Oleh MUHAMAD RAFIQ ABDUL RAHMAN

Pada 25 hingga 27 November yang lalu, berlangsungnya Persidangan Buku Antarabangsa 2015 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra. Acara yang memasuki tahun ke-10 ini membuktikan kesungguhan dan komitmen yang cukup tinggi daripada Yayasan Pembangunan Buku Negara dengan kerjasama daripada Dewan Bahasa dan Pustaka dan Perpustakaan Negara Malaysia.

Majlis penyampaian Anugerah ini telah disempurnakan oleh YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Majlis penyampaian Anugerah ini telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Selain berlangsungnya persidangan yang turut membicarakan landskap industri buku negara serta cabaran dan tidak ketinggalan perkongsian daripada negara jiran seperti Singapura dan Indonesia, yang paling dinanti-nantikan oleh penerbit buku ialah Anugerah Buku Negara. Objektif utama penganugerahan ini diadakan ialah untuk mengiktiraf serta menghargai warga kerja dalam aktiviti penerbitan buku selain memberikan suntikan semangat kepada pemain industri untuk terus menghasilkan buku yang berkualiti.

Bagi penulis, penganugerahan ini cukup baik kerana sebagai penghargaan dan melihat kesungguhan kerajaan khususnya YPBN untuk meningkatkan lagi penerbitan buku negara. Hal ini juga bertepatan dengan kesungguhan kerajaan untuk mencapai status sebagai sebuah negara maju yang antara lain syaratnya mestilah menerbitkan sekurang-kurang 10 peratus daripada jumlah penduduk sesebuah negara.

Anugerah dibahagikan kepada tiga kelompok iaitu, anugerah kategori perdana yang melibatkan 13 kategori, kategori pengajian tinggi melibatkan enam kategori dan kategori industri yang menyediakan 40 kategori. Kemeriahan penganugerahan ini sememangnya menjadi tonik terbaik kepada individu mahupun penerbit untuk bersaing menjadi yang terbaik.

Untuk tahun ini, DBP berjaya memenangi Buku Teknikal Terbaik Kategori Anugerah Pengajian Tinggi melalui buku berjudul Pengaturcaraan Berstruktur C++. Selain itu, DBP turut meraih enam anugerah utama Kategori Anugerah Industri masing-masing ialah Buku Umum Terbaik Kategori Bahasa (Keunikan dan Keindahan Bahasa al-Quran), Buku Umum Terbaik Kategori Sejarah Islam (Islam dan Pluralisme Agama: Memperkukuh Tauhid pada Zaman Kekeliruan), Buku Umum Terbaik Kategori Motivasi (Adibah Amin: Tak Kenal Maka Tak Cinta), Buku Umum Terbaik Kategori Alam Sekitar (Isu dan Undang-undang Alam Sekitar di Malaysia), dan Reka bentuk Buku Terbaik (Dan Kembara Ku Teruskan: Koleksi Puisi dan Lukisan Terpilih 42 tahun [1973-2015] Mazlan Noor Along). Yang lebih membanggakan warga DBP ialah Rohaida Baharuddin untuk tahun ketiga berturut-turut memenangi Anugerah Editor Terbaik.

Dari sudut yang lebih murni, penganugerahan ini juga sebenarnya secara tidak langsung mengangkat martabat Bahasa Melayu yang menjadi wahana terpenting dalam penyebaran ilmu. Ilmu ini tidak terhad kepada sesuatu bidang tetapi merangkumi pelbagai bidang dan ilmu pendidikan. Sekali gus menangkis stigma masyarakat ataupun pemimpin yang lantang mendakwa bahasa Melayu tidak mampu mengantarabangsakan masyarakat Malaysia.

Sememangnya kedudukan bahasa Melayu dalam pendidikan cukup tinggi nilainya dan dapat disebarluaskan dalam pelbagai bidang ilmu. Namun hal ini bertitik tolak pada diri individu tersebut sama ada yakin akan keupayaan bahasa Melayu atau sebaliknya. Lihat sahaja di Indonesia bagaimana bahasa Indonesia itu berjaya disebarluaskan dalam penulisan dan mendapat tempat di hati penduduknya. Contoh ini harus dijadikan sebagai penanda aras kepada kerajaan dan kementerian bertanggungjawab bagi memastikan bahasa Melayu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bahasa utama lain di dunia.

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1045035
    Visit Today : 1456
    This Month : 27634
    Total Visit : 1045035
    Hits Today : 5397
    Total Hits : 4290370
    Who's Online : 8
  • Kategori