Oleh PROF. DR. SOLEHAH ISHAK

Prof. Dr. Solehah Ishak ketika memperkenalkan buku Jejak Seni.

Prof. Dr. Solehah memperkatakan buku Jejak Seni pada majlis pelancarannya.

JEJAK SENI: Dari Pentas Bangsawan ke Media Prima Berhad (2017: Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka). Inilah tajuk buku hasil tulisan Tan Sri Johan Jaaffar, penulis (yang menulis rencana, esei, kritikan), penulis kreatif (yang menulis novel, cerpen, drama — sama ada drama TV, radio, pentas, adaptasi, terjemahan), pelakon, pengarah, tokoh budayawan dan tokoh korporat. Jejak Seni ialah kumpulan cerita peribadi seorang penglipur lara glokal yang tersohor.

Saya mula memerhatikan Johan melalui lakonan beliau dengan watak Mahatahu dalam Angin Kering, di Universiti Malaya, walaupun pada masa itu beliau tidak mengenali saya. Saya mula berkenalan dengan beliau dan isterinya Puan Sri Sarah, sejak zaman Dewan Bahasa dan Pustaka mereka lagi. Pada saya, mereka ialah Jo dan Sarah. Sesungguhnya, Jo sangat luar biasa orangnya.

Saya telah lama meneliti dan akan sentiasa mengikuti perkembangan Johan sebagai seorang dramatis yang berwibawa yang berwacana tentang dimensi sosio-budaya-politik-ekonomi negara dan masyarakat dalam pelbagai strata sosial dengan beraneka liku dan ranjau kehidupan melalui nada beliau yang begitu tajam, sinis dan kritis.

Pada tahun 2014, saya menterjemahkan bukunya, Drama Pentas Johan Jaaffar (2012: Terbitan Balang Rimbun Sdn. Bhd.) dengan tajuknya dalam bahasa Inggeris, Johan Jaaffar: These Are My Plays (2014: Terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia). Oleh yang demikian, saya boleh mengaku bahawa saya telah tahu dengan mendalam bukan sahaja tentang tujuh skrip drama karya Johan Jaaffar, malah tentang minda kepengarangannya.

Pembacaan buku ini sangat bermakna kepada saya. Sebahagian daripada cerita lisan yang sudah diceritakan kepada saya mempunyai dimensi yang baharu apabila diterbitkan sebagai buku. Saya melihat melalui kaca mata yang berbeza tentang keperitan sejarah seni persembahan tanah air, daripada seorang tokoh yang amat luar biasa, yang sudah mula terlibat dalam dunia seni persembahan sejak beliau dalam zaman persekolahan lagi, pada umur yang masih amat muda.

Membaca buku ini membuka pintu minda saya seluas mungkin. Minda akademik dengan teori seni persembahan sahaja tidak memadai untuk benar-benar menangkap pelbagai pengertian dan beraneka subteks yang disajikan oleh Johan.

Jejak Seni bukan hanya membincangkan evolusi seni persembahan di Semenanjung Malaysia, malah lebih penting lagi membincangkan transformasi sosial dan budaya, pendidikan dan teknologi, kemiskinan dan perubahan sosioekonomi dan makna kehidupan yang terjadi selama 50 tahun, yang mempunyai dampak terhadap seni persembahan, berdasarkan pengalaman peribadi Johan sendiri.

Johan bukanlah sekadar seorang “orang seni”, tetapi sesungguhnya beliau seorang pejuang yang tergila-gila berenang dalam ombak badai dunia seni persembahan, tanpa menyerah kalah. Oleh itu, memahami kisah perjalanan seorang seniman yang tergila-gila dalam dunia seni persembahan di tanah air kita ini, membangkitkan dimensi baharu dalam pandangan menyeluruh (Weltanschauung) saya terhadap evolusi dunia seni persembahan di Semenanjung Malaysia.

