partment

Tajuk Buku : “Dunia Adalah Sebuah Apartmen”

Tahun Terbit : 2009

Penulis : Anwar Ridhwan

Pengulas : Atiqah Abd Rahim

MEMBACA cerpen sering menjadi pilihan umum yang mahukan pembacaan singkat dan mudah difahami. Plot cerita yang padat dan ringkas memberikan kepuasan membaca di samping nilai estetika bahasa sastera tidak diabaikan. Bilangan halaman antara tujuh dengan lima belas muka surat menjadikan hobi membaca boleh dilaksanakan oleh sesiapa sahaja termasuk mereka yang kesuntukan masa atau yang mahukan kesudahan plot yang tidak meleret-leret. Antologi cerpen iaitu himpunan beberapa cerpen dalam sebuah buku memberi pilihan kepada pembaca untuk menikmati pelbagai peristiwa dan fikiran yang ingin disampaikan oleh penulis.

‘Siri Kumpulan Cerpen Pilihan Abad ke-20’ ini menghimpunkan kumpulan cerpen Sasterawan Negara Anwar Ridhwan dengan karya-karya yang telah diterbitkan sebelum ini di akhbar, majalah, jurnal, atau dalam bentuk kumpulan cerpen perseorangan atau kumpulan cerpen bersama. Mengambil tajuk utama cerpen, “Dunia Adalah Sebuah Apartmen”, sejumlah dua puluh cerpen dimuatkan dalam siri ini. Antaranya ialah “Perjalanan Terakhir”, “Sesudah Perang”, “Sehari dalam Hidup Jinggat”, “Jambu Anak Sungai”, “Sasaran”, “Dalam Kabus”, “Pertempuran”, “Fikir Yuyutsu”, “Tik! Tik! Tik!”, “Jika Esok Tiba”, “Dinihari”, “Dunia Adalah Sebuah Apartmen”, “Love of the Dragon”, “Sahabat”, “Minoriti”, “Menjadi Tua”, “Muzik Manhattan”, “Dari Kijev ke Moskva”, “Puisi Terakhir di Makedonija”, dan juga sebahagian bab dalam novel terkenal beliau, “Naratif Ogonshoto” yang dimuatkan dalam siri ini iaitu “Naratif Ogonshoto # 7: Hering”.

Siri ini memaparkan beberapa kisah kehidupan masyarakat biasa sama ada melalui imaginasi, pemerhatian dan pengalaman yang dilalui oleh Sasterawan Negara Anwar Ridhwan sendiri. Buku yang diterbitkan pada tahun 2009 ini juga boleh dianggap sebagai diari kehidupan beliau. Menjadi kebiasaan kepada pembaca untuk meneliti biodata penulis buku selepas menyemak isi kandungan atau bab-bab keseluruhan buku. Terdapat beberapa cerpen dalam siri ini yang menggunakan nama tempat yang begitu sinonim dengan kerjaya beliau sebagai pejuang bahasa, cuma difiksyenkan watak-watak dan jalan ceritanya. Contohnya, enam cerpen terakhir, “Sahabat”, “Minoriti”, “Menjadi Tua”, “Muzik Manhattan”, “Dari Kijev ke Moskva” dan “Puisi Terakhir di Makedonija” mengambil latar tempat di Manhattan, New York City, Ukraine, Rusia, Makedonija (Macedonia) dan tempat kelahirannya di Sungai Besar, Selangor.

Dalam “Sahabat”, Sasterawan Negara Anwar Ridhwan menceritakan pertolongan sesama bangsa di negara orang iaitu di Manhattan, bandar New York. Sesetengah rakyat Malaysia yang berhijrah ke negara asing, mereka memahami kesusahan berada di negara orang dan menghulurkan bantuan kepada rakan senegara yang memerlukan pertolongan mereka. Sesetengahnya juga bagai kacang lupakan kulit yang menganggap keperitan berada di negara orang perlu ditempuhi sendiri dan tidak perlu mengharapkan orang lain. “Ini New York City ya, bukan Sungai Besar”, sebahagian dialog yang dinyatakan memberi ilustrasi akan kehidupan individualistik di bandar-bandar dunia. “Minoriti” dan “Muzik Manhatten” juga mengambil latar tempat di bandar Manhattan dengan penjelasan terperinci di setiap penjuru bandar memberi gambaran akan kecantikan dan pesona bandar idaman ini. “Menjadi Tua” mencuit hati pembaca dengan dilema seorang lelaki Malaysia, Hassan yang teragak-agak untuk menerima cinta seorang perempuan cantik dari Barat bernama Laura Bolan. Persoalan sama ada anak-anak hasil perkahwinannya nanti akan menghormati orang tuanya seperti adik-beradiknya di tanah air atau pada tahun 2017, Laura yang bertongkat berjalan bersendirian di jalan-jalan Manhattan disebabkan anak-anak yang telah besar meninggalkan mereka di hari tua. “Dari Kijev ke Moskva” dan “Puisi Terakhir di Makedonija” pula merakamkan pengalaman beliau semasa menjadi tetamu Persatuan Penulis Soviet dan menyertai Pertemuan Puisi Dunia di Struga, Yugoslavia.

