Judul:                         Wira Demokrasi

Pengarang:               Nor Azida Ishak

Penerbit:                    Dewan Bahasa dan Pustaka

Harga:                        RM24.00

Tahun:                       2021

Pengulas:                  Ismail Hashim

 

Penulisan novel biografi tentang seseorang tokoh tempatan semakin mendapat perhatian dalam kalangan penulis, khususnya penulisan novel sejarah. Daripada penulisan berbentuk fiksyen dan fakta pembaca dapat menjiwai tokoh yang berjuang dalam zamannya demi tanah air yang tercinta.

Nor Azida Ishak menghasilkan dua buah novel biografi (kedua-dua novelnya telah memenangi hadiah sagu hati) melalui ‘Sayembara Menulis Novel Sejarah untuk Remaja DBP-PSM (Dewan Bahasa dan Pustaka-Persatuan Sejarah Malaysia) dengan mengambil biografi tokoh berlainan dalam penulisannya, iaitu “Wira Demokrasi” (DBP:2021) yang menampilkan biografi Tun Dr. Ismail Abdul Rahman dan “Malaysia Milik Kita” (DBP:2015) menampilkan biografi Ghazali Shafie.

Ismail Abdul Rahman merupakan anak Melayu pertama menerima ijazah perubatan dari Universiti Melbourne, Australia. Ghazali Shafie pula memperoleh ijazah undang-undang di University College of Wales, Aberystwyth.

Kedua-dua tokoh yang diperkenalkan oleh penulis merupakan pejuang Melayu  berketerampilan dalam membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman penjajah Inggeris dan memperjuangkan kemerdekaan tanah air.

Saya melihat kecenderungan Nor Azida Ishak menulis biografi ini kerana mahukan pemimpin-pemimpin negara yang mengambil alih tampuk pentadbiran kerajaan mengutamakan perpaduan bangsa dalam menerajui negara. Penulis menggunakan saluran politik yang stabil sebagai platform untuk memberikan keyakinan Inggeris tentang kebolehan orang-orang dalam Melayu memerintah tanah airnya sendiri.

Dalam kedua-dua novel, penulis turut menekankan kelicikan penjajah mahu lebih lama memerintah tanah air kita dan mengaut hasil bumi demi kepentingan ekonomi negara mereka.

Dalam novel “Wira Demokrasi”, penulis menjelaskan kelicikan Inggeris  memperdayakan Sultan Ibrahim, Johor dalam gagasan “Malayan Union”.  Muslihatnya disedari rakyat biasa yang tidak ‘senada’ dengan baginda.

Penulis mengupas dengan baik jalan penceritaannya bagaimana Tanah Melayu melangkah menuju kemerdekaan melalui parti UMNO (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu)  yang mewakili kaum Melayu.

Usaha parti UMNO membina rangkaian dan diketuai oleh Yang Dipertuanya, Tunku Abdul Rahman memperlihatkan kematangan dan berjaya mewujudkan parti perikatan mewakili Malaysian Chinese Association (MCA) dan Malaysian Indian Congress (MIC). Kerjasama ini terjalin dengan baik melalui proses pilihan raya bagi membentuk kerajaan yang stabil.

Kemenangan Tunku Abdul Rahman, Ismail Abdul Rahman, Suleiman Abdul Rahman dan rakan-rakan mereka yang lain memberikan peringatan kepada Inggeris bahawa kaum peribumi boleh memerintah tanah airnya sendiri.

Dalam novel “Malaysia Milik Kita”, Ghazali Shafie menentang “Grand Design”  yang dipelopori Malcolm Mac Donald dalam menentukan hala tuju Tanah Melayu semasa penjajahan Inggeris tersebut. Malcom Mac Donald merupakan Gabenor  Jeneral Asia Tenggara di Tanah Melayu, Singapura dan Borneo.

Ghazali Shafie juga menerajui pembentukan Malaysia yang mahukan  orang Melayu memerintah Tanah Melayu tanpa campur tangan daripada Residen Inggeris.

Dalam “Wira Demokrasi” pula, Parti Komunis Malaysia (PKM) mahu ‘merampas’ tanah air daripada Inggeris dan melakukan permusuhan dengan Inggeris melalui serangan hendap Pesuruhjaya Tinggi Inggeris ke Tanah Melayu, Sir Henry Gurney di Bukit Fraser.

Ismail Abdul Rahman dan abangnya, Suleiman Abdul Rahman regu secocok bersama yang lain menentang “Malayan Union” tetapi tersepit dalam dua keadaan, sama ada di pihak rakyat yang menolak cadangan Inggeris tersebut dan pada masa yang sama Sultan Ibrahim telah menandatangani perjanjian dengan Sir Harold MacMichael.

Dalam perjanjian tersebut, Sultan Ibrahim memperakukan persetujuan baginda kepada pihak Inggeris berkenaan penubuhan “Malayan Union”. Manakala, rakyat yang menentang penubuhan “Malayan Union” pula perlu mencari jalan memujuk Sultan Ibrahim agar menarik balik persetujuan tersebut.

            Di bawah perjanjian yang didalangi Sir Harold MacMichael, negeri-negeri di Tanah Melayu akan bergabung termasuk Negeri-negeri Selat dan diletakkan di bawah Gabenor General Inggeris.

Akhirnya,  Ismail Abdul Rahman dan Suleiman Abdul Rahman termasuklah rakan-rakan seperjuangan yang lain berjaya mendesak Sultan Ibrahim agar menarik diri daripada perjanjian tersebut.

Pembatalan perjanjian tersebut telah menyemarakkan semangat rakyat Johor untuk menolak “Malayan Union” terutamanya apabila Inggeris mahukan orang Cina dan India diberikan kerakyatan seperti bangsa Melayu.

