Oleh  NISAH HARON

Nisah Haron

Nisah Haron

SEBELUM ini, anda telah mempelajari cara membina rangka asas cerita. Bina empat perkara asas iaitu apa, siapa, di mana dan bila. Sebelum ini anda telah menjawab banyak persoalan daripada peta minda, minda anda sendiri sudah membuak-buak dengan cerita yang dibina dan tidak sabar-sabar lagi untuk melahirkan cerita itu.

Bayangkan anda baru pulang daripada bercuti ke luar negara. Anda telah melihat banyak perkara menarik dan boleh dikatakan hampir semua tempat yang anda lawati mempunyai kisahnya yang tersendiri. Anda sangat teruja sehingga tidak tahu cerita yang manakah perlu anda dahulukan.

Apabila kawan anda bertanya melalui SMS, “Apa yang menarik di sana?”

Anda pun menjawab, “Best sangat!” Kalau boleh tanda seru mahu ditulis lebih sepuluh kali.

Namun, percayalah. Jawapan itu tidak memberikan sebarang gambaran kepada kawan anda. Sesuatu yang sangat menarik bagi anda, mungkin tidak menarik baginya. Misalnya, bagi anda yang suka menaiki kapal terbang berasa seronok apabila kapal terbang berlepas dan anda dapat melihat landskap muka bumi dari udara serta mengambil foto dari jendela kapal terbang. Seandainya kawan anda gayat atau fobia berada di tempat yang tinggi, pastinya ia sesuatu yang tidak menarik buatnya.

Jika anda tahu kawan anda tidak selesa dengan tempat yang tinggi, ia boleh menjadi tapak permulaan yang baik. Mulakan cerita anda itu pada bahagian yang paling menarik daripada keseluruhan cerita. Emosi pembaca perlu dipancing terlebih dahulu. Untuk mengetahui bahagian mana yang paling menarik daripada seluruh cerita, anda perlu merangka sebahagian besar daripada cerita untuk membolehkan anda membuat pilihan.

Sebaik-baik cerita harus bermula dengan watak (siapa yang kita pilih untuk terlibat dalam cerita) berada di dalam keadaan yang tidak selesa, serba salah, keliru, berdebar dan seumpama dengannya. Watak itu pada awalnya berada dalam keadaan yang baik, sehinggalah datang suatu peristiwa yang bakal mengubah semua itu.

Contohnya,

– Si A yang bahagia dengan sahabat baiknya sehinggalah sahabatnya itu berpindah sekolah, meninggal dunia, enggan berkawan dengannya.

– Si B percaya dengan kebolehannya dalam ilmu persilatan sehingga datang seorang pelajar baru yang ternyata lebih baik dan mencabar kedudukan Si B.

– Si C satu-satunya remaja atau penumpang yang menyelamatkan diri daripada pengganas dalam kapal terbang dan kini terpaksa mendaratkan kapal terbang itu dengan bantuan menara kawalan.

 

Kesemua contoh situasi ini mengandungi apa, siapa, di mana dan bila (sama ada secara langsung atau tidak langsung), yang mampu membina permulaan sebuah cerita. Pembaca yang terpancing dengan peristiwa begini akan terus membaca kerana ingin tahu kesudahannya.

Kini, giliran anda pula. Bina cerita dan fikirkan apa, siapa, di mana dan bila serta pilih peristiwa yang paling sesuai untuk memulakan cerita.

(Catatan: Nisah Haron merupakan pengarang sepenuh masa yang sering membimbing penulisan kreatif di dalam dan luar negara. Banyak memenangi anugerah penulisan, termasuk Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan dan Hadiah Sastera Berunsur Islam. Ikuti tip-tip menulis di Facebook : “Nisah Haron – Pengarang” atau Twitter : @nisahharon.)

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    127830
    Melawat Hari Ini : 58
    Jumlah Pelawat : 127830
    Hits Hari Ini : 93
    Jumlah Hits : 229429
    Siapa atas talian : 1
  • Kategori