Oleh MOHD. ARIFIN MOHD. ARIF

Pendahuluan

MALAYSIA adalah sebuah negara majmuk. Selain bangsa Melayu, Cina dan India, terdapat kumpulan etnik yang termasuk dalam kategori “Bumiputera”, khususnya bagi negeri Sabah dan Sarawak. Di Negeri Sabah, terdapat sekurang-kurangnya 32 suku kaum yang direkodkan secara rasmi. Sementara Jabatan Pendaftar Pertubuhan Sabah merekodkan terdapat sejumlah 41 kumpulan etnik di Sabah. Muzium Negeri Sabah pula, pada tahun 2007 merekodkan terdapat 72 kumpulan etnik peribumi di Sabah. Jumlah itu jauh lebih banyak daripada anggaran yang pernah direkodkan sebelumnya. Walaupun menurut kajian dan kefahaman antropologi penduduk asal di Sabah, diklasifikasikan kepada tiga kumpulan etnik utama, iaitu Dusunik, Murutik dan Paitanik, berdasarkan pertalian bahasa, tetapi proses pembancian moden, menyimpulkan kepelbagaian etnik di Sabah, wujud disebabkan faktor budaya dan perbezaan dalaman yang diamalkan. Menurut Kntayya Mariappan dan Paul Porodong (2012) proses pengkategorian rasmi penduduk mengikut etnik di Sabah bermula sejak banci pertama dibuat semasa era pentadbiran British North Borneo Chartered Company tahun 1891 sehingga tahun 1961. Walau bagaimanapun, proses pengkategorian itu tidak terperinci, dan memperlihatkan pengalaman berbeza yang dialami secara berterusan oleh komuniti budaya dalam proses pembentukan dan perkembangan masyarakat moden.

Namun, realitinya diakui bahawa kepelbagaian etnik sesungguhnya membuka ruang seluas-luasnya kepada penulis dan golongan sasterawan membina hubungan timbal balik yang positif, khususnya dalam konteks menjana transformasi sastera kebangsaan. Penulis dan sasterawan, walaupun sering dianggap sebagai insan berjiwa halus, kaya imaginasi dan ungkapan yang indah, tetapi mereka juga mempunyai peranan penting dalam konteks kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Sebab itu Wilbur Scott mengatakan karya sastera tidak tercipta dalam kekosongan, tetapi mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat (dalam konteks ini masyarakat pelbagai etnik). Masyarakat pelbagai etnik dan sastera, memang merupakan dua entiti yang berbeza, tetapi saling berhubungan antara satu sama lain, terutama dalam konteks hala tuju pembinaan transformasi sastera kebangsaan. Sasterawan bukan sahaja membicarakan hal yang berlaku dalam masyarakat majmuk Malaysia, tetapi pandangan, sikap, idea dan pemikiran mereka biasanya membantu pemimpin merangka dasar, mencorakkan cara kepimpinan dan terdapat juga kata-kata golongan penulis atau sasterawan itu terpilih menjadi slogan penting dalam konteks kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Justeru, apabila kerajaan di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat, Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak, berusaha menyatupadukan masyarakat majmuk Malaysia, yang kaya budaya merentas sempadan etnik masing-masing, maka sastera juga mencari ruangnya bagi memperkukuhkan gagasan berkenaan, dan lebih penting lagi, menyerlahkan transformasi sastera kebangsaan. Hal ini kerana sastera juga mempunyai tempat tersendiri di tengah-tengah masyarakat pelbagai kaum negara ini, malah sastera juga harus menyerap dalam gerakan sastera dam rakyat. Sastera bukan hanya bergantung sepenuhnya kepada aspek struktural dan estetika fizikal semata-mata, tetapi pada tingkat tertentu harus menjengah aspek lain berkaitan dengan masyarakat, persekitaran dan gerakan massa.

Sasterawan Negara, Usman Awang pernah menegaskan, bercakap tentang sastera, tidak lain daripada bercakap tentang masyarakat (dalam konteks ini, masyarakat pelbagai kaum/etnik di Malaysia)., lahiriah dan batiniah, suka duka, marah benci, kecewa hampa, sedih rawan, baik jahat, buruk kejam, budi mulia, takut berani, dan lemah gagah, seterusnya segala sifat yang merangkuminya. Mahu tidak mahu, sastera pada akhirnya menyerap masuk ke dalam sistem ekonomi, agama, sosiopolitik dan semuanya menjadi keperluan asas yang merangkum dalam kehidupan, guna menjana transformasi sastera kebangsaan – sastera yang menjurus kepada pembentukan ketamadunan manusia.

