sesat

Judul                :           Ajaran Sesat di Malaysia: Faktor Penyebaran dan Cara Penyelesaiannya

Penulis             :           Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Harga               :           RM20.00

Tahun              :           2015

Penerbit           :           Dewan Bahasa dan Pustaka

Pengulas          :           Hassan Alias

DI Malaysia, ajaran sesat masih merupakan ancaman utama yang mampu memporakperandakan orang Islam khususnya dan negara amnya. Antara ajaran sesat yang pernah dan masih berleluasa ialah Syiah, Ayah Pin, al-Arqam, Ilmu Tajalli Ahmad Laksamana dan Tarekat Naqsyabandiah Kadirun Yahya.

Buku ini menjelaskan definisi ajaran sesat dan kategorinya yang wajib difahami oleh setiap Muslim supaya dapat dijauhi. Selain itu, buku ini bukan sahaja mengupas faktor dalaman dan luaran yang menyumbang kepada penyebaran ajaran sesat malah mencadangkan langkah-langkah yang perlu diambil oleh pihak berkuasa dan individu Muslim bagi membendungnya.

Terdapat tujuh bab dalam buku yang dapat memberikan gambaran tentang ajaran sesat, faktor penyebarannya dan langkah untuk membanterasnya.

Bab 1 mengupas tentang pengertian dan sejarah perkembangan ajaran sesat. Ajaran sesat secara umum merupakan ilmu yang diajarkan dan disebarkan secara rahsia mahupun secara terbuka kepada orang lain yang didapati menyimpang daripada kebenaran yang asal.

Bahagian Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mentakrifkan ajaran sesat sebagai ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang Islam atau bukan Islam yang mendakwa bahawa ajaran dan amalan tersebut berdasarkan kepada ajaran Islam sedangkan pada hakikatnya ajaran adan amalan yang dibawa itu bertentangan dan berlawanan dengan akidah Islamiah, bertentangan dengan al-Quran dan sunnah, bertentangan dengan mazhab yang muktabar dan bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnnah Wal Jamaah.

Penulis turut menyenaraikan ajaran sesat yang sudah wujud sejak zaman Rasulullah SAW, seperti kumpulan al-Aswad al-‘Unsi, seorang ahli nujum yang mendakwa dirinya nabi di Yaman. Kumpulan lain ialah yang diketuai oleh Musaylamah al-Kadhdhab dan kumpulan yang diketuai oleh Tulayhah bin Khuwaylid.

Pada zaman Khalifah, ajaran sesat tumbuh bak cendawan selepas hujuan tetapi berjaya dihapuskan.

Bab 2 mengupas ajaran sesat dari perspektif al-Quran dan sunnah. Penulis ingin mendapatkan perspektif yang benar tentang ajaran sesat berdasarkan rujukan dua sumber tersebut. Penulis mendapati masyarakat Islam belum memahami atau terkeliru tentang hakikat kesesatan yang terdapat dalam sesuatu ajaran sehingga berlaku tuduh-menuduh dalam kalangan kita.

Dalam masa yang sama penyebar ajaran sesat dapat mempengaruhi banyak orang untuk mengikuti mereka. Hal ini menghimbau kepada tuduhan yang dilemparkan oleh kafir Quraisy terhadap Nabi Muhammad SAW sebagai sesat dan memecahbelahkan masyarakat.

Kategori dan implikasi ajaran sesat diperincikan dalam Bab 3. Secara umum terdapat tiga kategori ajaran sesat, iaitu (1) bentuk ajaran baharu, (2) bentuk ajaran tarekat, dan (3) bentuk ajaran melalui kepercayaan dan amalan tradisi yang berhubung kait dengan perkara mistik dan budaya hidup.

Penulis turut menyenaraikan ciri ajaran sesat. Antaranya berpegang kepada akidah yang menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, mempertikaian kebenaran al-Quran dan hadis, individu yang mendiayahkan dirinya atau orang lain sebagai nabi terakhir atau sebagai Nabi Isa a.s dan sebagainya dan mempercayai wahyu masih turun selepas kewafatan Rasulullah SAW dan mencipta hukum-hakam yang baharu.

