Judul: Bibliografi Dialek Melayu Semenanjung Tanah Melayu

Penulis: James T. Collins

Terbitan: Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun: 2018

Harga: RM20.00

Pengulas: Atiqah Abd Rahim

Pengkajian tentang dialek yang membentuk suatu bahasa amat penting dalam penyusunan sejarah bahasa tersebut. Bentuk bahasa dan tahap penyebarannya dapat dikaji melalui perbandingan dialek yang masih dituturkan.  Walau bagaimanapun, bahan-bahan yang tertulis daripada naskhah purba tentang bahasa Melayu amat terbatas dan tradisi tulisan Melayu tidak malar, malah terputus-putus antara zaman. Oleh itu, pengkajian, perbandingan dan penelitian dialek Melayu seharusnya diutamakan dalam penyusunan sejarah bahasa Melayu dengan menggunakan kaedah penyusunan bibliografi. Penulisan berkaitan dengan sumber data atau bibliografi dialek Melayu yang diusahakan ini secara tidak langsung mampu menyelamatkan penyusunan sejarah bahasa Melayu daripada terlepas pandang oleh penyelidik linguistik.

Buku Bibliografi Dialek Melayu Semenanjung Tanah Melayu ini merupakan hasil kajian yang diusahakan oleh Profesor Dr. James T. Collins dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam Projek Penyusunan dan Penulisan Sejarah Bahasa Melayu. Buku ini ialah penyusunan bibliografi yang kelima dan terakhir dalam siri bibliografi dialek Melayu di seluruh Nusantara yang telah selesai diusahakan pada tahun 1995. Atas beberapa pertimbangan, buku ini diterbitkan dua dekad kemudian dan sudah tentunya banyak tulisan yang telah diterbitkan antara tahun 1995 hingga tahun 2015. Kajian beliau yang lain dalam projek ini termasuklah Bibliografi Dialek Melayu Pulau Borneo, Bibliografi Dialek Melayu Pulau Jawa, Bali dan Sri Lanka, Bibliografi Dialek Melayu Pulau Sumatera dan Bibliografi Dialek Melayu Indonesia Timur.

Siri Monograf Sejarah Bahasa Melayu ini menampilkan rujukan untuk semua tulisan dialek Melayu yang dituturkan di Semenanjung Tanah Melayu, termasuk wilayah Malaysia, Singapura dan Selatan Thailand serta Kepulauan Riau di Indonesia. Dalam buku ini, terdapat daftar kata, kamus dan huraian linguistik, tulisan tentang adat istiadat, pertukangan tradisional, flora dan fauna serta karya sastera yang memperlihatkan unsur dialek Melayu. Buku bibliografi ini tidak terbatas pada dialek yang dituturkan oleh orang Melayu sahaja, bahkan dialek Melayu yang dituturkan oleh golongan etnik yang lain seperti dialek Baba, dialek Ceti, dialek Orang Temuan, dialek Urak Lawoi’ serta dialek umum seperti bahasa pasar.

Bagi penulis, kedudukan Semenanjung Melayu mempengaruhi kepelbagaian dialek Melayu di wilayahnya. Pertama, Semenanjung Melayu yang memanjang dari daratan Asia telah merapatkan gugusan pulau-pulau Asia Tenggara. Hal ini menghubungkan pelbagai kebudayaan dan bahasa antara Nusantara dan benua Asia. Kedua, Semenanjung Melayu terbuka kepada pengaruh luar menyebabkan perubahan dan pembentukan ragam linguistiknya. Tambahan pula, arus perdagangan purba daripada masyarakat pendatang telah menyesuaikan bahasanya dengan lingkungan bahasa Melayu. Maka, tidak menghairankan keadaan bahasa dan dialek di Semenanjung Melayu yang mempunyai pelbagai rencam dan sampai sekarang sukar ditelusuri.