Sama ada disedari atau tidak, hal ini menjadikan kerja, tugas atau tanggungjawab penulis/sasterawan, kini semakin mencabar dan lebih kompleks. Karya sastera yang dihasilkan bukan sahaja merupakan rakaman keindahan semata-mata, dipertanggungjawabkan segi struktural dan estetikanya semata-mata, tetapi mesti menyerlahkan kehidupan masyarakat pelbagai kaum yang menjadi wadahnya, sejajar dengan perkembangan ilmu pengetahuan seperti sosiologi, falsafah, psikologi, agama, ekonomi dan sosiopolitik yang berkembang di sekeliling. Karya sastera yang dihasilkan harus menjadi cerminan masyarakat pelbagai kaum di negara ini dan menjadi pencetus perubahan atau transformasi sastera kebangsaan sezaman.

Penulis boleh berimaginasi dan berfantasi, tetapi imaginasi dan fantasi itu mesti berpaksi atau berakar umbi di tengah-tengah masyarakat majmuk, merujuk kepada nilai-nilai bersama sezaman sesuai dengan kehendak Islam, menterjemah gagasan massa, kerana sastera juga berkembang sejajar dengan pergolakan sejarah kepelbagaian etnik negara ini, bersangkutan dengan aspek sosial, ekonomi, agama dan politik masyarakatnya.

Perkembangan Sastera Melayu di Sabah      

Jika ditinjau dalam konteks perkembangan sastera Melayu, sejak ratusan tahun dahulu lagi, ia dikatakan mempunyai hubung kait erat dengan masyarakat di sekeliling, merentas kumpulan etnik. Sastera Melayu menterjemah suka duka, pahit maung dan kegelisahan masyarakat majmuk negara ini. Sastera Melayu menjadi semacam nafkah sosial, atau teks sosiobudaya masyarakat, menjadi wahana bagi mengungkapkan sistem nilai atau gelisah masyarakat yang tertekan di bawah sistem feudal, kemudian menggambarkan pedih perih masyarakat yang terseksa di bawah penjajahan British, sebelum merdeka pada tahun 1957.

Setelah negara Malaysia merdeka dan menjadi sebuah negara berdaulat, sastera Melayu terus tumbuh dan berkembang menjadi lensa zamannya. Ada kalanya menjadi senjata ampuh dalam memperkukuhkan jati diri, semangat patriotik masyarakat. Sastera Melayu menjadi wadah intelektual bangsa, menjadi wahana pemersatuan dalam kepelbagaian, sekali gus menyerlahkan ketinggian estetika dan kekuatan falsafahnya. Sudah pasti hal ini dengan sendirinya menjana transformasi sastera kebangsaan.

Jika masih diingati, suatu ketika dahulu, ASAS 50 adalah sebuah gerakan sastera yang dominan falsafah perjuangannya dengan gerakan masyarakat dan mentransformasikan perkembangan sastera negara ini. Bahkan, menurut S. Jaafar Husin, pembentukan ASAS 50 itu sendiri tidak mungkin dapat dibicarakan tanpa dihubungkaitkan dengan pergolakan masyarakat, pancaroba politiknya, sama ada di dalam negeri atau di luar negara. Tidak dinafikan, slogan “Asia untuk bangsa Asia” dan pergolakan politik serta sosial yang berlaku di beberapa buah negara Asia Tenggara ketika itu turut mempengaruhi gerakan dan cita-cita kemerdekaan di Tanah Melayu. Hal ini turut meresap dalam gerakan sastera sehingga pada peringkat tertentu, sebarang agenda yang melibatkan pemerkasaan sastera Melayu, mesti menghubungkannya dengan komitmen dalam memperkukuhkan jati diri bangsa, rakyat dan negara.

Pada tahun 1960-an, terutama pada tahun 1967 apabila negara mencapai kemerdekaan, sastera terus memainkan peranan bagi memperjuangkan isu tertentu yang berkaitan masyarakat dan negara. Sebagai contoh, apabila terdapat segelintir pihak yang mempersoalkan perlembagaan negara, hak ketuanan Melayu dan bahasa Kebangsaan, maka para sasterawan menulis karya dalam pelbagai genre bagi memperlihatkan suara protesnya dan menyanggah sebarang percubaan meremehkan perlembagaan negara, ketuanan Melayu dan bahasa Kebangsaan. Sebagai contoh, karya-karya puisi yang dimuatkan dalam antologi puisi Keranda 152.

