Aleya ketika mempromosikan karya

BERKACA mata, berperwatakan lembut dengan senyuman yang sentiasa terukir di bibir gadis kecil molek ini. Itulah Aleya Aneesa atau nama sebenarnya, Marwati Wahab. Marwati Wahab yang lebih disenangi dengan panggilan Mar, mula bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 2005 sebagai Penolong Editor di Bahagian Buku Sastera.

Novelis Aleya Aneesa atau nama sebenarnya Marwati Wahab berperawatakan ceria.

Anak keempat daripada enam orang adik-beradik ini dilahirkan pada 16 Mei 1980 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Sultanah Engku Tun Aminah dan Sekolah Menengah Maktab Sultan Abu Bakar. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang Bahasa dan Linguistik Melayu dan memperoleh  ijazah pada tahun 2003.

Penglibatan awal beliau dalam bidang penulisan bermula apabila cerpen pertamanya berjudul “Kasih di Hujung Tanduk” disiarkan dalam majalah Media Hiburan pada tahun 1996. Cerpen kedua beliau berjudul “Suratan atau Kebetulan” menyusul kemudian pada tahun 2002 dalam majalah Remaja. Semenjak itu minatnya untuk menceburi arena penulisan semakin mendalam.

Dengan hanya satu tugasan semasa mengikuti Kursus Penulisan di universiti, Aleya telah menjadikannya sebagai titik permulaan untuk menempa nama dalam bidang penulisan. Gadis kelahiran Johor Bahru ini akhirnya dapat dikesan bakatnya dan diberi peluang untuk menghasilkan karya pertamanya, Atirah oleh Cerdik Publications pada tahun 2003. Seterusnya beliau menjadikan penulisan sebagai satu bidang yang serius dalam hidup beliau.

Berpegang pada prinsip hidup, “tiada istilah putus asa tetapi perlu berusaha dengan gigih”, melayakkan gadis ini mendapat penghargaan sebagai penulis prolifik oleh penerbit Alaf 21 apabila menghasilkan sebanyak lima buah novel dalam masa lima tahun berturut-turut. Beliau turut dicalonkan dalam Anugerah Pilihan Pembaca Berita Harian pada tahun 2009.

Walaupun memilih kisah-kisah yang berkisarkan kekeluargaan dan cinta remaja namun nilai ketimuran dan keagamaan masih diterapkan dalam setiap penulisannya.

Sehingga kini sebanyak 14 buah novel telah berjaya dihasilkannya, antaranya Aku Milikmu (2003), Semusim Rindu (2005), Kasih Antara Kita (2006), Bertakhta di Hati (2007), Janjiku Bersamamu (2007), Untukmu Segalanya (2008), Untukmu Sayang (2008), Hanya Dia Tahu (2009), Aku Mahu Kamu (2010), Tanpamu Aku Rindu (2010), Sudi Jadi Cintaku? (2010), dan Cubit kiri, Cubit Kanan (2010) dan yang terbaru Kasih Benar Kasih (2011). Manakala genre puisi pula,  Kadang-kadang (2006) yang tersiar di majalah Wanita, Janji Tuhan (2003) yang dimuatkan dalam Antologi Lahar di Goma.

Sebahagian koleksi karya Aleya Aneesa.

Minat yang mendalam terhadap bidang penulisan dijadikan pemberi semangat untuk beliau terus berkarya kerana sebagai penulis beliau selalu berharap dapat memuaskan hati pembaca walaupun kedengarannya agak mustahil. “Selagi diizinkan oleh Yang Maha Esa…,”  katanya. Namun, beliau akur kerana jika ada yang suka, pasti ada juga yang tidak suka kerana selera pembaca itu berbeza.

Aleya (kiri) bergambar bersama peminat.

Sungguhpun begitu, Aleya Aneesa percaya bahawa setiap penulis itu menulis bukan sekadar menulis semata-mata, tetapi mereka merasakan ada sesuatu yang mahu disampaikan kepada pembaca untuk dikongsi bersama. Kecil atau besar perkara yang mahu disampaikan adalah suatu hal yang berbeza dan subjektif sifatnya kerana kecil pada seseorang itu, mungkin besar dan bermakna bagi seseorang yang lain. Pendek kata, kecil dan besar bukanlah skala yang patut dijadikan kayu ukur kerana dalam sesebuah karya itu, kalaupun tidak banyak pengajaran, tentu ada sedikit yang boleh dijadikan iktibar dalam hidup.

Perjalanan hidup penulis muda ini juga dapat diikuti melalui blog beliau http://aleya-aneesa.blogspot.com

  1. najib says:

    Saya ingin membeli novel Kasih antara Kita. Di manakah ia dijual?

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1045941
    Visit Today : 837
    This Month : 28540
    Total Visit : 1045941
    Hits Today : 2732
    Total Hits : 4293297
    Who's Online : 10
  • Kategori