Buku ini mengandungi 76 bab. Sebahagian besar (48 bab) daripada keseluruhan buku ini ditulis oleh Johan sebagai rencana majalah Dewan Budaya selama 48 bulan (dari Julai 2007 hingga Jun 2011). Bab-bab ini membincangkan pengalaman pahit manis dan suka duka beliau dalam dunia seni. Bab yang lain membicarakan tentang pengalaman beliau mengarahkan drama adaptasi, drama TV dan juga tentang tokoh seni dan seniman yang melintasi atau singgah dalam kehidupan beliau.

Buku ini merangkumi perjalanan seni Johan dari kampungnya, Kampung Sungai Balang Besar, “pekan koboi” di Muar, Johor. Dekad 1960-an ialah era hiburan funfair dan juga era seni persembahan bangsawan masuk ke kampung, sebagai satu produk yang diperniagakan. Pada tahun 1965 itu, kumpulan Bintang Timur Opera masuk dan memperniagakan persembahannya kepada penduduk Kampung Sungai Balang Besar, tempat Johan dilahirkan dan membesar.

Ketika kumpulan Bintang Timur Opera mula mengadakan persembahan bangsawan di pekan koboi tersebut, Johan sudah berusia 11 tahun, iaitu darjah enam di Peserian Primary English School, pekan Semerah. Kumpulan ini diketuai oleh Bakar M, dan dibantu oleh anak-anaknya, Rahman B, Rahim B, dan Rohani B. Johan merapatkan dirinya dengan kumpulan bangsawan ini. Pada mulanya dia bekerja sebagai pembekal barang tertentu yang diperlukan (buluh) dan tukang beli barang keperluan dapur, minuman dan rokok untuk mereka. Kemudian beliau diupah sebagai penarik tirai panggung bangsawan tersebut.

Johan melihat seni persembahan bangsawan pada pertengahan dekad 1960-an itu dengan ingatan yang tajam. Beliau melihat pelakon bangsawan terpaksa mengepam lampu gas yang menerangi panggung kerana ketika itu Kampung Sungai Balang Besar belum mempunyai bekalan elektrik. Oleh itu, persembahan bangsawan tersebut tidak dapat menggunakan teknik pencahayaan tertentu. Pada masa itu juga panggung bangsawan dipenuhi serangga yang datang kerana tertarik dengan cahaya lampu gas tersebut. Beliau juga melihat bagaimana Bakar M menjaga disiplin keluarga kumpulan operanya itu.

Pada usia sebelas tahun Johan sudah tergila-gilakan kecantikan dan bakat Rohani B, primadona atau seri panggung kumpulan bangsawan itu. Oleh sebab Rohani B tidak tahu membaca, Johan menjadi tukang baca surat-surat yang diterima oleh Rohani B daripada para peminatnya, termasuk surat cinta daripada tokoh penyair yang sudah pun terkenal ketika itu.

Amat lucu cara Johan menukilkan kisah membaca surat cinta tersebut, menapis isi surat tersebut (di mana perlu) sebelum diceritakan kepada Rohani B dan memakan kuih-muih yang diberikan oleh para peminat primadona tersebut (kerana Rohani B takut memakannya. Subteksnya adalah beliau mungkin takut dikenakan ilmu pengasih).

jejak seniBangsawan mengisi kalbu Johan. Beliau mengagumi dan hidup bersama-sama bangsawan hinggalah kumpulan Bintang Timur Opera berkubur tanpa nisan di pekan koboi itu. Keluarga Bakar M menghilangkan diri. Rohani B, seri panggungnya, juga menghilangkan diri. Tiada lagi surat peminat yang akan dibaca. Tiada lagi tirai panggung akan ditarik. Kalbu Johan kehilangan panggungnya.

Tetapi kematian bangsawan digantikan oleh seni persembahan “baharu”, iaitu sandiwara. Walaupun sandiwara di Kampung Sungai Balang Besar itu lahir tidak dirancang dan tidak mempunyai primadona seanggun Rohani B, Johan tetap melibatkan dirinya. Sandiwara ini produk seni orang kampung Johan.  Mereka menggunakan peralatan panggung yang kesemuanya ditinggalkan begitu sahaja oleh kumpulan Bintang Timur Opera yang terpaksa gulung tikar.

