hikayat jelajah ke barat 12

Judul: Hikayat Jelajah ke Barat

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun: 2014

Pengulas: NOR ALIA FATIHAH NOR AZIM

Jika dalam kesusasteraan Melayu, karya klasik agung kita ialah Hikayat Iskandar Zulkarnain, Hikayat Hang Tuah, Sejarah Melayu dan Sulatus Sulatin, bagi negara China pula karya agung klasik mereka ialah Hikayat Tiga Negara, Hikayat Pinggir Air dan Hikayat Jelajah ke Barat. Antara tiga karya agung klasik China tersebut Hikayat Jelajah ke Barat yang diterbitkan pada zaman dinasti Ming (1368 – 1644), adalah yang paling tersohor, yang dikenali sebagai novel klasik yang ditulis oleh Wu Cheng Eu.

Dalam Ensiklopedia Inggeris, Xi You Ji diperkenalkan sebagai karya rekaan Wu Cheng Eu pada abad ke-14 yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris dengan judul Monyet. Karya ini dikenali ramai sebagai novel dewata China yang paling berharga. Dalam Ensiklopedia Jerman karya ini diulas sebagai novel humor Wu Cheng yang bukan sahaja membabitkan agama Konfusianisme Buddhisme dan Taoisme, malah mengandungi isi fikiran yang dalam dan bermakna. Karya ini lebih merupakan karya ciptaan legenda dewata yang menggambarkan penentangan rakyat terhadap golongan pemerintah feudal.

Sejak kecil penulis ini bijak bestari orangnya dan sangat meminati karya yang berkisar tentang riwayat pertapa atau dewata, mitos kuno, dongeng rakyat dan sejarah. Beliau akhirnya menjadi penulis dan menyara hidupnya dengan hasil penulisan setelah gagal dalam peperiksaan kerajaan peringkat tinggi. Pada usia 60 tahun barulah beliau berjawatan, apabila dilantik sebagai pegawai daerah Changxing (1567).

Pengalaman bekerja sebagai pegawai kerajaan yang penuh dengan orang yang bersikap bermuka-muka, mengampu, mengamalkan rasuah, tidak jujur dan hipokrit, semuanya itu dijadikan penulisannya. Lantaran tidak tertahan dengan dunia negatif dalam pemerintahan kerajaan, akhirnya beliau meletakkan jawatan, kembali ke kampungnya dan menghasilkan Hikayat Jelajah ke Barat. Novel klasik agung ini diterbitkan 10 tahun selepas beliau meninggal dunia. Novel ini tidak boleh diterbitkan sezaman dengan beliau, kerana karya ini penuh dengan kritikan, teguran dan teladan terhadap pemerintahan zaman itu. Selepas melalui beberapa dinasti iaitu Dinasti Tang (618 – 907 Masihi), Dinasti Song (960 – 1279), dan Dinasti Yuan (1279 – 1368), dalam Dinasti Ming barulah karya ini diterbitkan.

Bersesuaian dengan judulnya, karya ini mempunyai nilai sejarah, budaya, seni dan sastera yang tinggi yang merentas sempadan geografi dan geopolitik. Hikayat Jelajah ke Barat sangat popular di China dengan cerita dongengnya yang menarik dan tersirat dengan pengajaran dan teladan, di sebalik ceritanya tentang manusia yang tamak-haloba terhadap wang ringgit dan harta benda, gila kuasa, seks dan dengki khianat.

Buku ini mengisahkan tentang empat orang watak utama yang terpaksa melalui 81 jenis rintangan dan cabaran untuk mencapai matlamat sampai ke destinasi, iaitu untuk menjelajah Barat. Dalam buku ini dimasukkan kisah dongeng dan mitos. Setiap episod, cerita dan watak yang diceritakan, dilakonkan di pentas opera atau pun ditulis dalam bentuk legenda dan novel. Buku ini bukan sahaja mencipta novel jenis dewa-syaitan, malah telah meneroka satu corak penulisan novel berdasarkan perhubungan manusia dengan alam semula jadi.

Kisah godaan dan tipu daya syaitan yang kerjanya hanya merosakkan keperibadian manusia menjadi inti pati cerita dalam Hikayat Jelajah ke Barat. Penyamaran syaitan menjadi manusia hingga tidak dapat membeza yang mana satu manusia dan yang mana satu syaitan merupakan antara falsafah tinggi yang disampaikan penulis dalam buku ini.

Hakikatnya dalam kehidupan ini kerana banyak manusia yang bertopengkan syaitanlah maka menyebabkan dunia ini menjadi huru-hara dan malapetaka. Rasuah yang menjadi-jadi menyebabkan banyak undang-undang kerajaan dilanggar, hingga menjadikan perkara yang tidak boleh dilaksanakan pun boleh dilaksanakan. Akibatnya alam semula jadi rosak binasa, manusia dan haiwan malah segala kehidupan dalam dunia ini mengalami penderitaan dan penyeksaannya. Kritikan sosial yang sinis juga dilemparkan kepada pemerintah yang membelakangkan golongan agama dan sikap tidak berpegang kepada ajaran agama ini akhirnya menyebabkan seseorang itu akan menerima balasannya – yang baik dibalas baik dan yang jahat dibalas jahat.

Karya ini telah diterbitkan dalam bahasa Melayu, dengan kerjasama Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (PERSPEKTIF) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Karya ini telah diterjemahkan ke dalam 14 bahasa utama dunia dan, bahasa Melayu menjadi bahasa ke-15 yang diterbitkan dalam bentuk terjemahan. Hikayat Jelajah ke Barat diterbitkan oleh DBP dalam empat jilid.

Karya ini cepat popular kerana penyebaran ke negara lain dibuat secara berperingkat-peringkat dan dipetik atau dimasukkan ke dalam buku teks pengajaran bahasa China lama di Korea. Antaranya kisah dalam episod Raja Monyet yang menghuru-harakan istana kayangan, jin labah-labah, syaitan Hong Hai-er dan Gunung Bahang Api. Literasi silang budaya ini cukup penting untuk mempertingkatkan kefahaman dan rasa hormat-menghormati serta menghargai antara masyarakat berbilang kaum dan budaya di negara ini yang akhirnya menumbuhkan rasa kesatuan yang jitu.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1045269
    Visit Today : 165
    This Month : 27868
    Total Visit : 1045269
    Hits Today : 633
    Total Hits : 4291198
    Who's Online : 11
  • Kategori