Oleh DR. RAJA RAJESWARI SEETHA RAMAN

  

Pengenalan

Kertas kerja iniakan menyorot pemikiran dalam cerpen penulis kaum India yang berkarya dari tahun 1930-an hingga kini. Genre cerpen menjadi pilihan pengkaji kerana cerpen merupakan genre kreatif sulung yang dihasilkan oleh penulis kaum India dalam bahasa kebangsaan. Dengan meneliti cerpen-cerpen yang dihasilkan oleh penulis kaum India selama tujuh dekad, dapat dikenal pasti transformasi yang dibawa oleh mereka dalam jagat pencerpenan Melayu.

Sejarah Pelibatan Penulis Kaum India dalam Sastera Kebangsaan

Pembabitan penulis kaum India, dalam mandala Kesusasteraan Melayu, bermula sebelum Tanah Melayu memperoleh kemerdekaan daripada Imperialis Inggeris. Nagalingam yang berasal dari Parit Buntar, Perak Darul Ridzuan merupakan perintis dalam kalangan penulis kaum India yang berkarya dalam bahasa kebangsaan (Hashim Awang, 1975: 206). Cerpen karya Nagalingam  berjudul “Cerita Orang yang Tidak Menerima Syukur” tersiar dalam Bahtera secara bersiri pada 17 Mei 1932 dan 24 Mei 1932.

 Cerpen “Cerita Orang yang Tiada Menerima Syukur” diterjemahkan daripada bahasa Tamil ke bahasa Melayu. Struktur ayat serta laras bahasa dalam cerpen tersebut membuktikan bahawa cerpen tersebut merupakan cerpen terjemahan. Hal ini demikian kerana pada peringkat awal, cerpen-cerpen Melayu yang ditemukan dalam sastera kebangsaan merupakan cerpen yang diterjemahkan daripada bahasa Tamil. Selepas tersiarnya cerpen Nagalingam, hampir tiga dekad tidak ditemukan sebarang karya penulis kaum India dalam sastera kebangsaan (Hashim Awang, 1975: 206). Perkembangan cerpen berbahasa Melayu terbantut akibat Perang Dunia Kedua serta pendudukan Jepun. Walau bagaimanapun, kekosongan ini hanya sementara. Selepas negara memperoleh kemerdekaan, muncul penulis kaum India yang lebih komited dalam penulisan kreatif (Berita Harian, 1999: 7).

Pemikiran Penulis Kaum India – Dekad  1960-an dan 1970-an

Pada awal dekad 1960-an, ditemukan cerpen-cerpen Joseph Selvam, N. S Maniam, (Samudera N. S), A. Nagappan, P. Palaniappan, Ignatius Dev dan G. Soosai dalam sastera kebangsaan. Di samping menghasilkan karya kreatif dalam bahasa Melayu, mereka turut mengalihbahasakan cerpen-cerpen daripada bahasa Tamil ke bahasa Melayu. Latar pendidikan dalam bahasa Melayu serta pergaulan yang akrab dengan masyarakat Melayu menyebabkan penguasaan bahasa Melayu mereka baik.

Antara cerpen yang diterjemahkan oleh G. Soosai ialah cerpen berjudul “Wanita Malang” karya T. Anna Mary; “Cepu Pahala” karya S. Anvananthan; dan “Bahana Kesetiaan Teruji” karya Mahatma Gandhi. Manakala P. Palaniappan mengalihbahasakan empat cerpen Tamil ke bahasa Melayu, iaitu cerpen “Garisan Selari” karya Devaki Manalan; “Lintah Darat” karya M. Anbuchelvan; “Datuk Kanappan” karya R. Karthigesu; dan “Orang Tua Muthusamy” karya S. Vadivelu. Kesemua cerpen ini dihimpunkan dalam Koleksi Cerpen Malaysia (Berita Harian, 1999:6).

Cerpen-cerpen terjemahan mereka memaparkan masalah yang dihadapi oleh masyarakat India yang baru berhijrah ke Tanah Melayu dari negara India. Antara masalah yang dikemukakan ialah masalah penderitaan hidup di ladang getah, layanan buruk oleh penjajah British yang membawa mereka ke Tanah Melayu dan isu kewarganegaraan. Semua masalah ini boleh ditemukan dalam cerpen berjudul “Dua Mangga dan Kunci”, “Kad Pengenalan Merah”, dan “Beginilah Kehidupan” (Krishanan Maniam, 2014: 300 – 301).

