Oleh ROSLAN JOMEL

Roslan Jomel

Roslan Jomel

SAYA fikir mengapa seseorang itu jatuh cinta kepada bidang penulisan berkait rapat dengan kecenderungan untuk berdampingan dengan buku. Semakin banyak buku dibaca, semakin mewah perbendaharaan bahasa, imaginasi dan inspirasi. Tradisi sebegini berdasarkan kepentingan dua faktor, itu telah membentuk hubungan simbiosis dalam pembinaan karakter seseorang penulis. Tidak pernah berlaku pada zaman moden ini para penulis mampu menghasilkan tulisan tanpa dibantu oleh buku-buku yang dibacanya. Hanya individu yang terlibat secara serius dalam bidang penulisan mengerti mengapa buku diumpamakan sebagai permata berbanding dengan sofa mewah dan set televisyen plasma 60 inci.

Material utama yang harus ada pada seseorang penulis ialah minat. Sesudah itu baharulah ditagih keghairahan untuk menulis dan membaca; komited dan bukan sekadar mengikut musim. Demikian yang kerap dinasihatkan oleh sasterawan penting negara. Dua puluh tahun lalu, ketika menghadiri bengkel Minggu Penulis Remaja 1991, saya didedahkan serba sedikit pengetahuan dan ilmu yang harus dimiliki oleh seseorang penulis. Saya bersyukur kerana sehingga kini, minat dan cinta kepada bidang sastera masih bertahan. Buku menarik saya untuk meninggalkan keserabutan masalah dunia buat seketika. Tidak dapat dibayangkan tanpa membaca dan menulis, apakah saya berasa bahagia menjalani kehidupan. Mungkin beberapa penulis lain bercita-cita untuk digelar sebagai Sasterawan Negara. Kepada saya, cukuplah jika berjaya menghasilkan karya-karya yang menarik untuk dibaca.

Sesudah menerima beberapa anugerah sastera, saya masih merasakan bahawa tangki pengetahuan dan ilmu sekadar terisi beberapa meter. Rupa-rupanya tiada tempat yang dipanggil penghujung dunia. Maka, saya disarankan oleh makalah-makalah bernas yang ditulis penulis hebat agar meluaskan ufuk pembacaan. Bacalah apa-apa sahaja jenis bacaan, pesan William Faulkner. Maka saya mula berkenalan dengan para penulis dari Asia, Eropah, Amerika Latin dan sesiapa sahaja yang diperakui berwibawa oleh dunia. Teknik penulisan harus seiring dengan perkembangan zaman. Haruki Murakami dan Etgar Keret menunjukkan bahawa dunia yang kita diami sekarang memiliki perspektif berbeza dengan manusia-manusia lain. Saya juga percaya bahawa kerja kreativiti tidak memerlukan sebarang formula tertentu hanya untuk mempercepatkan sesuatu penulisan. Tanpa memberikan sentuhan jiwa dan emosi kepada sesebuah tulisan kreatif, maka tulisan itu tidak jauh bezanya dengan laporan akhbar.

Menulis dikaitkan dengan aktiviti intelektual yang berpanjangan. Para penulis dianjurkan untuk mempertajam renungan dan pemikiran. Namun, bagaimanakah untuk menjadi penulis yang berpiawai? Cukupkah sekadar menjadi pencerita dan urusan sesudah itu dilepaskan kepada pihak pembaca? Bagaimana dengan aspek-aspek dalaman yang lain? Budi Darma menyarankan, “Orang yang dapat menggunakan bahasa dengan baik juga bukan selamanya orang yang mempunyai logika yang baik. Tulisan yang kosong dan tidak mencerminkan fikiran cemerlang mungkin sahaja ditulis oleh seseorang yang dapat menggunakan bahasa dengan baik. Kerana itulah dalam penulisan yang berwibawa justeru penggunaan bahasanya belum tentu benar. Meskipun demikian, dalam tulisan yang berwibawa dan kerana itu sekali gus mencerminkan otak penulisnya yang cemerlang, dapat dijamin bahasanya berfungsi dengan baik, lincah dan tidak kaku. (Dipetik dari buku Bahasa, Sastera dan Budi Darma)

Majoriti menyatakan bahawa pekerjaan menulis amatlah menyeksa jiwa dan ternyata membosankan. Bengkel demi bengkel penulisan dihadiri, namun tetap juga tidak terhasil sebuah karya. Pembimbing bengkel kemudian menegaskan bahawa kerja penulisan itu belum boleh dianggap siap selagi belum diedit beberapa kali. Kedengarannya memang sungguh sulit. Para penulis diganggu secara psikologi kerana asyik terkenangkan manuskrip yang gagal menemui arah haluannya. Hidupnya perlahan-lahan mengalami neurosis kerana kebuntuan ilham. Perwatakan gagal diberikan sifatnya. Bahasa masih terbelit oleh simpang-siur plot yang kelihatan samar-samar. Percayalah, dakwaan sedemikian berakhir dengan kesilapan apabila jalan penulisan menjadi lebih lancar dan timbul semacam kebahagiaan.