Penulis turut menghuraikan perkara tentang murtad, kufur dan hukuman terhadap orang yang murtad.

Bab 4 menyenaraikan faktor yang menyebarkan ajaran sesat. Antaranya kelemahan penguatkuasaan dan peruntukan undang-undang dan enakmen. Katanya, Perlembagaan Malaysia membatasi bidang kuasa mahkamah syariah kepada perkara-perkara berhubung dengan kesalahan-kesalahan yang tidak disebut dalam senarai Undang-undang Persekutuan.

Pengaruh bomoh dan pawang dalam masyarakat Melayu turut menyemarakkan penyebaran ajaran sesat.  Selain itu, adat istiadat orang Melayu yang diperturunkan dari generasi ke generasi turut membawa pengaruh budaya asing yang bertentangan dengan Islam. Masyarakat Melayu/Islam masih bergantung kepada kedua-dua perkara di atas untuk melayari hidup hingga mengabaikan Islam.

Ciri dan daya tarikan ajaran sesat mampu menimbulkan minat dan menggoda seseorang untuk menganutinya. Antara ciri yang paling menonjol adalah amalannya mudah dan tidak membebankan, imej guru dan pengasas ajaran sesat yang berkarisma, ciri-ciri kerahsian yang mengongkong pemikiran pengikut dan kejahilan seseorang terhadap ajaran Islam.

Penulis turut menghuraikan faktor luaran yang mempengaruhi penyebaran ajaran sesat dalam Bab 5. Faktor yang paling menionjol adalah pengaruh media massa seperti televisyen, media cetak, internet dan filem di samping muzik. Medium ini menyebarkan budaya Barat yang menghakis penghayatan Islam yang sebenar dalam pemikiran generasi muda terutamanya.

Penulis turut membangkitkan pengaruh budaya Barat dalam kehidupan umat Islam. Antara penyelewengan hasil pengaruh budaya Barat adalah seseorang membebaskan diri daripada ikatan keagamaan. Satu lagi adalah apabila seseorang merasakan Islam terlalu suci, oleh itu tidak boleh dicampuradukkan dengan urusan keduniaan seperti sosial, politik dan ekonomi.

Dalam Bab 6 penulis mencadangkan langkah-langkah untuk membanteras ajaran sesat. Antaranya memperkemaskan peranan jabatan-jabatan agama negeri, mewujudkan keseragaman peruntukan undang-undang antara JAKIM dengan jabatan-jabatan agama negeri dan mengeluarkan garis panduan yang muktamad berkenaan ciri-ciri ajaran sesat yang perlu diketahui  oleh orang awam agar mereka tidak terkeliru.

Senarai 55 ajaran yang diwartakan sebagai sesat terdapat dalam Bab 7. Penulis turut mendedahkan sedikit maklumat beberapa ajaran sesat di Malaysia.

Penulis menyimpulkan bahawa sebahagian masyarakat Islam belum memahami dan terkeliru berkenaan hakikat kesesatan yang terdapat dalam sesuatu ajaran hingga berlaku tuduh-menuduh dalam kalangan mereka. Pertikaian berlaku hingga tahap mempersoalkan akidah dan pegangan masing-masing.

Buku ini mampu membuka minda dan jiwa umat Islam untuk memberikan perhatian yang khusus kepada akidah Islam yang merupakan benteng pertahanan dan perisai kukuh umat Islam untuk mendepani ajaran sesat dan pemikiran yang menyeleweng. Akidah Islam tidak cukup hanya dipelajari malah memerlukan pemahaman dan penghayatan dalam setiap aspek kehidupan. Inilah kunci utama menjadikan umat Islam sebagai umat wasatiyah dan umat terbaik sebagaimana yang dituntut oleh al-Quran dan Rasulullah SAW.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1045760
    Visit Today : 656
    This Month : 28359
    Total Visit : 1045760
    Hits Today : 2117
    Total Hits : 4292682
    Who's Online : 8
  • Kategori