13173880_1117596661595331_2767241116726466865_nOleh ARMIN A. SALEH

Pada 6 Disember 2014, pukul 11.54 pagi, penulis ini, yang sedang menikmati udara cuti hujung minggu, tiba-tiba menerima mesej yang memeranjatkan dan menakutkan daripada Prof. Madya Dr. Talib Samat. “Perjalanan ke batu dua batu nisan dan universiti lubang kubur.”

Secara berseloroh, penulis ini pun bertanya, “Siapa nak mati?”

“Semua yang ada penyakit kronik, termasuk aku, tak pasti bila,” balas Talib. Kemudian beliau menjelaskan bahawa beliau sedang berubat kerana luka sebagai akibat diabetes di rumah besannya di Tanah Merah. Pada ketika itu, barulah penulis ini sedar betapa seriusnya penyakit yang dideritai Talib. Memang menjadi pengetahuan umum bahawa Talib menghidapi penyakit diabetes dan buah pinggang, tetapi tidak ada seorang pun yang pasti akan tahap keseriusannya.

“Kematian ialah hadiah Tuhan kepada hamba-Nya,” Talib menutup perbualan secara mesej pada hari itu.

Sebelum menderitai penyakit diabetes, Talib pensyarah yang aktif melakukan kajian. Pada setiap semester, ada sahaja kajian yang dilakukan bersama-sama pelajarnya. Ada kajian sastera, tidak ketinggalan juga kajian sejarah, yang dijalankan di luar kampus. “Aku tidak boleh berjalan jauh lagi. Aku kena dialisis setiap empat jam,” kata Talib – senyum dalam derita – setelah penyakitnya bertambah kronik.

Ketika Talib bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), penulis ini tidak begitu mengenalinya, malah tidak ada berurusan apa-apa pun dengannya. Sekali sekala kami bertemu di surau dan apabila berjumpa, tentulah kami saling bertanyakan khabar. Kami menyandang jawatan yang sama – Penolong Pegawai Perancang Bahasa S5 (kini Penolong Perancang Bahasa S27).

Penulis ini mengenali Talib dengan lebih rapat selepas beliau berhijrah ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim. Hubungan persahabatan menjadi lebih erat apabila kami mendapati bahawa kami mempunyai minat yang sama – kami meminati sejarah, terutama sejarah Perak, dan Talib banyak melakukan kajian tentangnya.

Ketika membuat kajian Sejarah Lukut.

Ketika membuat kajian Sejarah Lukut.

Penulis ini mula mengikuti aktiviti Talib apabila kerajaan Perak membawa “tulang” Tengku Menteri Ngah Ibrahim dan Laksamana Muhammad Amin pulang untuk disemadikan di tanah air mereka pada tahun 2006. Banyak kali juga terlintas dalam fikiran penulis ini sama ada yang dibawa pulang itu betul-betul Ngah Ibrahim ataupun orang lain.

Ada dua perkara yang menyebabkan penulis ini sangsi. Yang pertama, dakwaan Ngah Yaacob bahawa dia anak Ngah Ibrahim dan bapanya disemadikan di Beruas selepas meninggalkan Singapura lebih awal dari tahun 1895 – tahun yang daftarkan sebagai tahun kematiannya. Yang kedua, kata orang botak itu – dikhabarkan kemudian bahawa dia kerabat diraja Perak – di makam diraja Bukit Chandan ketika persiapan membawa pulang Laksamana Muhammad Amin, “Banyak yang belum terbongkar sebenarnya.”

Meskipun begitu, Talib kejap dengan pendiriannya bahawa yang dibawa pulang itu ialah Ngah Ibrahim. Lagipun beliau telah melakukan kajian tersebut bersama-sama piut Ngah Ibrahim, Dato’ Seri Dr. Wan Mohd. Isa Wan Ahmad, dan Harifuddin Kamaruddin, sehingga Seychelles. Kata Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim tentang keperluan untuk mengadakan ujian DNA, “Tak perlu jika ada dokumen yang sudah membuktikannya.”

Penulis bersama-sama Talib Samad dalam Seminar Kebangsaan Kepengarangan Talib Samad 2013.

