Ainunl Muaiyanah

Ainunl Muaiyanah

DILAHIRKAN pada 14 Mac 1987 di Batang Berjuntai, Selangor, Ainunl Muaiyanah binti Muhammad Sulaiman merupakan anak muda yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pemuliharaan dan Pengurusan Biodiversiti dari Universiti Malaysia Terengganu. Kini, nama Ainunl mula meningkat naik dan menjadi perhatian para peminat karya sastera.

Pembabitan awal Ainunl dalam bidang penulisan iaitu cerpen, bermula pada zaman persekolahan tetapi tidak secara serius. Bercerita tentang pembabitan awal dalam bidang ini, Ainunl berkata, “Ketika di Maktab Rendah Sains Mara, semasa mengambil peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), disebabkan terdesak, saya memilih soalan berbentuk cerita sedangkan guru telah berpesan, jangan memilih soalan berbentuk demikian kerana sukar mendapat markah yang baik. Di sebalik ketakutan kerana meletakkan risiko sewaktu peperiksaan percubaan SPM, saya mendapat markah tinggi melalui cerpen itu. Peristiwa itu mendorong saya untuk memilih penulisan secara serius.”

Pada tahun 2006, Ainunl terpilih menyertai Minggu Penulis Remaja (MPR) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), selepas cerpen pertamanya tersiar dalam Dewan Siswa. Selepas itu, dia dikelilingi teman-teman penulis yang saling mendorongnya untuk melibatkan diri dalam bidang penulisan dengan lebih serius.

“Kami akan saling bertanyakan perkembangan karya masing-masing. Hal ini menyebabkan keinginan menulis sentiasa menderu dalam diri. Apatah lagi, waktu itu saya mula mengenali penulis-penulis kegemaran yang merupakan mantan peserta MPR. Perbualan dengan rakan-rakan dan penulis mapan sering mencetuskan banyak keinginan untuk terus menulis,” ceritanya bersemangat.

Ainunl memulakan penulisannya dengan genre cerpen. Tetapi apabila melihat rakan-rakan penulis yang lain menulis puisi sebagai permulaan berkarya, dia ingin menulis puisi pula. Apabila mula bekerja, masa agak terhad untuk menghasilkan cerpen, lalu Ainunl menjadikan puisi sebagai genre utamanya dalam penulisan. Baginya, menghasilkan puisi tidak  mengambil masa yang panjang berbanding dengan menghasilkan cerpen. Puisi menjadi ‘teman’ barunya lalu dia mula mengenali, membaca dan menghayati puisi-puisi dengan lebih dekat lagi. Selepas itu Ainunl mendekati dunia novel pula, membaca lebih banyak novel, sehinggalah pada tahun 2013, novel pertamanya diterbitkan.

Ainunl Muaiyanah ketika memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2013

Ainunl ketika memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2013.

Apabila ditanya genre yang paling diminatinya, Ainunl mengakui bahawa dia fleksibel dalam hal ini. Katanya, “Sebaik-baik sahaja mendapat idea, saya akan mengembangkannya dan  melihat kesesuaian, sama ada  boleh menjadi puisi atau cerpen atau mungkin kalau ditambah rencah dan penyelidikan, boleh menjadi sebuah novel. Tersalah memilih genre, menyebabkan isi cerita menjadi hambar.”

Ainunl suka menulis hal-hal kecil dan sederhana yang berlaku dalam kehidupan, perkara yang dekat dengan dirinya atau peristiwa yang berlaku kepada dirinya. “Kita harus menulis sesuatu yang kita lebih tahu berbanding jika mengada-adakan apa-apa yang kita tidak tahu,” tegasnya.

Ainunl banyak mengikuti aktiviti kesusasteraan di Rumah PENA. Oleh sebab dia selalu hadir dan antara yang paling muda, wajahnya mula dikenali oleh para penggiat PENA. Dia suka membantu kerja-kerja persatuan dan sukarela tanpa mengharapkan balasan untuk kepentingan peribadi atau kerjaya. Baginya, aktiviti dalam persatuan harus dilakukan dengan sepenuh cinta dan atas kesedaran untuk memeriahkan perkembangan sastera, bukannya alat serampang bermata demi kepentingan masing-masing. Keterlibatannya dalam aktiviti persatuan ternyata mengundang banyak pengetahuan dan memperkayakan pengalamannya dalam dunia penulisan.

Ainunl Muaiyanah (no. 3 dari kanan) bersama-sama teman penulis.

Ainunl  (kanan sekali) bersama-sama teman penulis.

Selain menulis, Ainunl gemar menonton filem, bermain permainan papan (board game) dan sekarang sedang belajar menjahit. Dia yang gemar melancong akan memilih bangunan lama dan kawasan bersejarah seperti di Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan. Aktiviti seperti menonton wayang dan teater serta melancong banyak membantu meluaskan pandangan dan menambahkan pengetahuan sekali gus memberikan idea kepadanya apabila berkarya.

Seperti penulis-penulis yang lain juga, Ainunl mempunyai sasaran dan hala tuju dalam bidang penulisan. Bermula dengan karyanya yang disiarkan dalam majalah Dewan Siswa pada tahun 2006, Ainunl menetapkan sekurang-kurangnya sebuah karya terhasil setiap tahun, sama ada puisi, cerpen atau novel. Sehingga sekarang, sasaran tahunan itu telah dipatuhinya.

