Judul:                      Sabarlah Sayang

Pengarang:             Abu Hassan Morad

Penerbit:                 Dewan Bahasa dan Pustaka

Harga:                     RM11.00

Tahun:                     2019

Pengulas:                Ismail Hashim

 

Novel ‘Sabarlah Sayang’ tulisan Abu Hassan Morad  mengisahkan olahragawan muda bernama Hanif yang terkenal dalam sukan bola sepak termasuklah acara sukan lompat jauh. Berlaku pergolakan dalam keluarga Hanif Hamdan, apabila Nenek Kalsom tidak menyukai abahnya. Hamdan telah membawa keluarganya berpindah.

Di puncak kegemilangan dalam sukan bola sepak, Hanif telah disahkan menghidap sakit jantung dan perlu dirawat di luar negara. Penyakitnya dapat dikesan semasa perlawanan bola sepak. Petang itu, Hanif terasa dadanya sakit selepas berjaya menyumbatkan gol kemenangan untuk pasukannya. Hanif rebah di padang. Hanif telah dibawa ke hospital menggunakan kereta guru besar sekolah, Cikgu Majid.

Novel setebal 93 muka surat ini memenangi hadiah sagu hati Peraduan Menulis Novel Kanak-kanak DBP 1987. Selain menulis “Sabarlah Sayang” (DBP:2019), Abu Hassan Morad turut menulis novel kanak-kanak berjudul “Mencari Kasih” (DBP:2019) yang mengisahkan pengalaman penulis semasa kecil.

Penulis gemar membawa tema kanak-kanak di dalam novel tulisannya. Tajuk “Sabarlah Sayang” merupakan ungkapan yang lahir daripada seorang abah yang memujuk anaknya, Hanif yang menginginkan sebuah basikal BMX untuknya  ke sekolah.

Hamdan telah meminta anaknya bersabar kerana suatu hari nanti dia akan membelikan basikal tersebut untuk Hanif. Sikap memujuk Hamdan menyebabkan Hanif berasa dirinya disayangi dan dia cuma perlu bersabar untuk memiliki basikal idamannya. Penulis menggunakan teknik psikologi terhadap watak Hamdan untuk memujuk anaknya.

Sikap ini perlu diteladani oleh ibu bapa, terutamanya dalam memujuk dan tidak perlu memarahi anak-anak seolah-olah menuduh anak mereka ‘tidak faham bahasa’ setelah enggan menerima penjelasan yang diberikan kepada anak mereka.

Penulis juga menyedarkan pembaca bahawa anak-anak juga mendukung masalah tersendiri mengikut zamannya. Tindak-tanduk orang  lebih dewasa daripada mereka, bakal memberikan tempias kepada anak-anak.

Dalam novel ini juga, sikap Nenek Kalsom tidak sukakan Hamdan menyebabkan Hamdan membawa keluarganya berpindah ke Kangar berdekatan dengan sekolah tempatnya mengajar.

Sikap Hamdan yang degil membelikan kereta juga tidak disukai oleh Nenek Kalsom. Sikap yang mendahulukan ‘perasaan’, akhirnya menyebabkan Nenek Kalsom hanya tinggal bersama suaminya, Datuk Zaman tanpa cucu mereka, Hanif, Hani dan Hasna.

Kejadian perselisihan faham sesuai ditimbulkan oleh penulis sebagai teladan kerana peribahasa ada menyebutkan ‘biar banyak rumah, jangan tinggal ramai serumah’. Niat penulis tersebut berupaya mendedahkan anak-anak kepada kehidupan secara realiti.

Hamdan bukanlah menantu pilihan Nenek Kalsom yang mahu menjodohkan anaknya dengan Inspektor Ishak, anak tuan imam kampung. Namun, Datuk Zaman merestui hubungan abah dengan umi yang berputik sejak dari bangku sekolah lagi. Penulis juga mengingatkan pembaca tentang halangan yang mereka perlu hadapi sekiranya perkahwinan tidak mendapat restu.