Penulis bersama-sama Talib Samad dalam Seminar Kebangsaan Kepengarangan Talib Samad 2013.

Nakhoda Muhammad Taib? Siapakah orang yang berkongsi nama dengan mantan Menteri Besar Selangor ini? Inilah satu daripada penemuan menarik Talib yang memberikan sumbangan yang bermakna kepada sejarah Perak, khususnya, dan sejarah negara, amnya.

Menurut Talib, beliau mendapat maklumat daripada penduduk tempatan bahawa Muhammad Taib pembesar kesultanan Perak yang melaksanakan pemerintahan bagi pihak sultan di Teluk Senangin. Pemerintahan itu dikatakan berlaku pada abad ke-19 sebelum kedatangan Inggeris. Daerah pemerintahannya meliputi kawasan sekitar Teluk Senangin, termasuk Lumut. Kini tapak pusat pemerintahannya hanya tinggal lantai di sebuah ladang kelapa sawit.

Siapakah pula Toh Johan, Panglima Mat Ali, Panglima Wan Kasa, Panglima Kulup Kinta, Panglima Wan Darmula dan Tuk Tan Dewa Sakti, sebagai contoh? Semua nama itu mungkin hanya pernah didengar oleh penduduk kawasan tertentu. Namun demikian, Talib memastikan bahawa semua nama itu diketahui setidak-tidaknya oleh rakyat Perak melalui kajian, seminar dan penerbitan buku.

Biasanya sewaktu melakukan apa-apa kajian, Talib membawa pelajarnya bersama-sama. Konvoi tiga buah bas menjadi perkara biasa. Jika sebuah bas membawa 40 orang pelajar, maka dengan tiga buah bas, 120 orang pelajar akan bersama-sama Talib melakukan kajian. Talib menaiki bas bersama-sama pelajarnya. Beliau memang mesra dengan pelajarnya.

Dalam fikiran penulis ini, pernah terlintas pertanyaan tentang kaitan kajian itu dengan mata pelajaran yang diajarkan oleh Talib. Beliau mengajarkan penulisan kreatif. Lazimnya penulisan kreatif mempunyai kaitan dengan novel, cerpen dan sajak. Apakah kaitan kajian tersebut – kajian sejarah pula, bukannya kajian sastera – dengan mata pelajaran penulisan kreatif?

Talib Samat turut menerima anugerah dalam majlis Hadiah Sastera Darul Ridzuan kali ke -4.

Talib Samat turut menerima anugerah dalam majlis Hadiah Sastera Darul Ridzuan kali ke -4.

Akhirnya barulah penulis ini menemukan jawapannya. Kajian sejarah itu dijadikan sebagai bahan untuk pelajar menghasilkan karya kreatif. Maka lahirlah cerpen dan puisi daripada pelajar berdasarkan dapatan kajian. Hal ini dapat dilihat sebagai inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran. Talib tidak meminta pelajarnya memikirkan sesuatu idea untuk dijadikan sebagai bahan untuk menghasilkan karya kreatif, sebaliknya sesuatu kajian itu dijadikan sebagai bahan untuk tujuan tersebut.

Yang lebih menarik lagi, karya kreatif pelajar itu akan dibukukan bersama-sama kertas kerja seminar yang berkaitan dengan kajian tersebut. Seperti yang diketahui, lazimnya penulisan yang diterbitkan akan membolehkan pelajar itu mendapat markah yang baik dan lulus mata pelajaran tersebut. Tentu sekali hal itu berlaku kepada pelajar Talib.

Sebahagian buku yang ditulis dan diselenggarakan olehTalib Samad.

Sebahagian buku yang ditulis dan diselenggarakan oleh Talib Samad.

Talib sendiri bertindak sebagai penyelenggara dan penerbit buku tersebut. Maka timbullah pertanyaan lain dalam minda penulis ini: berapakah jumlah buku yang telah ditangani oleh Talib, baik sebagai pengarang mahupun sebagai penyelenggara? “Lebih seratus,” kata anaknya, Siti Hajar, yang juga tidak dapat memberikan jumlah yang tepat. Kini anaknya itu sedang mengumpulkan semua buku Talib untuk diterbitkan semula oleh Penerbitan Mentari, syarikat penerbitan yang diasaskan oleh bapanya.

