum bangsawan pula memakai baju potong siam hingga paras lutut dan kain samping menutupi pinggang.

Dalam bab ini juga diterangkan penggunaan kain dalam upacara lenggang perut, berkhatan, khatam al-Quran, perkahwinan, dan pengebumian jenazah.

Struktur kain limar diterangkan dalam Bab 5, yang membahagikan kain berkenaan mengikut bahagian tubuh manusia: Kepala (bahagian atas), punca kain (penghujung kain), badan kain (bahagian utama) dan kaki kain (bahagian terbawah). Penulis turut menghuraikan terminologi kain sarung dan kain lepas, seperti pengapit kepala kain, pengapit badan kain, daging kain dan tanah kain.

Bab 6 menerangkan jenis dan corak ikat limar. Jenis ikat limar terdiri daripada lima kategori utama: Kain ikat limar biasa, kain ikat limar bersongket, kain ikat limar tenggarun, kain ikat limar bersurat dan kain ikat limar telepuk. Corak ikat limar pula terdiri limar corak penuh, limar corak bertabur, limar corak jalur, limar corak siku keluang, limar corak tapak catur dan limar bersurat.

Motif merupakan elemen komposisi yang mengisi ruang dalam sesuatu reka bentuk. Dalam Bab 7, penulis membuat kajian tentang bentuk dan nama motif ikat limar yang mendorong kepada apresiasi dan pemahaman asal usul dan perkembangannya. Menurut penulis, nama motif ikat limar berkaitan dengan persekitaran dan gaya hidup penenun.

Motif terbahagi kepada tiga bahagian utama: Motif punca dan kepala kain, motif badan kain, dan motif pengapit kepala/badan dan kaki kain. Motif punca dan kepala kain kebanyakannya rebung pelbagai jenis, bunga melur, bunga sinar matahari, bunga cengkih dan bunga putu.

Motif badan kain biasanya disusun dalam bentuk mozaik atau corak jalur. Penenun mengambil unsur di sekeliling mereka sebagai motif, seperti buah-buahan, serangga, sungai dan bukit. Manakala motif pengapit kepala/badan kain dan kaki kain menggunakan unsur-unsur tumbuh-tumbuhan, haiwan dan pagar istana.

Warna kain ikat limar diadun dengan persekitaran asli Malaysia yang pelbagai. Walaupun memiliki pewarna yang terhad, penenun mampu menghasilkan warna ikat limar yang pekat dan cantik. Secara tradisional penenun menghasilkan warna daripada tumbuh-tumbuhan semula jadi seperti mengkudu, kunyit, asam gelugur dan daun tarum.

Bab 8 menerangkan bahan-bahan yang dijadikan pewarna untuk menghasilkan kain ikat limar. Pemilihan bahan-bahan juga khusus untuk warna tertentu.

Bab 9 menerangkan teknik menghidupkan semula ikat limar. Penulis menerangkan secara terperinci penyediaan perkakas untuk menghasilkan ikat limar. Selain itu, penulis turut memaparkan carta alir proses untuk menghasilkan kain ikat limar.

Buku ini memberikan gambaran yang terperinci tentang ikat limar dan proses penghasilannya. Pembaca dapat memahami penerangan kerana turut dilampirkan gambar rajah, ilustrasi dan foto berwarna-warni.

Selain menghidupkan semula tradisi ikat limar, penghasilan buku ini dapat mendidik masyarakat tentang kewujudan kain ikat limar yang pernah menjadi tekstil tradisional Melayu yang dibanggakan. Bagi generasi muda, buku ini dapat memberikan inspirasi kepada mereka untuk mempelajari dan menghargai budaya dan tradisi turun-temurun.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1045998
    Visit Today : 894
    This Month : 28597
    Total Visit : 1045998
    Hits Today : 2925
    Total Hits : 4293490
    Who's Online : 9
  • Kategori