Karya cerpen kebiasaanya membuka mata masyarakat untuk lebih berfikiran terbuka dan kritikal terhadap beberapa isu yang dianggap remeh dan diterima bulat-bulat semata-mata untuk mengikuti arus semasa. Penulisan sastera menjadi suara berhaluan kiri dan medan kepada penulis-penulis untuk menyelongkar isu tersebut dengan mengambil kira suara-suara yang tidak didengari dalam bentuk fiksyen. Walaupun penulisan fiksyen dianggap sebagai imaginasi dan tidak realiti, namun mesej yang disampaikan kebiasannya relevan kepada masyarakat. Penulisan sastera yang beranalisis dan merakamkan suara beberapa lapisan masyarakat akan memberi kesedaran kepada kita bahawa terdapat pelbagai fahaman dan perbezaan konflik dalam menghadapi sesuatu situasi mengikut budaya masyarakat dan kepercayaan masing-masing. Tidak wujudnya pandangan neutral dan satu garis lurus perjalanan hidup kerana manusia mempunyai pelbagai interpretasi dan ragam mengikut persekitaran yang didiaminya. Memahami sudut pandangan yang pelbagai akan mewujudkan sifat saling menghormati kehidupan masyarakat lain yang kadangkala dianggap pelik dan tidak masuk akal.

Dalam “Sehari dalam Hidup Jinggat” dan “Jambu Anak Sungai” menceritakan kehidupan dan pandangan orang Semenanjung khususnya terhadap masyarakat bumi Kenyalang Sarawak. “Sehari dalam Hidup Jinggat” merungkai persoalan kehidupan eksotik masyarakat Sarawak yang pernah menjalani kehidupan primitif seperti memburu kepala mangsa untuk diangkat menjadi hero. Pembangunan adalah salah satu isu dan dilema kepada masyarakat ini untuk mempertahankan adat dan budaya nenek moyang mereka. “Jambu Anak Sungai” pula mengisahkan sebuah keluarga yang miskin di daerah Baram. Oleh sebab kesempitan hidup melingkari Jambu, dia menjual anak yang baru tiga minggu dilahirkan kepada orang kaya. Selepas menjual anaknya, dia menyatakan hajat kepada isterinya untuk keluar dari daerah getah itu bagi memulakan kehidupan baru. Isterinya keberatan kerana sayang dan rindu akan anaknya di Baram nanti. Jambu memujuk isterinya tetapi isterinya meraung dan terjun ke dalam arus deras. Jambu kehilangan kedua-dua isteri dan anaknya. Kedua-dua cerpen ini memberi mesej bahawa kerajaan perlu memandang serius terhadap kesan pembangunan di Sarawak sama ada model pembangunan yang dirancang bersesuaian dengan situasi masyarakat di situ. “Dalam Kabus” pula mengisahkan kesan penjajahan British terhadap kawasan perlombongan dan masa depan bekas pekerja-pekerja seakan kelam apabila aktiviti perlombongan dihentikan. Namun, harapan muncul semula dengan penemuan batu serpentine untuk perhiasan jed ditemui.

Sasterawan Negara Anwar Ridhwan meluaskan tema penulisannya dengan penggunaan perlambangan sebagai satu refleksi terhadap individu dan perkara di sekelilingnya. Raja, sangkar dan apartmen menjadi taruhan dalam cerpennya. “Pertempuran” memberi gambaran bahawa seorang pemimpin perlu memimpin rakyatnya bukan sebagai seorang ketua tetapi meletakkan dirinya dalam keperitan masyarakat untuk menjadi pemimpin yang baik. “Tik! Tik! Tik!” dan “Dunia Adalah Sebuah Apartmen” pula melambangkan sangkar dan apartmen sebagai kurungan dunia manusia yang mempamerkan dosa dan andaian yang tidak pasti. Dosa-dosa dan rumor yang melingkari hidup manusia tidak ubah seperti penjara besi yang menyaksikan penyeksaan dan kejahilan mangsa di dalamnya. Perlambangan terhadap subjek dalam penulisan menjadi pilihan kepada penulis-penulis dunia seperti Hermann Hesse kerana telah memberikan idea yang abstrak dan genius dalam memberikan penjelasan terhadap suatu watak dan latar ceritanya.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046648
    Visit Today : 264
    This Month : 29247
    Total Visit : 1046648
    Hits Today : 492
    Total Hits : 4295294
    Who's Online : 8
  • Kategori