Namun demikian, ada juga cerpen yang memaparkan nilai positif, seperti cerpen oleh Sumathy Thangaraj yang berjudul “Jalan Baru” yang mengisahkan ibu tunggal yang bersemangat untuk berdikari tanpa membebankan anaknya selepas mendengar nasihat jiran yang berbangsa Melayu, Fatimah.  Cerpen “Jembalang Itu” karya Lazarus juga mendedahkan hubungan erat antara masyarakat pelbagai kaum di Tanah Melayu (Krishanan Maniam, 2014: 302).

Pemikiran Penulis Kaum India – Dekad  1980-an dan 1990-an

Dekad 1980-an menyaksikan kehadiran penulis Saroja Theavy Balakrishnan, Kamalah Suppiah, V.Suresh Kumar, S. V Vijayathevan, Omana Nair, M. Mahendran, Devaraj P. Tangaraju dan Amerjit Singh (Tunas Cipta, 2012: 7 – 8). Cerpen-cerpen yang dihasilkan oleh mereka memaparkan perpaduan dan keharmonian hidup pelbagai kaum di Malaysia. Dalam kalangan mereka, hanya Saroja Theavy Balakrishnan yang menulis secara konsisten. Cerpen “Kandasami” oleh Saroja Theavy Balakrishnan menampilkan watak Kandasami seorang porter di stesen kereta api yang amat mencintai negeri yang memberikannya rezeki. Bantuan yang dihulurkan oleh jirannya, Tuk Haji Meriam,  menyebabkan Kandasami tidak menaiki kapal Sri Lakshmi untuk pulang ke India, sebaliknya mengambil keputusan untuk terus menetap di Malaysia.

Dalam cerpen “Cengkaman Norma”, Saroja Theavy Balakrishnan memaparkan ketulusan jiwa Syila dan Nasrida yang berusaha menyelamatkan Mei Ling yang ingin dijual oleh ibu tirinya, Madam Wong kepada bapa ayam. Cerpen “Anggerik Berkembang di Puncak Hati” juga memaparkan semangat kejiranan dan kerjasama yang wujud dalam kalangan jiran berbilang bangsa di Malaysia.

Cerpen-cerpen oleh Saroja Theavy Balakrishnan pada peringkat awal, yakni akhir dekad 1980-an banyak mengisahkan keharmonian hidup, semangat kejiranan, dan kesetiakawanan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia, di samping kisah kesetiaan masyarakat India terhadap Malaysia, yang menjadi tanah tumpah darah mereka.  Menurut Othman Puteh (2001: 6): “Cerpen-cerpen Saroja Theavy banyak menyumbang kepada keharmonian hidup pelbagai kaum yang hidup dalam keadaan harmonis di bawah langit bumi Malaysia.”

Selain memaparkan kehidupan harmonis pelbagai kaum di Malaysia, cinta akan alam sekitar juga ditemukan dalam cerpen-cerpen Saroja Theavy Balakrishnan pada awal dekad 1990-an. Pada awal dekad 1990-an, berlaku transformasi dalam jagat pencerpenan Melayu apabila Saroja Theavy Balakrishnan mula membicarakan isu-isu sains dan alam sekitar dalam cerpen-cerpennya. Beliau masuk ke jagat penulisan cereka sains dengan membicarakan kehidupan serangga, haiwan, alam flora dan fauna.

Antara cerpen Saroja Theavy yang berbicara tentang alam sekitar ialah cerpen “Lambaian Malar Hijau”, “Bukit Sikikih Mengaum”, “Dalam Bayangan Pohon Ara’, “Kilau Kemilau Kandil Hijau”, “Di Sepenjuru Pantai Peru”, “Pengantin Hitam”, Daun”, “Di Celah-celah Cinta Lepidoptera” (dalam dua siri), dan “Keinginan Kecil di Celah Daun.”

