Oleh ROHANA ABDUL RAHMAN

Timbalan Perdana Menteri menyampaikan ucapan alu-aluan sebelum merasmikan PBAKL 2011.

Upacara perasmian disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

TEMA “Buku: Dunia Tanpa Sempadan” bagi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2011 dipilih kerana amat bersenergi dengan usaha yang sedang dijalankan oleh kerajaan bagi membina masyarakat berilmu demi membangunkan sebuah negara bangsa. Selain bertepatan dengan konsep 1Malaysia, PBAKL yang berlangsung pada 22 April hingga 1 Mei lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sentiasa mendapat sambutan dan kunjungan orang ramai yang menggalakkan sehingga ke hari terakhir PBAKL 2011.

Majlis pelancaran PBAKL telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, iaitu YAB Tan Sri Muhyiddin Yasin. Dalam ucapannya, beliau yakin bahawa Pesta Buku kali ini menyumbangkan sesuatu yang bermakna dalam usaha kerajaan mempertingkat budaya membaca dan penguasaan bahasa dalam kalangan masyarakat di samping menjana pertumbuhan ekonomi negara.

Timbalan Perdana Menteri turut menggesa pihak industri buku supaya mengikuti perkembangan semasa terutamanya dengan kewujudan e-buku dan peranti elektronik yang mungkin mengancam industri buku tradisional. Beliau menggesa semua pihak bekerjasama untuk mencapai aspirasi negara, iaitu membudayakan ilmu dalam kalangan masyarakat. Justeru, peningkatan minat membaca akan memberikan faedah kepada industri buku negara.

Dalam ucapan alu-aluan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmood melahirkan rasa bangga dengan penglibatan lebih banyak negara sebagai pedagang hak cipta dalam Pesta Buku tahun ini dan pihak penganjur berjaya memperdagangkan hak cipta bernilai lebih RM1 juta. Beliau menegaskan bahawa usaha membudayakan buku dalam kalangan masyarakat memerlukan kerjasama semua pihak.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011 dianjurkan bersama oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Kementerian Pelajaran, Majlis Industri Buku Malaysia (MBIC) dan dengan kerjasama pelbagai pihak agensi serta penerbit Malaysia. Terdapat sebanyak 734 gerai pameran dari dalam dan luar negara.

Pelbagai aktiviti disediakan untuk pengunjung gerai DBP.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mempamer dan menjual buku di Bilik Pulau Pinang, manakala bagi aktiviti bersama-sama pengunjung diadakan di Bilik Perlis PWTC. Antara aktiviti dan promosi yang diadakan ialah produk multimedia, teka silang kata, kuiz roda kata, uji minda, sudut kanak-kanak, kraftangan, Khidmat Nasihat Bahasa, Pusat Rujukan Persuratan Melayu, bersama-sama penulis, majalah DBP, sesi fotografi, sesi bercerita dan sebagainya. Cenderamata turut diberikan kepada para pengunjung yang mengikuti aktiviti yang diadakan.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, PBAKL pada tahun ini amat meriah dan mendapat sambutan luar biasa daripada pelbagai kaum dan lapisan masyarakat. Bagi pencinta buku, mereka tidak akan melepaskan peluang untuk membeli buku dan bahan bacaan lain yang diminati kerana harga yang ditawarkan amat berpatutan.

Antara pengunjung yang mengunjungi gerai DBP.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1045831
    Visit Today : 727
    This Month : 28430
    Total Visit : 1045831
    Hits Today : 2377
    Total Hits : 4292942
    Who's Online : 9
  • Kategori