Sandiwara ialah genre transisi dalam evolusi teater moden Melayu. Sejak diperkenalkan oleh Cikgu Shaharom Hussein di Batu Pahat pada 1930, sandiwara menjadi genre drama yang menggunakan skrip. Oleh itu, pada tahun 1969, Johan mula menjadi penulis skrip drama. Skrip pertamanya ialah “Uda dan Dara” yang merupakan penyesuaian cerita Romeo dan Juliet yang dibaca di sekolah Inggerisnya. Sejak itu, pementasan oleh kumpulan sandiwara Badan Bestari Sungai Balang banyak bergantung kepada skrip yang ditulis oleh Johan.

Dalam masa yang sama, Johan mula terlibat sebagai pelakon drama, bermula dengan peranan sebagai pak pacak dan badut. Dalam era sandiwara ini, Johan aktif sebagai penulis skrip dan pelakon drama di kampung. Dalam masa yang sama, Johan juga aktif menonton filem di panggung Kandar, di Semerah.

Johan bukan sahaja menggilai bangsawan atau sandiwara malah filem dan bintang filem. Kegilaan Johan terhadap bintang filem bermula ketika bintang filem terkenal seperti P. Ramlee, Saloma, Saleh Kamil, Wahid Satay, Aziz Satar dan ramai lagi mengadakan persembahan di funfair Kampung Sungai Balang Besar. Johan begitu tergila-gilakan kecantikan dan bakat Latifah Omar.

Johan “bekerja” sebagai pembekal air minuman kepada para bintang filem tersebut dengan upah 10 atau 20 sen semalam. Tugas beliau yang lain pula adalah sebagai “pembaca surat” dan “penyimpan rahsia” yang amat dipercayai. Minda Johan mula diisi dengan kegilaan yang mendalam terhadap seni persembahan. Kegilaan ini berterusan selama setengah abad.

Kerana aktif dalam dunia sandiwara ini dan mungkin kerana asyik dengan dunia filem, pelajarannya terabai. Akibat drama dan panggung wayang, Johan gagal dalam peperiksaan MCE pada tahun 1970. Johan menduduki semula peperiksaan MCE pada tahun berikutnya dan berjaya mendapat kelulusan yang baik. Setahun beliau tidak terlibat dengan drama.  Ini salah satu sebab kumpulan sandiwara Badan Bestari Sungai Balang juga berkubur tanpa nisan.

Johan melanjutkan pelajaran dalam tingkatan enam di High School Muar. Setelah itu beliau melanjutkan pelajaran di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Anak penoreh getah yang miskin ini pergi ke Universiti Malaya dengan menumpang sebuah lori milik orang Cina yang membawa sayur ke Kuala Lumpur.

Kemiskinan memaksanya bekerja sambilan. Biasiswa yang diterimanya hanya cukup untuk membayar yuran pengajian. Oleh itu Johan terpaksa bekerja sebagai budak jaga kereta, tukang cuci di kedai menjual motosikal, pembersih tandas di bangunan NST di Jalan Bangsar, sebagai “tukang nangis” upacara pengebumian orang Cina dan sebagainya. Johan terpaksa mengharungi ranjau sepanjang jalan kehidupannya, terutamanya ketiadaan wang.

Universiti Malaya menjadi tempat Johan kembali aktif dalam kegiatan berteater. Dunia teater di Universiti Malaya tentulah amat berbeza daripada dunia bangsawan dan sandiwara kampungnya. Kumpulan Kesenian Universiti Malaya (KESUMA) dan Panggung Eksperimen Universiti Malaya entiti yang menjadi pusat kegiatan berteaternya yang baharu. Di sinilah bakat dan komitmen Johan terhadap dunia seni persembahan semakin mantap, terutamanya penulisan skrip drama.

