Oleh FILZAH IBRAHIM

Selain mendengar ceramah dalam kelas, peserta MPK juga terlibat dengan aktiviti luar.

MINGGU Penulis Kanak-kanak (MPKK) 2010 program tahunan dalam kalendar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang sebelum ini pada tahun 1991, dikenali sebagai Kem Penulis Kanak-kanak masih mendapat sambutan kanak-kanak terutamanya penulis muda majalah Dewan Pelajar (DP) terbitan DBP yang menulis dalam ruangan Ceritaku dan Puisiku.

Seramai 40 orang kanak-kanak yang berusia antara 10 hingga 15 tahun terlibat dalam program MPKK yang berlangsung di Lembah Azwen Resort, Hulu Langat, Selangor dari 5-9 Disember lalu.

Program dimulai dengan sesi taklimat dan suai kenal di DBP, antara lain menerangkan kepada ibu bapa dan kanak-kanak kepentingan program ini, iaitu mendedahkan kepada peserta pelbagai pengetahuan bahasa, sastera, dan penerbitan selain mencungkil bakat mereka sebagai penulis muda. Antara aktivitinya ialah Sesi Kenali DP bersama-sama Puan Haziah Che Husin, Sesi Dendangan Puisi Tradisional: Nazam/Gurindam oleh Encik Ariffin Uzir, manakala Sesi Dendangan Puisi Tradisional: Syair/Seloka oleh Puan Normah Abu Samah dari Sekolah Menengah Seri Pengkalan, Melaka.

Kerja berkumpulan memberi peluang kepada peserta berinteraksi sesama sendiri.

Peserta MPKK juga diberi peluang meneroka dunia sains bersama-sama Petrosains dalam membina pemangkin dengan menggunakan bahan terpakai. Sesi Indahnya Bahasa oleh Haji Muhammad Salehudin Aman, Munsyi Dewan menerangkan bahasa Melayu dengan pendekatan yang menarik seperti bercerita dan mendeklamasi puisi.

Tidak lupa juga Sesi Mari Berkarya yang dikendalikan oleh Encik Md. Shukri Edrus, penulis dan pelukis buku kanak-kanak. Dalam sesi ini peserta diajar cara membuat perancangan tentang penyediaan buku bergambar dari segi teknikal. Antara lain, penceramah menyatakan bahawa untuk menghasilkan karya buku bergambar dianggap paling sukar dan mencabar jika dibandingkan dengan cabang sastera kanak-kanak yang lain. Kemampuan penulis buku kanak-kanak boleh dianggap memuaskan memandangkan tidak semua bakal penulis atau pelukis dapat menceburi bidang ini. Tiga karya yang terbaik dipilih, iaitu “Kisah Si Tikus dan Si Lalat” oleh Muhammad Danial Ayob, “Bantu-Membantu Amalan Mulia” oleh Aqil Ahmal Azman dan “Siti yang Malang” oleh Wong How Yee.

Pada akhir sesi berkampung di Resort tersebut, Puan Hairani Mohd. Khalid yang mewakili Ketua Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja (PURNAMA) menyampaikan sijil penyertaan dan hadiah kepada peserta. Beliau berharap agar program seperti ini dapat memberikan manfaat kepada penulis cilik sebagai langkah permulaan mereka untuk menjadi sasterawan, bak kata pepatah “Melentur buluh biarlah daripada rebung”.

Dengan sijil yang diperoleh masing-masing, peserta bergambar beramai-ramai pada acara penutup bengkel.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046723
    Visit Today : 339
    This Month : 29322
    Total Visit : 1046723
    Hits Today : 691
    Total Hits : 4295493
    Who's Online : 10
  • Kategori