Parti UMNO, satu-satunya pertubuhan Melayu yang membela nasib orang-orang Melayu. Sardon Haji Jubir memiliki ijazah dalam bidang perundangan daripada Middle Temple, London yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO tertarik dengan semangat juang Ismail Abdul Rahman dalam menentang “Malayan Union” dan mengajaknya untuk menganggotai parti UMNO.

Dato’ Onn Jaafar selaku Yang Dipertua meninggalkan UMNO disebabkan berasa tertekan apabila pihak bukan Melayu menuntut perkara-perkara yang menyentuh kewarganegaraan dan soal bahasa. Bukan itu sahaja, pihak bukan Melayu turut meminta UMNO untuk membuka keahlian kepada kaum mereka.

Kekosongan jawatan Yang Dipertua UMNO ditinggalkan itu telah digantikan dengan Tunku Abdul Rahman. Pada masa yang sama, pemerintahan Inggeris di Tanah Melayu menerima ancaman pihak Parti Komunis Malaya yang didalangi oleh Chin Peng.

Siew Mah, orang kepercayaan Chin Peng bersama-sama konco-konconya  melakukan serangan hendap ke atas Pesuruhjaya Tinggi British ke Tanah Melayu, Sir Henry Gurney, J.D. Staples dan Lady Isabel Lowther Weir di Bukit Fraser dan mereka terkorban dalam serangan hendap tersebut.

Kemudiannya, pihak Inggeris telah melakukan serangan balas secara besar-besaran di bawah  pimpinan Brigadier H.G. Mogg dan memburu Siew Mah dengan ketumbukan yang melibatkan 4000 orang anggota tentera, polis dan ‘home guard’.

Pasukan Siew Mah semakin mengecil kerana ‘terputus’ bekalan makanan dan hanya tiga orang sahaja menunjukkan taat setia kepada parti itu, iaitu Siew Mah, Chow Yoon dan Thin Yong.  Akhirnya, Siew Mah mati ditembak manakala Chow Yoon dan Thin Yong menyerah diri kepada pihak berkuasa Inggeris.

Lanjutan daripada kejadian tersebut, Pesuruhjaya Tinggi British ke Tanah Melayu yang baharu, Sir Gerald Templer membuat perubahan dalam susunan kerajaan Tanah Melayu. Majlis Mesyuarat Kerajaan akan dianggotai ahli bukan kerajaan Inggeris.

Strategi pihak Inggeris tersebut membolehkan orang-orang Tanah Melayu mendapat pengalaman dan penting untuk melaksanakan pemerintahan sendiri selepas merdeka. Penulis memperlihatkan ‘kelembutan’ Inggeris setelah musibah yang menimpa Sir Henry Gurney – seperti mana peribahasa, ‘sudah terhantuk, baru terngadah’.

Selain itu, Tunku Abdul Rahman dan Tan Cheng Lok menubuhkan jawatankuasa perhubungan UMNO-MCA di seluruh persekutuan Tanah Melayu.

Pihak Inggeris sedar dengan aktiviti ganas PKM dan telah mengambil tindakan   drastik untuk meraih sokongan penduduk tempatan dengan menempatkan pegawai-pegawai Melayu, Cina dan India ke dalam Majlis Kerajaan Tempatan dan membenarkan UMNO (Perikatan) mengadakan pilihan raya kecil negeri.

Setelah memperlihatkan prestasi menggalakkan di dalam pilihan raya  kecil tersebut, pihak UMNO mendesak Inggeris untuk mengadakan pilihan raya umum. Platform majlis Kerajaan Tempatan ini merupakan  medan Tunku Abdul Rahman bersama Ismail Abdul Rahman, Kolonel  H.S. Lee dan  Leong Yew membina pengaruh serta mendesak kerajaan Inggeris mengadakan pilihan raya Persekutuan pada November 1954. Malah mereka mengugut meletakkan jawatan sekiranya tuntutan mereka ini tidak diberikan perhatian.

Berikutnya, Tunku Abdul Rahman berjaya membina parti perikatan yang mewakili pelbagai kaum, iaitu UMNO (Melayu), MCA (Cina) dan MIC (India). Di dalam pilihan raya Persekutuan, parti perikatan berjaya memenangi 51 buah kerusi.

Tunku Abdul Rahman berjaya menubuhkan kabinetnya dan beliau dilantik sebagai Ketua Menteri serta Menteri Dalam Negeri, Kolonel H.S.Lee sebagai Menteri Pengangkutan, Ismail Abdul Rahman sebagai Menteri Sumber Asli dan Suleiman Abdul Rahman sebagai Menteri Kerajaan Tempatan, Abdul Razak Hussein dilantik sebagai Menteri Kesihatan, Leong Yew Koh sebagai Menteri Kesihatan dan Kebajikan Masyarakat, V.T. Sambanthan sebagai Menteri Buruh, Perumahan dan Perancangan Bandar, Sardon Jubir sebagai Menteri Kerja Raya dan Ong Yoke Lin sebagai Menteri Pos dan Telekom.

Akhirnya, Tunku Abdul Rahman bersama barisan pemimpin yang lain melangkah maju ke depan  dalam usaha merangka kemerdekaan Tanah Melayu.

Kesimpulannya, novel ini kita dapat melihat tindak-tanduk Inggeris yang terus-menerus mahu memerintah Tanah Melayu dan dapat ‘dipatahkan’ dengan kehadiran pejuang-pejuang Melayu yang berwibawa dan teguh dalam menggagalkan setiap usaha yang dilakukan oleh Inggeris.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046292
    Visit Today : 1188
    This Month : 28891
    Total Visit : 1046292
    Hits Today : 3890
    Total Hits : 4294455
    Who's Online : 13
  • Kategori