Suasana kampus banyak memberikan inspirasi untuk berkarya: Politik kampus, pengalaman menjadi dan bergaul dengan warga miskin, menonton teater karya dan produksi orang lain, bergaul dengan dramatis yang sudah berpengalaman, kehadiran prasarana yang cukup untuk berteater dan sebagainya. Di kampus juga Johan berhadapan dengan konsep teater eksperimen yang boleh dilahirkan di Panggung Eksperimen Universiti Malaya.

Pada tahun 1975, Johan memainkan peranannya sebagai penulis skrip. Beliau menghasilkan skrip Kotaku Oh Kotaku. Inilah skrip drama yang dihasilkan oleh seorang anak kampung yang baru berkenalan dengan masyarakat kota Kuala Lumpur. Oleh itu skrip ini menampilkan 19 watak, antaranya Pelacur, Tukang Sapu, Pengangkut Najis, Jebat, Penyair Agung, Pengarang Agung, Perancang Bandar, Doktor, Peon, dan pasangan Teruna dan Dara.

Kejayaan pementasan teater Kotaku Oh Kotaku adalah mercu tanda kelahiran Johan sebagai seorang tokoh penulis skrip teater yang disegani. Selepas itu Johan menghasilkan skrip Angin Kering dan beberapa skrip lagi (lihat Johan Jaaffar: These are My Plays, 2014). Beliau mendapat gelaran “orang teater absurd”, “orang teater moden”, “orang teater generasi ketiga” dan sebagainya.  Jejak seninya semakin ketara sewaktu menjadi mahasiswa Universiti Malaya.

Setelah memperoleh ijazah, Johan bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka mulai Julai 1977 hingga Oktober 1992. Dari tahun 1977 hingga 1989, Johan aktif dalam kegiatan teater DBP. Beliau menulis skrip, berlakon dan mengarahkan teater. Selepas tahun 1989, Johan tidak aktif lagi dalam dunia teater.

Ketika bertugas sebagai Ketua Pengarang Kumpulan Akhbar Utusan Melayu (1992-1998) beliau masih menulis tentang dunia filem. Antara tahun 1998 dengan 2009, setelah tidak lagi bekerja dengan Kumpulan Akhbar Utusan Melayu,  Johan bekerja sendiri dalam bidang penternakan dan pertanian, dan masih menyumbangkan tulisannya tentang dunia seni persembahan untuk majalah Dewan Budaya mulai Julai 2007. Johan meneruskan kegiatannya menulis tentang seni persembahan Melayu sehingga Jun 2011. Beliau dilantik memegang jawatan Pengerusi Media Prima Berhad dari April 2009 hingga Ogos 2015.

Jejak seni dan kehidupan Johan Jaaffar merupakan drama panjang yang mempunyai ratusan babak dan adegan yang kompleks, tetapi diikat dalam satu jaringan lebar oleh rangkaian tali kegilaannya yang jujur terhadap dunia seni persembahan yang mengisi kalbunya.

Di dalam Jejak Seni, Johan juga bercerita tentang tokoh-tokoh dalam dunia seni persembahan tanah air seperti Usman Awang, Anuar Nor Arai, Krishen Jit, Zakaria Arifin, Yassin Salleh, Mustapha Noor, Wan Hanafi Su, Hatta Azad Khan, Sabri Yunus, Othman Haji Zainuddin, A. Jalil Hamid, Fauziah Nawi, A. Rahim Muda, Dinsman, Pak Samad Said, Pak Samad Ismail, Anwar Ridhwan, Sutung Umar RS, Zaharah Nawawi, Tiara Jacquelina, Baharuddin Zainal, Atondra dan ramai lagi. Peranan setiap orang yang namanya disebut di dalam buku ini diceritakan seadanya. Jejak seni Johan sesungguhnya bercampur baur dengan jejak tokoh-tokoh tersebut.

Antara ratusan seniman, bintang dan kawan yang menjelma dalam kehidupan Johan, saya memberikan perhatian kepada rakan beliau, Yassin Salleh, “halimunan yang baik yang menjelma sebagai sahabat setia semasa susah”, (hlm. 206). Dinyatakannya di dalam buku ini, “Selama banyak tahun saya berada ‘di luar lingkaran’… Yassin… bersama-sama saya, menemani saya, meladeni saya, memujuk saya, menenangkan saya” (hlm. 206).

Zaman berada “di luar lingkaran” dinyatakan kepada saya sendiri dengan lebih kesat lagi, “Saya jadi paria, Sol….” Memang wajar dan tepat, di dalam buku yang membincangkan tentang jejak seni, Johan hanya menyatakannya secara sepintas lalu (dalam beberapa ayat, semasa membincangkan tentang sahabatnya, Yassin Salleh) zaman “di luar lingkaran ini”. Saya memberikannya fokus sebagai satu lagi ranjau dalam kehidupan Johan. Tetapi kesemua ranjau ini sebenarnya menjadikan beliau seperti besi yang disepuh, semakin kuat dan tajam.

Saya tidak akan membicarakan jejak Johan secara terperinci, tetapi sebagai pengkaji drama dan seni persembahan teater, saya mesti menghimbau khalayak untuk melihat Johan sebagai seorang tokoh penulis skrip teater yang disegani dan dikagumi, sama ada beliau dilihat sebagai “orang teater absurd”, “orang teater moden”, atau “orang teater generasi ketiga”.

Pada saya, buat masa ini, kalau saya terpaksa memilih sebuah drama beliau sahaja, saya akan memilih “Asiah Samiah” sebagai drama beliau yang terbaik. Sayangnya, drama ini masih belum lagi dipentaskan. (Ini satu harapan dan cabaran saya kepada penggiat teater untuk mementaskannya dan cabaran saya juga kepada Johan untuk menulis drama baharu yang akan menandingi dan mengatasi “Asiah Samiah”.)

Bagi saya, buku ini maha karya, yakni bukan tentang kehidupan semata-mata, malah tentang manusia yang bernama Johan Jaaffar. Dulu, pertama kali saya pergi ke pejabat beliau di bangunan New Straits Times di Bangsar, beliau berkata, “Sol, saya pernah mengutip akhbar lama dan mencuci bangunan,” dan sambil kami berjalan  ke tingkap pejabatnya, beliau  menambah, “dan saya pernah bekerja di salah sebuah kedai motosikal di bawah sana.”

Sememangnyalah, “hidup umpama pusingan roda” ­– kita tidak akan sentiasa berada di bawah atau di atas buat selama-lamanya. Jejak-jejak kehidupan Johan membuat kita kagum dengan kegigihan beliau dan menghormati beliau dengan lebih lagi. Dan pada saya, Johan manusia yang mempunyai moral compass yang tidak boleh dirundingi, dan untuk itu saya tabik dan menghormati beliau. Lebih daripada itu, Jejak Seni membuat kita berfikir tentang hati dan jiwa Johan, terutamanya tentang nilai kemanusiaannya, kegigihannya, tentang ketulusan dan semangat juangnya yang sentiasa membara, yang menyebabkan tanggapan saya terhadap insan yang bernama Johan Jaaffar ini mengalami pemantapan dan enforcement yang cukup besar.

Buku ini sangat penting dibaca oleh para pelajar dan aktivis teater, para budayawan, seniman dan ilmuwan yang ingin mengenali dunia seni persembahan Melayu. Buku ini dokumentasi yang mantap dan jitu tentang sejarah seni persembahan tanah air. Jejak Seni juga penting bagi mereka yang ingin menyelami makna kehidupan, persahabatan, kuasa, kekuasaan, pemimpin dan kepimpinan.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046326
    Visit Today : 1222
    This Month : 28925
    Total Visit : 1046326
    Hits Today : 4029
    Total Hits : 4294594
    Who's Online : 14
  • Kategori