Transformasi yang dimulakan oleh Saroja Theavy diteruskan oleh Uthaya Sankar SB  yang menggunakan nama pena (Leonard Loar, Hanuman O, Shafie Uzein Gharib). Beliau menghasilkan cerpen-cerpen eksperimental yang membawa sindiran dwimakna seperti yang ketara dalam cerpen “Cat” (kucing atau cat warna), “Liar” (pembohong, buas), “Dia, Sebuah Pentas dan drama Paul Lathic” (drama politik, tokoh Paul Lathic), dan “SB” (Sendirian Berhad, Special Branch), “Datuk Datang ke Kampung Kami” (datuk, Datuk dalam Dunia Politik).

Selain menghasilkan cerpen yang membawa dwimakna, Uthaya Sankar SB juga memaparkan budaya masyarakatnya dalam cerpen-cerpen Melayu. Beliau yang berketurunan Malayalam memaparkan budaya masyarakat Malayalee dalam cerpen-cerpen “Doa Tahun Baru”, “Kathakali”, “Nayagi”, dan budaya masyarakat Tamil seperti yang boleh ditemukan dalam cerpen “Panchayat”, “Persaudaraan Banyan”, “Wanita”,  dan cerpen-cerpen parodi seperti “Bitara Sita”, “Menyimpang” dan  Krishna Potret Diri.”

Selain menampilkan budaya keturunan Malayalee dan Tamil dalam cerpen-cerpen Melayu, Uthaya Sankar SB juga mendedahkan isu kontemporari yang berlaku dalam masyarakat. Antara cerpen yang mengisahkan isu kontemporari  ialah cerpen “Orang Pulau”, “Vis  – a Vis”, “Kakak, Tolonglah Saya”, dan “Sang Penulis.”

Sejak tahun 2015, cerpen-cerpen Uthaya Sankar SB memperlihatkan transformasi dari segi pemikiran apabila cerpenis ini mula menyentuh isu-isu semasa dan pergolakan politik tanah air dalam karyanya. Perkembangan politik di Malaysia menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 atau (PRU13)  pada tahun 2013, Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia, dan pindaan Akta Hasutan 1948 yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 9 April 2015 menjadi sumber kepada beberapa buah cerpen dalam Kumpulan Cerpen Pulau Pendatang.  Cerpen-cerpen dalam kumpulan ini disampaikan secara sindiran, jenaka, parodi dan satira. Cerpen-cerpen ini pernah disiarkan dalam Free Malaysia Today, The Malaysian Insider, e@siswa, Roket Kini, Tunas Cipta, Fokus SPM, dan Dewan Siswa dari tahun 2010 – 2015.

Pemikiran Penulis Kaum India Menjelang Alaf Baharu

Alaf baharu menyaksikan kehadiran penulis Vijayaletchumy Vellasamy, Sritharanee Subramaniam, Raja Rajeswari Seetha Raman, Retna Devi Balan, , Bathmavathi Krishnan, M. Mahendran, S. G Prabhawathy, Sardah Appalasamy, Ramakrishnan, Ganesan Duraisamy, Ganesh Kumar, Sheena dan Nyanaambigai. (Tunas Cipta, 2012: 7 –  8). Antara masalah yang diketengahkan oleh penulis kaum India yang berkarya pada tahun 2000 ialah masalah gengsterisme oleh Bathmavathi Krishnan melalui cerpen “I Love You, Raj”, suami yang tidak bertanggungjawab oleh S. G Prabhawathy dalam cerpen “Meenatchi”, cinta dalam kalangan gadis India oleh Vijayaletchumy Vellasamy dalam cepen “Langkah Pertama”, gadis Cina yang dijadikan anak angkat oleh keluarga India oleh M. Mahendran dalam cerpen “Manggei”, nasib wanita India Malaysia yang berkahwin dan menetap di negara Perancis oleh Raja Rajeswari Seetha Raman melalui cerpen “Vie en- France” dan masalah yang melingkari kehidupan remaja India oleh Ganesan Duraisamy dalam cerpen “Tidak Sehaluan.”

 Pemikiran Penulis Generasi “Y” Kaum India

Melalui penyertaan dalam Minggu Penulis Remaja, lahir penulis generasi ‘Y” seperti  Sanisha Bogaraja dan Elavarassan Suppiah. Meskipun cerpen-cerpen mereka telah didokumentasikan dalan Antologi Anugerah Terindah (DBP, 2013), namun demikian, mereka perlu berkarya secara konsisten jika ingin dikenali oleh khalayak sastera Malaysia.