Satu sebab lagi Talib melakukan kajian sejarah di Perak ialah beliau mahu memastikan agar semua orang tahu bahawa orang Melayu sudah lama berada di negeri tersebut. Dengan adanya kajian dan seminar, disusuli penerbitan buku, tiada sesiapa yang dapat menafikan hakikat kewujudan orang Melayu di Perak kerana terdapatnya bukti bertulis yang sahih.

Ya, tanpa Talib, tidak mungkin penulis ini dapat menjejakkan kaki di Teluk Senangin. Tanpa Talib juga, barangkali penulis ini juga tidak akan sampai di Bukit Serampang. Hanya dengannya, penulis ini dapat mengunjungi tempat tersebut apabila Talib menganjurkan Seminar Pemikiran Sasterawan Felda Aminah Mokhtar. Aminah lahir di Bukit Serampang dan Talib mengadakan seminar itu di situ untuk memberitahu penduduk tempatan bahawa Bukit Serampang telah berjaya melahirkan seorang sasterawan yang prolifik.

“Senang kerja.” Itulah ungkapan yang sering dilafazkan oleh Talib apabila melakukan sesuatu. Beliau jarang-jarang merungut. Ketika beliau bercadang untuk mengadakan Seminar Pembukaan Ipoh pada bulan Oktober tahun lalu, beliau memohon dana daripada beberapa buah organisasi, termasuk Majlis Bandaraya Ipoh. Kesukaran untuk mendapatkan dana itu menyebabkan Dewan Budaya bersetuju untuk bersama-samanya menganjurkan seminar tersebut. Sebahagian daripada kertas kerja seminar itu telah diolah semula dan disiarkan dalam Dewan Budaya Disember 2015.

Itulah kali pertama dan terakhir Dewan Budaya dan Talib bekerjasama menganjurkan acara. Memang ada rancangan untuk menganjurkan acara lain, tetapi kini rancangan tinggal rancangan.

Talib seolah-olah berjaya mewujudkan sekumpulan pengikut, baik pemakalah mahupun peserta, untuk seminar yang dianjurkan. Antara pemakalah akademik UPSI termasuklah Prof. Dr. Bukhari Lubis, Prof. Madya Dato’ Paduka Dr. Mohd. Rosli Saludin, Prof. Madya A. Halim Ali, Prof. Madya Dr. Abdul Ghani Abu dan Ghazali Din. Yang lain ialah Dr. Mohd. Nazri Zainuddin, Dr. Nordiana Hamzah, Zabidin Ismail dan Mohd. Zamberi Malek.

“Talib akan melekatkan nota di pintu bilik saya jika dia mahu saya membentangkan kertas kerja,” imbas kembali Ghazali.

Selepas Pembukaan Ipoh, agak lama penulis ini tidak bertemu dengan Talib. Walaupun ke Tanjong Malim untuk dua acara selepas itu, kelibat Talib tidak kelihatan. Pergerakannya telah dikuasai oleh keuzuran. Seminar pun sudah berkurang. Jika ada pun, seminar itu diadakan di kelas sahaja. “Aku dah tak boleh mengadakan seminar di luar Tanjong Malim,” kata Talib.

Pembentangan kertas kerja terakhir Talib Samad.

Pembentangan kertas kerja terakhir Talib Samad.

Pada 26 Mac 2016, Talib membentangkan kertas kerjanya yang terakhir. Beliau membincangkan isu semasa dan keagamaan dalam novel Kemboja di Hati karya Ramlah Abdul Rashid dalam seminar yang dianjurkan oleh Karyawan Perak bersempena dengan mesyuarat agung persatuan itu di Ipoh. Talib ke situ dengan pasukan perubatannya – isteri dan anaknya.

Semasa di Ipoh, kami sempat berbincang tentang cara untuk menjual buku yang diterbitkan oleh Penerbitan Mentari. Talib menunjukkan minat yang serius dengan mencatatkan beberapa kaedah yang ditimbulkan di atas kertas kerja seminar itu. Yang diyakini ialah bahawa beliau akan memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap Penerbitan Mentari selepas bersara pilihan pada 1 Januari 2017. Keuzuran menyebabkan Talib mengambil keputusan itu agar pendidikan untuk anak bangsa tidak terjejas.