Demikian juga, apabila berlaku peristiwa pemusnahan tanaman petani di Teluk Gong, Selangor oleh pihak berkuasa yang menganggap penerokaan para petani tersebut sebagai haram, maka para sasterawan (khususnya penyair) melahirkan suara protes mereka dan termuat dalam antologi Teluk Gong sebagai pernyataan sikap mereka terhadap petani yang daif dan miskin, yang ditindas pihak berkuasa secara berwewenang ketika itu.

Oleh itu, apabila kita memerlukan kepelbagaian etnik dalam konteks menjana transformasi sastera kebangsaan, yang kita harapkan ialah para penulis kita dapat mengangkat nilai ukhuwah dalam kepelbagaian ini, melalui karya sastera yang dihasilkan, bagi menyatukan rakyat Malaysia, supaya dengan keamanan yang dinikmati itu kita dapat membawa hala tuju negara bangsa dan kemerdekaan yang dinikmati ini ke tahap yang sebaik-baiknya. Insya-Allah, DBP dan badan NGO berkaitan sastera sudah pasti menjadi pemangkin pemacuan kedinamikan sastera Malaysia, malah dalam banyak aspek sentiasa bersama-sama pemimpin dan kerajaan, sama ada dari segi pelaksanaan dasar kerajaan atau membantu mempromosikan dasar kerajaan bagi kebaikan masyarakat, terutama melalui aktiviti sastera dan kebahasaan, dan memainkan peranan penting dalam memperkasa bahasa Kebangsaan dan juga memperkasa sastera negara ini.

Peranan DBP dalam Memperkasa Sastera Kebangsaan

DBP adalah sebuah institusi yang diamanahkan sepenuhnya dalam memperkasa sastera kebangsaan, bukan sahaja bertindak menganjurkan pertemuan, seminar, simposium, bengkel penulisan, mempromosi sastera, memberikan penghargaan dan pengiktirafan, malah mendapatkan manuskrip sama ada berasaskan kajian, kursus jangka pendek atau jangka panjang, seterusnya menerbitkan karya itu dan kemudian memasarkannya. Namun, peranan DBP tidak terhenti di situ sahaja, sebaliknya DBP juga bertanggungjawab mempromosi dan terlibat sama menyerlahkan sesuatu dasar atau gagasan yang dicetuskan kepimpinan tertinggi negara. Sebagai contoh, semasa Tun Dr. Mahathir menecetuskan idea “Pandang Ke Timur” dan “Wawasan 2020”, DBP menganjurkan pelbagai program yang sejajar dengan cetusan idea berkenaan. Begitu juga apabila Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi mencetuskan ilham “Islam Hadhari’ dan gagasan “Cemerlang, Gemilang dan Terbilang”,  yang turut diperkatakan dalam majlis-majlis tertentu sama ada digerakkan DBP sendiri atau bersama agensi lain dan juga Badan Bukan Kerajaan (NGO) negara ini.

Justeru, sesuai dengan keperluan semasa di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak, maka DBP harus turut mengambil langkah proaktif dalam menyerlahkan gagasan menyatukan rakyat majmuk dan terdiri daripada pelbagai etnik di Malaysia. DBP harus memberikan kefahaman yang lebih mendalam kepada masyarakat mengenai nilai ukhuwah seperti yang dituntut Islam, di tengah-tengah masyarakat kita yang terdiri daripada pelbagai kaum, khususnya melalui kegiatan sastera dan juga seminar yang diadakan. Malah, Simposium Penulis Pelbagai Kaum 2015 anjuran Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) dan DBP ini juga, mengambil temanya “Kepelbagaian Etnik Penjana Transformasi Sastera Kebangsaan” yang dengan jelas menunjukkan bahawa DBP juga memainkan peranan dalam mempromosi menyatukan rakyat berbilang kaum di negara ini, sekali gus memberi input yang berguna dalam melestarikan gagasan itu, agar impaknya lebih besar dan sampai pada sasaran di peringkat akar umbi, terutama melalui kegiatan sastera dan tulisan kertas kerja ilmiah yang dibentangkan sempena simposium ini.