Yang menariknya, James T. Collins menyatakan bahawa terdapat beberapa dialek yang tidak begitu mudah dibandingkan dengan dua buah cabang dialek Melayu yang utama di Semenanjung, cabang Kelantan-Patani dan cabang Johor-Riau. Contoh yang paling nyata ialah dialek Kedah. Dialek ini dituturkan oleh beratus ribu orang di Perak Utara dan persisiran Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis juga masih dituturkan di Sentul (provinsi Satun) di negara Thai dan beberapa buah kampung di seberang Sumatera Utara. Hal ini disebabkan hubungan antara dialek Kedah dengan dua buah cabang utama di Semenanjung belum banyak dibincangkan dan sebagai akibatnya dialek Kedah belum dapat disisipkan dengan pasti dalam salasilah itu.

Selain itu, berpuluh-puluh ribu Orang Asli menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pertama mereka, sekurang-kurangnya empat dialek Melayu Orang Asli di Malaysia, iaitu dialek Temuan, dialek Orang Hulu, dialek Orang Kanak dan dialek Orang Seletar. Orang Asli yang berbahasa Melayu sebagai bahasa ibunda memiliki dialek tersendiri dan dialek tersebut sukar dikaitkan dengan salah satu daripada dua cabang dialek Melayu yang utama. Begitu juga dengan dialek Melayu yang dituturkan oleh masyarakat Cina Baba di Melaka dan masyarakat Ceti Melaka, iaitu keturunan masyarakat pedagang Hindu yang telah lama menetap di Melaka, belum dipelajari dengan munasabah. Hubungannya memang ada tetapi masih tidak dipersoalkan dan dikaji oleh peneliti dialek.

Dalam siri bibliografi ini, dialek Melayu dihuraikan menurut tempat asal yang diketahui berdasarkan sejarah dan data linguistik. Walaupun mempunyai sumber ilmiah yang teguh, kadangkala sedikit sukar untuk ditetapkan kerana sejarah Asia Tenggara sememangnya rumit dan berbelit-belit. Bibliografi ini disusun menurut arah atau letak dialek itu di Semenanjung dan nama-nama penulis tertera mengikut abjad dan tahun penerbitannya. Terdapat juga dua atau lebih dialek sosial terkandung dalam kategori geografi, misalnya sebahagian maklumat dialek Johor-Riau merujuk ragam istana dan sebahagian merujuk dialek yang dituturkan di kampung.

Dalam prakatanya, James T. Collins menyelitkan beberapa buah perpustakaan yang terpenting dalam usaha menggali dan menyemak rujukan dialektologi Melayu, termasuklah di Indonesia, Malaysia, Jerman, Amerika Syarikat dan Belanda. Antara perpustakaan yang dikunjungi ialah Perpustakaan Tun Sri Lanang (UKM), Perpustakaan Jabatan Persuratan Melayu (UKM), Perpustakaan Universiti Malaya (UM), Perpustakaan Jabatan Pengajian Melayu (UM), Pusat Dokumentasi Melayu (perpustakaan di DBP, Kuala Lumpur), Perpustakaan Pusat Pembinaan dan Pengembangan Bahasa (Jakarta), Perpustakaan Fakultas Sastra Universitas Udayana (Denpasar), Perpustakaan Institut Keguruan dan Ilmu Pendidikan (sekarang Universitas Negeri Makassar di Makassar), Perpustakaan Hamilton (University of Hawaii), Perpustakaan Cornell University (Ithaca) terutamanya Koleksi Echols, Perpustakaan University of Chicago dan Perpustakaan Koninklijk Institut voor de Taal-, Land- en Volkenkunde (KITLV, Leiden, Belanda).

Secara keseluruhannya, buku ini sangat membantu bagi pembaca yang sedang mengkaji tentang dialek Melayu dan salasilah hubungannya dengan dialek Melayu yang lain. Buku ini juga dapat menarik perhatian pembaca umum, terutamanya generasi muda terhadap kepelbagaian dialek Melayu yang mewarnai kawasan Nusantara dan Asia.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1045377
    Visit Today : 273
    This Month : 27976
    Total Visit : 1045377
    Hits Today : 883
    Total Hits : 4291448
    Who's Online : 13
  • Kategori