Cerpen oleh Sanisha Bogaraja berjudul “Puteri Kesayangan” mengisahkan kasih sayang seorang ayah terhadap anak gadis tunggalnya yang kehilangan ibu pada usia muda. Ayah memikul tanggungjawab yang besar dalam membesarkan anak tunggalnya sehingga dia berjaya dalam kehidupan. Manakala cerpen “Bayangan Ilusi” pula menyorot jiwa seorang gadis yang dicolek. Meskipun dia berjaya diselamatkan tetapi gadis tersebut sentiasa membayangkan wajah si pencolek menyebabkan dia berada dalam keadaan separuh waras. Cerpen “Syurga Duniawi” oleh Elavarasan Supiah menyorot dilema yang dilalui oleh pelajar di sekolah iaitu kes buli. Pada akhir cerita, pelajar yang sentiasa membuli pelajar lain insaf dan memohon maaf kepada rakan-rakannya apabila dia mendapat penyakit leukemia.

Mutakhir, ditemukan nama Thanusya Shanmuganathan yang berkarya dengan nama pena Meera Natasya dan Thanusya P. S Nathan untuk kumpulan GMM (Grup Mari Menulis). Gerakan Mari Menulis merupakan suatu gerakan yang diasaskan oleh para penulis yang berkarya di alam maya khususnya laman sosial. Cerpen-cerpen Thanusya disiarkan dalam blog wordpress. Antara cerpen yang dihasilkan oleh Thanusya melalui GMM ialah cerpen “Hamba Dadah” dan “Hajat Tak Sampai.” Tema cerpennya berkisar tentang cinta, cerita misteri dan budaya masyarakat India.

Transformasi Pemikiran dalam Cerpen Penulis Kaum India

Menelusuri perkembangan cerpen oleh penulis kaum India dari tahun 1930-an hingga kini, dapat dikenal pasti perubahan atau transformasi dalam corak pemikiran mereka. Pada peringkat awal, (1960-an dan 1970-an),  wujud dua kategori cerpen iaitu cerpen terjemahan yang diterjemahkan dari bahasa Tamil ke bahasa Melayu dan cerpen-cerpen yang dikarang dalam bahasa Melayu.

Tema dalam cerpen-cerpen mereka adalah tentang masalah yang dihadapi oleh masyarakat India yang berhijrah dari India Selatan ke Tanah Melayu, penindasan oleh penjajah Inggeris, masalah kad pengenalan, kewarganegaraan dan dilema sama ada untuk terus menetap di Tanah Melayu atau kembali ke negara India. Pada dekad 1980-an berlaku transformasi dalam corak pemikiran apabila penulis kaum India mula menulis tentang Malaysia, semangat kejiranan dan perpaduan dalam kalangan warga Malaysia. Perkembangan yang positif ketara apabila mereka menggambarkan Malaysia sebagai negara yang harmonis  yang selamat dihuni oleh sesiapa sahaja.

Saroja Theavy Balakrishnan yang berkarya pada akhir dekad 1980-an membawa transformasi dalam jagat pencerpenan Melayu apabila tema-tema dalam cerpennya berubah daripada isu sosial kepada isu sains. Beliau merupakan cerpenis wanita India yang pertama yang keluar daripada kepompong tradisional dan membawa pembacanya kepada dunia baharu iaitu dunia sains dan dunia alam sekitar. Transisi daripada fiksyen am kepada fiksyen sains bermula pada akhir dekad 1980-an.

Transformasi yang dimulakan oleh Saroja Theavy diteruskan oleh Uthaya Sankar SB  yang menampilkan cerpen-cerpen yang bercorak eksperimental yang sarat dengan unsur satira dan parodi. Uthaya Sankar SB juga telah meluaskan horizon pemikiran pembaca dengan memaparkan kisah-kisah yang terdapat dalam sastera klasik India. Cerpenis ini juga telah memperkenalkan adat dan budaya masyarakat Malayalee dan masyarakat Tamil kepada masyarakat Malaysia. Perkembangan mutakhir dalam cerpen-cerpen Uthaya Sankar SB memperlihatkan kecenderungannya untuk memaparkan isu-isu politik, isu semasa dan isu perundangan dalam cerpennya. Transformasi ini merupakan suatu reformasi dalam penciptaan cerpen. Malah wadah yang menyiarkan cerpen-cerpen Uthaya Sankar SB juga telah berubah daripada media cetak kepada media elektronik.