Kepelbagaian Etnik Menjana Transformasi Sastera Kebangsaan

Apakah yang dikatakan kepelbagaian etnik menjana transformasi sastera kebangsaan? Pada realitinya, masyarakat Malaysia memang terdiri daripada pelbagai kaum, iaitu Melayu, Cina, India dan juga golongan Bumiputera yang terdiri beberapa etnik di Sabah dan Sarawak. Setiap kaum mempunyai citra budaya, pegangan agama dan sistem nilai hidupnya tersendiri. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita semua bersatu di tengah-tengah kepelbagaian ini. Malah, menjadi tanggungjawab kita semua termasuk golongan penulis dan sasterawan berusaha sedaya upaya menyatupadukan masyarakat berbilang kaum, membawa kestabilan masyarakat dan meredakan gelora politik, yang jika tidak terkawal mampu mencetuskan ketegangan, seterusnya membantutkan pembangunan negara yang bakal menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

Amat penting bagi sesebuah negara mempunyai masyarakat yang aman, bersatu padu dan bulat dalam satu cita-cita. Ketiga-tiga faktor ini merupakan prasyarat penting dalam membina negara yang makmur. Dalam erti kata lain, mempunyai ekonomi yang kukuh dan berkembang maju, dengan masyarakatnya tidak dipisahkan sentimen etnik dari segi perbezaan budaya, keturunan dan agama. Di sinilah letaknya peranan penulis dan sasterawan yang mesti bersama-sama pemimpin negara memberikan perhatian dan penekanan khusus terhadap nilai-nilai kebersamaan, mengurangkan sikap perkauman yang parokial, dan malah melihat perbezaan sebagai satu rahmat dalam kepelbagaian dan perlu dihayati bersama.

Penulis dan sasterawan memang perlu memainkan peranannya tersendiri dan ditagih melahirkan karya yang inti pemikirannya menyerlahkan nilai-nilai kebersamaan, penyatupaduan masyarakat, sekali gus memperkukuhkan jati diri bangsa dan menyerlahkan kestabilan negara ini keseluruhannya. Pembentukan nilai kebersamaan itu bukan sahaja melalui gagasan yang diungkapkan dalam karya, tetapi juga melalui kegiatan sastera yang dilibati bersama-sama tanpa mengira latar belakang etnik, keturunan dan agama. Rasa kebersamaan itu boleh diwujudkan melalui karya seperti sajak, cerpen, novel atau drama yang dihasilkan atau melalui kegiatan kepenyairan berilmu, yang menekankan dialog serta wacana yang positif dalam membina persefahaman bersama.

Tidak keterlaluan dikatakan bahawa kesedaran kita terhadap kepentingan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini amat penting dalam konteks mentransformasikan perkembangan sastera kebangsaan. Meski pun, hal ini bukanlah merupakan sebuah dasar baharu, tetapi ia adalah pelengkap kepada pendekatan terdahulu, yang dicipta sedemikian rupa bagi menjamin kestabilan, menjana kemajuan dan pembangunan masyarakat dan negara, seterusnya memacu hasrat negara menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Ia juga adalah lanjutan usaha pimpinan terdahulu membangunkan negara dan membina bangsa melalui agenda mengukuhkan perpaduan, kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat. Ia juga bukan sebuah retorik politik, sebaliknya seperti yang ditegaskan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak, ia adalah usaha bagi membentuk sebuah negara dengan rakyatnya berbilang kaum, dan menjalin ukhuwah ikatan yang padu.

Namun, uniknya, perpaduan yang dicita-citakan itu ternyata sangat berbeza dengan konsep asimilasi yang diamalkan di negara-negara lain. Identiti kaum dilenyapkan dan diganti dengan satu identiti nasional yang sama. Sebaliknya di Malaysia, ia merupakan penghargaan dan penghormatan terhadap masyarakat majmuk negara ini sejajar dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan. Ia adalah pertanggungjawaban bersama bagi menyatukan rakyat Malaysia di seluruh pelosok tanah air, agar tidak tercicir daripada wacana nasional, dan ia harus dihayati dengan penuh rasa kebersamaan, penerimaan hakikat dan rasa kekitaan dalam kalangan rakyat, kepimpinan institusi dan organisasi tanpa meminggirkan hak-hak kenegaraan berbanding dengan hak-hak kaum menurut batas-batas Perlembagaan.

Para sasterawan di negara ini perlu mengambil peranan masing-masing melahirkan karya yang mampu menyatupadukan masyarakat dan malah turut terlibat dalam siri perbincangan pintar, wacana dan dialog bagi menyelesaikan masalah-masalah berkaitan kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Sasterawan perlu melaksanakan tugasnya mengikut keupayaan dan kebolehan masing-masing dalam melahirkan karya kreatif berkualiti sama ada dalam genre puisi, novel, cerpen, drama dan sebagainya yang sudah pasti bakal menjana transformasi sastera kebangsaan. Mata pena sasterawan yang dikatakan lebih tajam daripada mata pedang itu perlu mencoret tinta dakwatnya bagi menggerakkan transformasi atau perubahan masyarakat keseluruhannya secara seni dan berhikmah, seterusnya bertindak dalam memupuk kesedaran serta menyerlahkan pemikiran masyarakat ke tingkat tertinggi sastera Melayu negara ini.

Hal ini telah dilakukan oleh Sasterawan Negara seperti Keris Mas, Shahnon Ahmad, Usman Awang, A. Samad Said, Arena Wati, Muhammad Haji Salleh, Noordin Hassan, Abdullah Hussain, S. Othman Kelantan, Anwar Ridhwan dan Kemala. Kemudian, diikuti beberapa penulis tersohor seperti Azizi Haji Abdullah, Siti Zainon Ismail, Baha Zain, Dharmawijaya, Azmah Nordin, Zaen Kasturi, Khadijah Hashim, Fatimah Busu, Zaharah Nawawi dan lain-lain. Kemudian, ia diwarisi generasi sasterawan yang terkemudian seperti Marsli N.O, S.M Zakir, Nisah Harun, Siti Rahmah G. Ibrahim, Juri Durabi, Siti Jasminah Ibrahim, Faisal Tehrani, Shamsuddin Othman, Jasni Matlani, Ramli A.R, Hassan Saprin, Mad Sakiran Sulaiman, Dr. Chacho Haji Bulah, Juri Durabi, Mahasabah, Ruhaini Matdarin, Faridah Abd Hamid, Ramli Awang Murshid, Roselan Jomel, Jaya Ramba, Abizai, Poul Nangang dan ramai lagi.

Begitu juga, ia turut dimeriahkan sasterawan bukan Melayu seperti Lim Swee Tin, Jong Chian Lai, Siow Siew Sing, Joseph Selvam, Goh Thean Chye, Cheng Poh Hock, Margi Leo, Chu E Liang, Lee Keok Chih, Selina S.F.Lee, Saroja Theavy Balakrishnan, Retna Devi Balan, Raja Rajeshwari A/P Seetha Raman, dan sasterawan lain, yang mengisi aliran perdana “sungai besar” sastera kebangsaan yang semakin memperlihatkan keunggulannya.

KESIMPULAN        

Sesungguhnya sastera terus berkembang sebagai satu entiti budaya dan sastera juga mempunyai hubungan yang unik dengan masyarakat pelbagai etnik atau pelbagai kaum negara ini. Ia wujud sebagai suatu bentuk pengucapan dan wahana bahasa yang besar manfaatnya kepada masyarakat. Bahasa kebiasaannya digubah sedemikian rupa bagi menyampaikan pemikiran sasterawan yang berkaitan dengan masyarakat. Sastera membentuk nilai tertentu dalam kehidupan yang bukan sahaja menyerlahkan segi struktur dan estetikanya, tetapi juga sistem nilai dan pemikiran masyarakat di sekelilingnya.

Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang berkaitan dan DBP pastinya tidak terkecuali daripada turut terlibat dalam memperkasa dan memacu nilai-nilai ukhuwah dalam konteks masyarakat pelbagai kaum ini, melalui kegiatan yang dilaksanakan. Namun, pada masa yang sama sasterawan juga mesti menyerlahkan karya yang unggul yang menyerlahkan cita-cita perpaduan masyarakat multi etnik negara ini. Sasterawan juga harus bersama-sama membina kestabilan masyarakat, seterusnya menggerakkan negara ke arah kemajuan. Jika gagasan itu dilihat tanpa prejudis politik, sudah pasti ia dapat diterima secara positif, berdasarkan sikap rasionalnya yang neutral demi manfaat semua. Para sasterawan tentunya mampu membentuk pemikiran, pendekatan dan prinsipnya tersendiri tanpa terikat kepada momok mahupun agenda politik mana-mana pihak, namun yang penting ialah secara berterusan memainkan peranannya dalam membentuk masyarakat bersatu padu, maju dan aman makmur. Ini penting, kerana pertaruhan kita bukan hanya kepada rakyat atas nama negara bangsa Malaysia tetapi juga untuk kelangsungan generasi dan seterusnya tercatat sebagai sejarah peradaban bangsa Malaysia.

Makalah ini merupakan ucap utama yang disampaikan dalam Simposium Penulis Pelbagai Kaum 2015 anjuran Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur dengan kerjasama DBP Cawangan Sabah dan Badan Bahasa dan Sastera, Sabah (BAHASA), pada 7 – 8 Ogos 2015 di Dewan Amil Jaya, DBP Cawangan Sabah.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046073
    Visit Today : 969
    This Month : 28672
    Total Visit : 1046073
    Hits Today : 3158
    Total Hits : 4293723
    Who's Online : 15
  • Kategori