Oleh SHUHAILEY MAHAMAD

Shahnon memenangi Hadiah Sastera MASTERA Malaysia

NOVEL Mahabbah hasil karya Sasterawan Negara (SN) Shahnon Ahmad, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2007 terpilih sebagai karya sastera kreatif terbaik negara Malaysia dan menerima Hadiah Sastera Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) Ke-6, 2010.

Mahabbah, novel yang mengandungi 316 halaman dan 13 bab, adalah satu bentuk kepengarangan yang bijaksana berbeza daripada kelaziman novel Shahnon yang lain. Mahabbah merupakan satu bentuk penghasilan kreatif yang mempunyai keistimewaan tersendiri dan dapat memupuk sebuah cerita dari perspektif Islam. Karya ini mampu mengangkat hubungan manusia, bukan sahaja berasaskan konsep hablumminannas tetapi lebih berkonsepkan penampilan hubungan vertikal terhadap hubungan manusia sebagai khalifah yang bertanggungjawab terhadap dirinya sebagai hamba dengan Penciptanya.


Kekreatifan penghasilan Mahabbah bukan sahaja menonjolkan keupayaan pengarang meneroka alam metafizik dan kewujudan diri sebagai insan yang menuju husnulkhatimah, tetapi kekreatifan pengarang mengolah naratif ini dengan bahasa yang bersifat estetik dan melengkapkan sifat bahasa kesusasteraan yang indah.

Menurut panel penilai, Mahabbah merupakan satu penghasilan karya yang mencapai kematangan pada struktur yang terjalin sama ada dari segi kematangan pemilihan subjeknya, ruang alam dan makna yang mendalam. Karya sebegini merupakan karya yang besar bukan sahaja dari segi saranan sastera, malahan dari sudut fitrah Islam.

Penulis “Tawaduk Musim Sujud”, Haji Mohd. Salleh Abdul Latif dari negara Brunei Darussalam menerima hadiah daripada Timbalan Perdana Menteri.

Bagi negara Brunei Darussalam, Tawaduk Musim Sujud pula melayakkan Haji Mohd. Salleh Abdul Latif menerima Hadiah Sastera MASTERA 2010. Tawaduk Musim Sujud ialah novel kontemporari yang dijalin secara kreatif dan pembahasan mendalam yang disokong dengan fakta dan sumber yang sahih. Novel ini juga mengisahkan hal ehwal Islam dan nilai-nilai keimanan yang merupakan suatu analisis yang dapat meyakinkan pembaca untuk memantapkan wahana keimanan mereka.

Penerima Hadiah Sastera MASTERA 2010 bagi negara Indonesia pula dimenangi oleh D. Zawawi Imron dengan buku kumpulan puisi bertajuk Kelenjar Puisi. Buku puisi Zawawi Imron dipilih atas pencapaian estetiknya. Beliau merupakan penyair yang secara konsisten telah memproduksikan karyanya dengan nuansa warna lokal yang kuat. Kumpulan puisi Kelenjar Laut menggambarkan penjelajahan spiritual penyairnya.

Kumpulan Puisi “Kelenjar Laut” oleh D. Zawawi Imron karya terbaik negara Indonesia.

Majlis Penyampaian Hadiah Sastera MASTERA 2010 disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd. Yassin pada 30 November lalu di Dewan Bankuet, DBP. Majlis penyampaian berlangsung bersama-sama Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2010. Penerima Hadiah Sastera MASTERA menerima wang tunai berjumlah RM10,000 setiap seorang berserta plak dan sijil penghargaan.

Hadiah Sastera MASTERA bertujuan mengenal pasti karya sastera asli pelbagai genre yang bermutu yang ditulis dalam bahasa Melayu/Indonesia, atau yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu/Indonesia di negara-negara rantau Asia Tenggara yang menjadi anggota MASTERA. Selain itu, Hadiah ini turut memberikan pengiktirafan bertaraf rantau kepada karya-karya bermutu yang diterbitkan pada tahun penilaian, iaitu selama tempoh dua tahun. Karya yang dinilai adalah karya sastera kreatif dan bukan kreatif.

MASTERA ialah singkatan bagi Majlis Sastera Asia Tenggara yang dipersetujui pada asasnya oleh tiga negara pendiri (Negara Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia) dalam kongres Bahasa Melayu Sedunia pada 25 Ogos 1995. Penubuhan MASTERA dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, YB Datuk Khalid Yunus, sempena Majlis Pelancaran MASTERA di DBP Kuala Lumpur pada 12 Ogos 1996.

MASTERA bertujuan merapatkan hubungan, pengertian dan kerjasama kesusasteraan negara-negara anggota dalam usaha memajukan dan mengembangkan kesusasteraan serantau ke arah menjadi warga sastera dunia yang berwibawa. Selain itu MASTERA menyelaras kegiatan dan penyelidikan kesusasteraan serantau secara bersepadu serta bersama-sama memantapkan penyebaran dan penggunaan bahasa utama rantau ini sebagai alat komunikasi, media ilmu pengetahuan dan media pengucapan seni ke peringkat rantau dan antarabangsa.

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046453
    Visit Today : 69
    This Month : 29052
    Total Visit : 1046453
    Hits Today : 114
    Total Hits : 4294916
    Who's Online : 18
  • Kategori