“Saya menetapkan begini supaya saya tidak berhenti menulis dan melihat karya yang disiarkan sebagai pendorong dan ingatan bahawa apabila saya sudah memilih ‘pekerjaan’ menulis, saya tidak harus berhenti begitu sahaja atas alasan apa-apa pun. Bagi saya, menulis bukanlah perkara main-main meskipun menulis merupakan permainan yang menyeronokkan dan menghiburkan,” katanya sambil tersenyum.

Menjadikan Sapardi Djoko Damono dan  Aan Mansyur sebagai idolanya, Ainunl menganggap Saparpdi sebagai “kekasih puisi” kerana puisi-puisinya menjadikan Ainunl percaya akan diri untuk menulis puisi. Puisi-puisi Aan Mansyur pula menyebabkannya percaya akan kemampuan diri untuk menulis hal-hal seharian, yang kecil dan sederhana dalam bahasa yang sederhana tetapi maksudnya sampai kepada pembaca.

Manakala dalam bidang cerpen, Ainunl lebih suka membaca buku Lydia Davis kerana gaya dan ideanya yang unik. Dia gemar membaca berulang-ulang buku-buku tulisan Noor Suraya, kerana bahasanya yang halus. Ainunl turut membaca bahan bacaan ringan seperti komik Penyiasat Remaja Hajimie Kindaichi yang dikumpulnya seawal sekolah menengah.

Ainunl membaca puisi dalam acara Malam-Suara_Kuala Lumpur.

Ainunl membaca puisi dalam acara Malam-Suara_Kuala Lumpur.

Apabila ditanya pandangannya tentang pengaruh novel popular, Ainunl mempunyai pendapat yang tersendiri. Bercerita pengalamannya menulis Sepetang di Kafe Biblioholic, dia tidak meletakkan novel ini sebagai novel popular. Ainunl hanya mahu menulis sebuah kisah yang bertemakan secawan kopi, secangkir teh, hujan merintik dan buku, iaitu dunia yang begitu dekat dengannya. Mungkin kerana syarikat JS Adiwarna dilabelkan sebagai penerbit novel popular, lalu karyanya itu turut dilabelkan sebagai novel popular.

“Saya percaya bahawa dalam diri seorang remaja ada keinginan untuk dicintai dan mencintai dan menterjemahkannya dalam bentuk bahan bacaan untuk memahami  lebih lanjut kompleksiti perasaan yang dialaminya. Kita tidak boleh memaksa remaja membaca bahan bacaan berat sahaja sedangkan naluri mereka ingin membaca novel bertemakan kasih sayang atau cinta. Berkemungkinan besar, mereka akan memberontak dan akhirnya tidak mahu membaca langsung. Itu hal yang paling saya takuti,” katanya serius, apabila ditanya tentang pengaruh novel popular kepada khalayak.

Mengakhiri perbualan pada hari itu, Ainunl menyatakan perasaan dan harapannya dalam dunia penulisan. Katanya, “Kebahagiaan bagi penulis adalah apabila karya dibaca dan disenangi oleh pembaca. Dan, pembaca menyayangi tulisan kita seperti kita menyayangi cerita itu, watak-watak yang kita tukangi. Kadangkala apabila ada pembaca datang dan menyatakan bahawa mereka membaca karya saya, saya sangat terharu kerana dapat berkongsi rasa dan kisah yang saya rasa dan alami. Apatah lagi kalau mereka menyukainya, bertambah-tambah lagi rasa terharu. Saya berharap saya akan terus menulis dan menghasilkan karya lebih prolifik, serta tulisan saya akan dibaca dan dapat berkongsi rasa dengan lebih ramai pembaca.”

– Nurdiana Mohd Nor

 

BIODATA 

  • Nama : Ainunl Muaiyanah bt Muhammad Sulaiman
  • Asal: Selangor
  • Tarikh lahir: 14 Mac 1987
  • Kerjaya : Editor
  • Anak kedua daripada lima orang adik beradik
  • Latar belakang pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Pemuliharaan dan Pengurusan Biodiversiti
  • Hasil karya:

– Antologi Karya Sasterawan 2011, (PENA, 2011)

-Takah 50 (PENA, 2011)

– Koleksi Puisi (Balai Seni Visual Negara, 2012),

– Sepetang di Kafe Biblioholic (JS Adiwarna, 2013)

– Antologi Cerpen Indonesia-Malaysia (ITBM, 2013)

  • Anugerah/hadiah yg pernah dimenangi:

– Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012 (kategori puisi eceran) – Mimpi dari Sebuah Lukisan Ilusi

– Hadiah Utama Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2013 (kategori puisi) – Berbagi Puisi

– Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2013 (novel remaja) – Sepetang di Kafe Biblioholic

  1. […] Boleh ke sini untuk ikuti sesi temu ramah itu dengan lebih lanjut: Klik Web DBP […]

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1045804
    Visit Today : 700
    This Month : 28403
    Total Visit : 1045804
    Hits Today : 2276
    Total Hits : 4292841
    Who's Online : 13
  • Kategori