Oleh RUZAIDI ABD. RASHID

Negeri Sembilan merupakan sebuah negeri yang amat kaya dengan warisan kebudayaannya. Salah satu seni persembahan unik yang menjadi identiti Negeri Sembilan ialah persembahan randai.

Randai merupakan sejenis seni persembahan yang menggabungkan pelbagai elemen termasuklah seni tari, seni silat, seni muzik dan juga kesusasteraan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, randai bermaksud “sejenis tarian yang ditarikan oleh sekumpulan orang yang berdiri melengkung sambil bernyanyi-nyanyi dan bertepuk tangan”. Maksud ini jelas menunjukkan perlakuan para penari dalam persembahan ini yang membentuk bulatan semasa membuat persembahan.

Encik Mazdar bin Abdul Aziz, atau lebih dikenali dengan nama Pak Pen merupakan penggiat seni persembahan randai di Negeri Sembilan. Beliau yang berasal dari Lenggeng, Negeri Sembilan telah melibatkan diri dalam seni persembahan ini sejak  remaja. Menurut Pak Pen, randai dikatakan berasal dari Tanah Seberang, iaitu dari Minangkabau, Sumatera, Indonesia.  Randai dibawa ke Semenanjung Tanah Melayu pada ketika itu melalui penduduk yang berhijrah ke sini.

Encik Mazdar bin Abdul Aziz

Suatu ketika dahulu, randai berfungsi sebagai medium hiburan penduduk kampung yang penat bekerja seharian. Kini, persembahan randai dipersembahkan dalam majlis keramaian seperti majlis perkahwinan dan upacara adat. Menurut Pak Pen, persembahan randai tidak semestinya dipersembahkan di atas pentas kerana boleh juga dipersembahkan di kawasan lapang dan terbuka.

Pembukaan persembahan Randai dimulakan dengan gerak tari “Buka Gelanggang”. Para penari akan membentuk satu bulatan dan memulakan gerakan silat sambil diiringi oleh persembahan caklempong. Menurut Pak Pen, gerakan tari dalam bulatan menggambarkan sifat muafakat dan kerjasama antara satu sama lain.

Tidak lengkap sesuatu persembahan randai jika tidak diiringi dengan alunan muzik. Kebiasaannya, beberapa alat muzik digunakan bagi mengiringi persembahan randai seperti caklempong, salung, bansi, rebana dan jidur. Suatu masa dahulu, lagu-lagu yang dimainkan dalam persembahan randai merupakan lagu-lagu yang dibawa dari Minangkabau. Kini, dalam persembahan randai versi Negeri Sembilan, tiga buah lagu bongai telah dipilih sebagai lagu wajib untuk persembahan “Buka Gelanggang” iaitu “Budu Landai”, “Cantik Manis” dan “Anak Bocek”.

Salah satu elemen dalam seni persembahan Randai ialah kesusasteraan. Randai yang dipersembahkan bersama cerita dinamakan Randai Berkaba.

Jumlah pelakon randai, atau juga dikenali sebagai “anak randai” bergantung pada cerita yang dipersembahkan. Kebiasaannya, tidak kurang daripada 20 orang akan terlibat dalam satu persembahan. Anak randai akan mengenakan pakaian tradisional masyarakat Minang serta seluar gelembung yang bertujuan untuk menghasilkan bunyi tepukan.

Kini, seni persembahan Randai semakin mendapat tempat di hati masyarakat. Sebagai penggiat seni persembahan ini, Pak Pen juga berharap agar Randai turut diangkat menjadi warisan budaya Malaysia di peringkat antarabangsa seperti juga persembahan makyung dan wayang kulit.

Salah satu usaha yang telah diambil oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan (JKKNNS) bagi mengembangkan Randai adalah dengan mewujudkan modul standard persembahan randai dengan identiti Negeri Sembilan. Modul persembahan randai ini akan diperkenalkan di sekolah-sekolah di sekitar Negeri Sembilan. Dengan usaha ini, diharapkan seni persembahan Randai akan terus berkembang ke seluruh negara.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046108
    Visit Today : 1004
    This Month : 28707
    Total Visit : 1046108
    Hits Today : 3277
    Total Hits : 4293842
    Who's Online : 8
  • Kategori