Kecenderungan untuk berkarya dalam media elektronik juga digemari oleh penulis baharu, Thanusya Shanmuganathan yang berkarya melalui blog dan word press. Dengan menjadi ahli Grup Mari Menulis, Thanusya menghasilkan cerpen dalam dua bentuk iaitu dalam bentuk digital dan buku. Cerpen-cerpen Thanusya dalam bentuk digital boleh dibaca melalui laman sosial dan blog.

Kesimpulan 

Menelusuri sumbangan penulis kaum India dalam persuratan kebangsaan selama tujuh dekad, ditemukan suatu perkembangan yang agak membimbangkan kerana daripada 43 orang penulis yang pernah memperkaya sastera kebangsaan,  kini hanya tiga orang iaitu Uthaya Sankar SB, Raja Rajeswari Seetha Raman dan Ramakrishnan yang masih aktif berkarya (Rujuk Lampiran 1).  Sanisha Bogaraja dan Elavarasan Suppiah, mantan peserta MPR juga tidak begitu konsisten dalam penulisan mereka. Thanusya Shanmuganathan, baru mula berkarya pada tahun 2014 dan hanya masa yang boleh menguji dan menentukan kedudukannya dalam mandala penulisan kreatif.

Memandangkan bilangan penulis kaum India berada pada tahap kritikal pada masa kini, maka Dewan Bahasa dan Pustaka telah mengorak langkah positif dengan mengatur suatu perjumpaan rasmi pada tahun 2011 untuk mengenal pasti punca kemerosotan dan cadangan untuk menangani masalah tersebut. Dalam perjumpaan rasmi selama empat jam, beberapa cadangan telah dikemukakan.

Antara cadangan yang dikemukakan oleh penulis mapan pelbagai kaum dalam usaha melestarikan minat penulis kaum India dalam persuratan kebangsaan termasuklah cadangan untuk melibatkan penulis kaum India secara konsisten dalam semua program rasmi anjuran pelbagai pihak seperti Persatuan Penulis, Pertubuhan Bukan Kerajaan, Universiti Awam (UA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Hal ini demikian kerana jika mereka turut dilibatkan dalam program anjuran pelbagai pihak, mereka akan berasa dihargai. Pengiktirafan yang diterima akan membakar semangat mereka untuk terus melonjakkan bahasa dan persuratan kebangsaan ke tahap yang gemilang.

Selain itu, penulis kaum India yang berkarya secara konsisten dalam media cetak dan media elektronik dan yang aktif melibatkan diri dalam pelbagai program sastera wajar diberikan peluang untuk menyertai program penataran sastera atau program lain yang setaraf dengannya agar minat mereka terhadap sastera kebangsaan dapat dilestarikan.  Nama penulis kaum India yang pernah menyumbang dalam persuratan kebangsaan wajar disenaraikan dalam Direktori Penulis Malaysia kerana sumbangan mereka memperkaya khazanah sastera negara.

Bengkel Deklamasi Puisi Artistik yang pernah dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM) pada tahun 1990-an wajar dihidupkan atau diaktifkan semula agar penulis yang berminat untuk mempelajari seni deklamasi puisi dapat menyertai dan menguasai teknik mendeklamasikan puisi secara efektif.

Adalah diharapkan agar cadangan yang dikemukakan direnung kembali kerana sumbangan penulis kaum India bukan sahaja membantu melonjakkan kedudukan bahasa kebangsaan di persada antarabangsa, malahan menjadikan khazanah sastera negara lebih mewah dan berwajah Malaysia.

Kertas kerja ini dibentangkan dalam Simposium Penulis Pelbagai Kaum 2015 anjuran Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur dengan kerjasama DBP Cawangan Sabah dan Badan Bahasa dan Sastera, Sabah (BAHASA), pada 7 – 8 Ogos 2015 di Dewan Amil Jaya, DBP Cawangan Sabah.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046051
    Visit Today : 947
    This Month : 28650
    Total Visit : 1046051
    Hits Today : 3108
    Total Hits : 4293673
    Who's Online : 14
  • Kategori