Nikmat membaca tidak serupa dengan kebahagiaan ketika menulis. Seseorang itu boleh berbangga dengan jumlah bacaannya sepanjang tahun. Namun kepuasan menulis sebuah buku lebih besar buat seseorang penulis. Masih ingatkah lagi pesanan Pramoedya Ananta Toer? Dengan kejayaan melepasi editorial dan penerbitan buku, maka layaklah seseorang itu diiktiraf sebagai penulis. Tidak semua orang berasa bangga apabila digelar penulis oleh kawan-kawan. Saya harus memberitahu kepada diri sendiri, bahawa usaha untuk menjadi A. Samad Said mahupun T. Alias Taib tidak akan berlaku. Menulis untuk mengejar populariti juga tidak akan membawa sebarang makna. Demikian menulis dengan niat semata-mata untuk meraih anugerah dan hadiah, sering menjadikan seseorang itu penulis tidak jujur dalam kerja penulisan. Para pembaca moden semakin bijak menilai sesebuah karya.

Saya telah menghasilkan empat buah buku kumpulan cerpen persendirian. Namaku Epal Kuning terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2010 menjadi titik tolak kepada saya untuk terus konsisten berkarya. Ia pengalaman manis kepada golongan penulis sebaik-baik sahaja menerima kiriman buku sulung daripada pihak penerbit. Buku-buku seterusnya, Selamat Datang Ke Malaywood, Serangga di dalam Kepala dan Di dalam Mulutnya Ada Kota diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia. Sekarang saya sedang mengusahakan manuskrip kumpulan cerpen yang kelima. Mengapa cerpen dan tidak novel? Saya ingin membawa nama Alice Munro di sini. Kejayaan penulis cerpen seperti beliau mengesahkan dunia bahawa genre cerpen tetap terhormat sebagaimana novel dan puisi. Hanya yang terbaik sahaja diangkat sebagai pemenang. Tiada perbezaan kelas dalam kerja penulisan.

Sebaik-baik sahaja saya turun dari podium menerima hadiah sastera, saya mesti menyedarkan diri. Saya tidak pernah berasakan bahawa anugerah dan pengiktirafan yang diperoleh sebelum ini sebagai lesen untuk menunjukkan kehebatan peribadi. Di dunia yang semakin canggih, kompleks dan tidak menentu, manusia-manusianya masih memerlukan cerita. Setiap hari perkara-perkara baharu akan berlaku di belakang rumah dan di sebalik dinding konkrit. Setiap hari perkara-perkara aneh dan mengejutkan berlaku sehingga para penulis tidak sempat untuk memindahkannya ke dalam manuskrip. Disebabkan itulah kerja menulis sebenarnya menyeronokkan. Penulis telah melakukan suatu pekerjaan yang jarang dilakukan oleh orang ramai, iaitu mencipta watak manusia lain di dalam manuskrip.

Roslan ketika menerima hadiah daripada Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin pada majlis penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012

Roslan ketika menerima hadiah daripada Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin pada Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012

Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh sering mengingatkan golongan penulis agar jangan terlalu dibuai emosi silam dan terlupa bahawa masa kini tidak lagi serupa seperti dahulu. Kita perlu membaharui cara pengucapan kerana ramai manusia bertalam dua muka hidup di sekeliling. Jika masih menggunakan pendekatan lama yang agak didaktik, karya sastera akan menghadapi masalah pada pihak pembaca generasi baharu. Ketika menghasilkan sebarang karya, saya tidak ingin berlagak sebagai cendekiawan atau menganggap diri sebagai hero masyarakat yang bertugas sebagai penyelesai masalah rakyat. Saya hanya ingin menjadi seorang penulis realis yang sedar bahawa sastera belum mampu mengubah dunia menjadi lebih baik. Inilah hakikatnya.

Secara peribadi, saya lebih suka menulis dengan pendekatan terkini. Atau mungkin saya akan kembali kepada gaya ortodoks dengan menyuntik elemen-elemen baharu yang segar. Aliran bawah sedar, surealis, realisme magis, satira dan pascamoden, hanyalah jenama dan label. Gaya penulisan sedemikian sudah tidak lagi mengagumkan dunia. Menulis untuk kelihatan berbeza tidak akan mendatangkan apa-apa. Namun menulis dengan cara berbeza supaya menjadi lebih baik akan membawa nilai kepada kualiti tulisan. Membaca karya hebat dunia tidak akan membesarkan nama sendiri jika tidak mengetahui tujuan penulisan itu. Saya menetapkan sesebuah tajuk terlebih dahulu sebelum memulakan sesebuah karya. Tajuk itulah yang akan menjelaskan perjalanan dan makna sesebuah karya itu.

Adakah menjadi penulis itu seumpama manusia antisosial? Apa yang saya maklum, golongan penulis lebih memberikan tumpuan kepada dunia dalaman sendiri untuk memberikan gambaran tentang persekitaran kehidupan mereka. Barangkali benar bahawa manusia penulis itu unik dan eksentrik. Namun tidak lebih daripada itu. Mereka semua manusia biasa. Gejolak dunia semasa, peperangan antarabangsa, demonstrasi jalan raya dan pembunuhan yang dilakukan setiap hari tersingkap dalam karya sastera. Demikian kerja penulisan yang berasa perlu untuk berkongsi permasalahan manusia semasa. Saya diberitahu bahawa hakikat yang tidak boleh dihapuskan oleh masa, bahawa kerja menulis itu berkait rapat dengan manusia. Sasterawan bersusah payah mengerah ilham demi menyusun perenggan demi perenggan. Apabila siap, bukankah cerita itu nantinya buat tatapan manusia juga?

 

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046258
    Visit Today : 1154
    This Month : 28857
    Total Visit : 1046258
    Hits Today : 3802
    Total Hits : 4294367
    Who's Online : 7
  • Kategori