Oleh RAJA SHAIFUL AZIZUL AZUAN RAJA OTHMAN

Sebahagian peserta mendengar ceramah yang disampaikan dalam bengkel tersebut.

APABILA menyebut tesis, ramai beranggapan tesis adalah suatu bahan yang dianggap berat dan akademik. Tesis ditulis dan digagaskan berdasarkan disiplin akademik yang cukup tinggi. Para sarjana menulisnya khusus bagi memperoleh pengiktirafan bagi kesarjanaan mereka. Tesis biasanya ditulis mengikut kehendak para penilai. Persepsi sebegini menyebabkan kebanyakan tesis yang terhasil hanya menghiasi rak buku sarjana dan rak perpustakaan universiti. Hasil penyelidikan bertahun-tahun itu hanya sia-sia dan tidak dapat memanfaatkan masyarakat sekitarnya.

Sehubungan dengan itu, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) mengambil inisiatif mengadakan Bengkel Lanjutan Penyuntingan Tesis kepada Buku untuk ahli akademik yang berminat menukar tesis kepada buku. Seramai 10 orang peserta terdiri daripada kalangan para sarjana daripada pelbagai Institut Pendidikan Tinggi (IPT) di Negeri Johor menghadiri bengkel ini.

Sebelum ini, Bengkel Penyuntingan Tesis kepada Buku yang diadakan telah berjaya memilih 10 manuskrip terbaik untuk diperkemaskan bagi tujuan penerbitan. Antara objektif bengkel adalah untuk memberikan impak baru kepada dunia penulisan buku akademik, membuka minda dan rasa bagi memastikan bahan-bahan penyelidikan berkualiti dapat dimanfaatkan kepada orang awam. Bengkel tiga hari diharap dapat memperbanyak penerbitan ilmiah dalam pelbagai disiplin.

Dua orang penceramah dijemputi untuk mengendalikan beberapa siri bengkel, iaitu Prof. Madya Dr. Hamedi Mohd. Adnan, Pensyarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur, manakala peguam terkenal, Encik Mohd. Zamri Mohd. Idrus memberikan ceramah berkaitan “Hak Cipta Dalam Penerbitan”.

Bengkel yang berlangsung dari 1 hingga 3 Disember 2010 di Hotel Desaru Golden Beach, Kota Tinggi, Johor berjaya menghimpunkan sejumlah naskhah manuskrip berbentuk tesis yang dimurnikan menjadi satu manuskrip yang tidak lagi “berbau” tesis dan mudah difahami oleh semua golongan pembaca, sekaligus memenuhi kehendak pasaran yang lebih luas. Judul-judul manuskrip seperti “Gaya Bercinta dan Salah Laku Seksual”, “Kesediaan Membaca dalam Kalangan Kanak-kanak”, “Sejarah Bangsa Melayu: Fahaman Penjajah Barat”, dan “Jati Diri Bangsa Melayu dalam Menelusuri Hikayat Hang Tuah” yang sebelum ini berbentuk tesis berjaya diperbetul dan menjadi bentuk umum.

Antara isu yang dibentangkan oleh penceramah ialah “Editorial dalam Penerbitan”, “Suntingan Naskhah”, “Penyediaan Bahan Akhiran”, dan “Kemas Kini Manuskrip”. “Isu Hak Cipta dalam Penerbitan Buku” turut mengupas komplikasi undang-undang terhadap penulis, pencetak dan penerbit secara umum.

Pada akhir program diadakan sesi penyerahan manuskrip yang tuntas kepada penganjur untuk diterbitkan sebagai buku bacaan umum. Program dapat memberikan para sarjana pemahaman tambahan tentang proses penerbitan dan sekali gus menjadikan mereka lebih proaktif dalam aktiviti kesarjanaan selain aspek penerbitan. Peserta juga dapat menjalin hubungan yang lebih rapat dengan penerbit.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046276
    Visit Today : 1172
    This Month : 28875
    Total Visit : 1046276
    Hits Today : 3858
    Total Hits : 4294423
    Who's Online : 6
  • Kategori