Hamdan telah membawa keluarganya berpindah ke Kangar dan menyewa rumah Cikgu Bakar yang merupakan kawannya juga. Selain dekat dengan kawasan sekolah, rumah mereka juga berhampiran dengan Hospital Besar Kangar dan memudahkan mereka untuk melawat Mak Teh Mah yang dirawat di hospital kerana  kemalangan jalan raya.

Hanif berada di Sekolah Kebangsaan Seri Andalas dan ditempatkan dalam darjah Enam Biru. Hanif berkenalan dengan murid baru bernama Rahimah, iaitu anak Cikgu Bakar.

Sikap Cikgu Razali yang membocorkan penyakit jantung Hanif di dalam kelas menyebabkan Hanif rasa malu  dan menangis – penulis menegur sikap seorang guru supaya lebih bersikap prihatin dengan perasaan anak-anak seperti Hanif.

Lebih menyedihkan apabila abah dan umi Hanif menyembunyikan penyakitnya daripada pengetahuannya. Rahimah telah memberikan sokongan moral kepada Hanif agar menerima kenyataan penyakitnya dan tidak berputus asa serta berusaha membuktikan untuk mempunyai keupayaan seperti pelajar yang lain.

Penulis menghidupkan watak protaganis Rahimah untuk memberikan sokongan moral kepada Hanif dalam menjadikan jalan ceritanya lebih ‘menarik’ di hati para pembaca dan menyifatkan ‘kata-mengata orang itulah senjata berharga untuk berjaya dalam hidup ini’.

Penyakit jantung yang dihidapi Hanif perlu mendapat rawatan lanjut di Australia. Bahagian salur nadi koronari jantungnya mengalami kerosakan dan memerlukan khidmat doktor pakar. Bahagian tersebut membekalkan otot jantung dengan darah beroksigen. Jika otot ini rosak, maka tekanan oksigen akan menjadi tidak stabil dan kemungkinan akan mengakibatkan penyakit koronari trombosis.

Penulis telah membuat kaji selidik tentang penyakit jantung yang dihidapi Hanif. Penjelasannya agak jelas dan menyakinkan pembaca.

Rahimah datang ke hospital dan menghadiahkan buku “Catatan dari Laut” untuk bahan bacaan Hanif. Nenek Kalsom juga telah meminta maaf di atas kesilapannya yang banyak menyusahkan keluarga Hamdan.

Sebuah lagi novel “Mencari Kasih” tulisan penulis yang sama menceritakan kanak-kanak bernama An berusia enam tahun dan tinggal di Kampung Chenok. Kampung tersebut sering diserang hendap oleh pengganas Siam dan mereka suka membuat kacau. Akhirnya, Kampung Chenok  jatuh ke tangan pengganas Siam.

Para penduduknya melarikan diri dan berpindah ke  Padang Sera. Pada akhirnya, pengganas Siam berjaya diusir dengan bantuan pendekar dari penduduk Kampung Belukar dan Kampung Seputih.

An berkawan baik dengan Chin dan Shuib. Mereka bertiga sering ke belukar untuk melastik burung. An pulang ke rumah tapi Shuib dan Chin berjalan jauh ke dalam belukar dan mereka diserang tebuan dan pengsan. Dengan bantuan penduduk kampung, mereka berjaya dibawa keluar dari belukar itu.

Kesimpulannya, Abu Hassan Morad memang gemar mengangkat tema kekeluargaan dalam setiap novelnya dan menjadikan kanak-kanak sebagai watak utama selaku penggerak jalan penceritaannya.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    290307
    Pelawat Hari Ini : 501
    Pelawat Bulan Ini : 8880
    Jumlah Pelawat : 290307
    Hits Hari Ini : 1531
    Jumlah Hits : 772528
    Siapa Atas Talian : 2
  • Kategori