Pada 4 April 2016, seorang pelajar kelas Talib menelefon penulis ini menyatakan bahawa rombongan akan mengunjungi Bahagian Majalah pada keesokannya. Sememangnya Talib telah memberitahu penulis ini pada 15 Mac bahawa beliau berhasrat membawa rombongan 50 orang pelajar UPSI berkunjung ke Bahagian Majalah untuk mendapatkan maklumat tentang tugas editor dan cara penerbitan majalah. Namun demikian, oleh sebab sibuk dengan tugas harian, penulis ini lupa akan hasrat Talib itu.

Pada keesokan harinya, datanglah Talib dan rombongannya. Itulah kali terakhir penulis ini bertemu dengannya. Dalam pertemuan yang memang amat singkat ini, Talib menghadiahi penulis ini buku Biografi Sembilan Orang Pemegang Gelaran Jawatan Tengku Menteri, yang ditandatanganinya. Oleh sebab terlibat mengendalikan urusan rombongan itu, termasuk menyampaikan taklimat, penulis ini tidak dapat berbual lama dengan Talib.

Talib Samad turut menyampaikan puisi pada Malam Puisi RAO.

Talib Samad turut menyampaikan puisi pada Malam Puisi RAO.

Sebelum ke pejabat pada 14 April, penulis ini mendapati bahawa ada mesej WhatsApp daripada Zabidin Ismail, presiden Karyawan Perak. Namun begitu, penulis ini tidak membaca mesej tersebut kerana ingin lekas ke pejabat; tentu sahaja mesej itu boleh dibaca di pejabat. Apabila tiba di pejabat, Azmi Ibrahim, ketua editor Bahagian Majalah, memaklumkan perihal pemergian Talib ke alam baqa. Dengan pantasnya, penulis ini membaca mesej Zabidin yang dikirimkannya pada pukul 3.00 pagi. Rupa-rupanya itulah hal yang ingin disampaikan oleh Zabidin.

Sehari sebelum itu, memang penulis ini ingin menghubungi Talib untuk mengajaknya bersama-sama menghadiri sidang meja bulat Hang Tuah pada 19 April. Penulis ini tahu bahawa Talib sedang menyelenggarakan buku Polemik Hang Tuah pada waktu itu. Maka inilah masanya untuk Talib menjual buku tersebut di samping mendapatkan maklumat baharu yang dapat digunakan pada masa mendatang. Mungkin Talib mempunyai hasrat untuk mengadakan seminar apabila berlaku perbahasan hangat tentang tokoh Melayu silam itu.

Namun demikian, penulis ini bertangguh untuk menghubungi Talib – dari petang hingga malam. “Esok pagilah,” kata hati penulis ini. Rupa-rupanya tiada esok bagi Talib.

Tatkala jenazah Talib sedang disemadikan di tanah perkuburan Taman Hijau, kelihatan kereta api Ekspres Rakyat sedang menuju ke stesen Tanjong Malim. Yang membezakan Ekspres Rakyat itu daripada Talib ialah Ekspres Rakyat sudah maklum akan tarikh “kematian” pada 8 Mei, sementara Talib, seperti insan hidup yang lain, tidak.

Hanya segelintir orang yang mengenali Talib, yang kembali menemui Penciptanya pada 14 April. Bagi segelintir orang itu, Talib telah memberikan sumbangan yang begitu bermakna kepada agama, bangsa dan negara. Kini beliau sudah tidak lagi bersama-sama kita. Walaupun begitu, jasa dan sumbangannya akan menjadi legasi kepada mereka yang tinggal, termasuk penulis ini.

Daripada-Nya kita datang, kepada-Nya kita pulang.

Foto: FB Talib Samad dan Karyawan PK

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1045602
    Visit Today : 498
    This Month : 28201
    Total Visit : 1045602
    Hits Today : 1556
    Total Hits : 4292121
    Who's Online : 15
  • Kategori