Judul              : Terbalik

Penulis          : Ahmad J. Husein

Terbitan         : Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun            : 2017

Pengulas       : