Oleh DR. NAZARIYAH SANI 

Bacalah… sebutlah dengan nama
Tuhan yang menciptakan
Segala kejadian di dunia

Bacalah… tulislah dengan pena
Wahyu yang diutuskan
Risalah kebenaran untuk insan

BEGITULAH bait-bait lirik dalam lagu “Apa Yang Kautahu” alunan kumpulan Rabbani. Sesungguhnya diksi yang terkandung dalam lirik lagu tersebut mengajak pendengar supaya membaca, menulis dan memahami wahyu yang diutuskan.  Secara tersirat Rabbani mengajak pendengar memperkukuh asas ilmu pengetahuan berbahasa.  Begitu penting perkataan “bacalah”, “tulislah” dan “fahamilah” sebagai asas penguasaan ilmu pengetahuan namun ketiga-tiga perkataan ini belum menjadi budaya generasi Malaysia hari ini.

Turunnya wahyu pertama seiring dengan kedatangan agama Islam membawa perubahan besar terhadap bidang ilmu pengetahuan dan pendidikan sejagat. Ilmu pengetahuan dan pendidikan amat berkait antara satu sama lain terutama tentang kebolehan membaca dan menulis.  Perintah membaca, اقراء seperti dalam wahyu pertama kepada Junjungan Besar Nabi Muhamad SAW merupakan perintah terus daripada Allah SWT. Rentetan itu, umat Islam sejagat diperintahkan supaya membaca dan menulis untuk melepaskan diri daripada kongkongan kejahilan dan kemunduran dalam semua bentuk kehidupan.  Situasi demikian sejajar dengan inspirasi al-Quran sebagai wahyu Allah kepada Rasul-Nya.

Menerusi pembacaan atau pemilikan ilmu, kita dapat memperkukuh pengetahuan bahasa.  Hal ini demikian kerana aktiviti membaca, menulis dan memahami memerlukan seseorang itu melibatkan diri dalam pelbagai proses kemajuan dan kematangan diri untuk mencapai matlamat kehidupan. Pembacaan merangsang banyak proses seperti proses pemerhatian, ingatan dan daya kreativiti untuk mencapai kecemerlangan, menghampiri kesempurnaan dan merangkul kebahagiaan. Pembacaan juga dapat menyingkap tabir kejahilan yang sentiasa menghalang manusia daripada mengenal Tuhan yang sebenar.  Dengan membaca, manusia didorong kepada rasa ingin tahu atau ingin memahami hakikat kejadian.

Kepentingan membaca dan memahami itu dibuktikan apabila para ilmuwan ditanya tentang langkah pertama menuju kejayaan. Jawapan mereka sama, iaitu melalui penguasaan ilmu. Bagaimanakah untuk menguasai ilmu?  Pastilah dengan membaca, menulis dan memahami.

Analoginya mudah sahaja untuk mencanai tiga perkataan yang menjadi mauduk bicara ini. Sekiranya anda membaca Kamus Dewan, tertulis bahawa perkataan lingua franca berasal daripada bahasa Latin.  Setelah membaca apa-apa yang tertulis, barulah anda dapat memahami perkataan lingua franca itu yang bermaksud bahasa perantaraan atau bahasa perhubungan antara masyarakat atau orang-orang yang berlainan bahasa di seluruh dunia.

Membaca langkah pertama untuk menjadi orang yang berjaya.

Membaca langkah pertama untuk menjadi orang yang berjaya.

Menerusi pembacaan aksara di media cetak juga anda pasti memahami bahasa Melayu pernah menyandang status lingua franca suatu masa dahulu.  Namun status itu sirna kini oleh era globalisasi. Mengapakah hal ini demikian? Pertanyaan ini timbul kerana pembaca yang telah membaca ingin pula memahami.

Sekiranya anda terus membaca, pasti sampai kepada titik kefahaman bagi persoalan tersebut, iaitu tatkala dunia mengecil dan sempadan dunia mulai hilang, usaha dan semangat pengguna bahasa Melayu untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu kini sebenarnya merupakan kesinambungan suatu sejarah gemilang bahasa Melayu yang telah terbina sejak tahun 1957.

Pembacaan seterusnya membuatkan anda semakin faham bahawa upaya mereka sebagai pejuang bahasa sebenarnya lebih merupakan salah satu upaya meningkatkan “taraf antarabangsa” yang telah dicapai oleh bahasa Melayu, selari dengan keperluan perkembangan zaman.  Meskipun bahasa Melayu tersebar dan dipelajari di mana-mana bahagian di dunia ini, dan dengan demikian melayakkannya bertaraf antarabangsa, namun peranannya sebagai wahana kehidupan moden dalam kalangan masyarakat antarabangsa masih agak samar. Hal ini selaras dengan kenyataan bahawa keantarabangsaan bahasa Melayu kini jika dibandingkan dengan keantarabangsaannya pada zaman gemilang tamadun Melayu masih jauh daripada yang diharapkan.

Sebenarnya dalam hasrat memperkukuh bahasa, budaya membaca perlu diamalkan dari kecil. Sebagai ibu bapa, kita perlu membudayakan anak-anak membaca sejak kecil atau sejak di dalam kandungan lagi. Budaya membaca bagi anak di dalam kandungan ini boleh dimulai sejak anak berusia tujuh bulan, kerana janin sudah dapat mendengar suara ibu.  Si ibu boleh membaca buku dengan nada yang kuat sambil berbual-bual dengannya. Kesannya, setelah mencapai usia kanak-kanak, dia cenderung belajar, tidak malas dan rajin membaca.

Namun begitu, untuk membudayakan membaca dan menulis dalam keluarga tidaklah semudah memakan kacang atau memetik jari.  Hal ini demikian kerana aktiviti membaca ini memerlukan waktu untuk fokus, menggunakan tenaga dan memerah minda ibu bapa. Sebagai ibu bapa, inilah tanggungjawab kita; jangan mudah menyerah kalah.

Saya  tidak mewajibkan anak-anak membaca sebaliknya memilih pendekatan yang lebih santai dan dipenuhi kasih sayang.  Saya mewujudkan situasi yang merangsang rasa gembira anak-anak sehingga mereka berasa seolah-olah sedang bermain dengan buku. Akhirnya, saya mendapati buku menjadi sahabat karib anak-anak saya.

Selain itu, semasa melayan anak makan, saya mengambil peluang membaca buku-buku santai. Budaya membaca buku sambil makan itu menyebabkan anak mencintai dunia penulisan kerana mereka telah kaya kosa kata. Menerusi pembacaan, imaginasi yang tinggi terbentuk. Lahirlah puisi dan cerpen nukilan anak-anak hasil bimbingan saya.  Rumusannya pembacaan itu bergabung jalin dengan penulisan.

Sebagai ibu, kita perlu membimbing anak-anak menentukan langkah kehidupan, seterusnya mendorong mereka mengembangkan potensi yang dimiliki. Hasil pelaburan yang sangat berharga tanpa modal wang ringgit tetapi kasih sayang ini sungguh menakjubkan.

Ibu bapa perlu akur bahawa kecerdasan amat dipengaruhi oleh kemampuan berbahasa anak-anak. Kemampuan membaca ini berawalkan kebiasaan anak-anak membaca.   Anak-anak yang banyak membaca akan memiliki pengetahuan yang tinggi dan wawasan berbanding dengan anak-anak yang tidak suka membaca.  Anak-anak kita yang cerdas inilah yang akan meneruskan legasi pengukuhan bahasa tercinta.  Oleh itu wahai ibu bapa, bacalah… tulislah… dan fahamilah.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1045872
    Visit Today : 768
    This Month : 28471
    Total Visit : 1045872
    Hits Today : 2511
    Total Hits : 4293076
    Who's Online : 13
  • Kategori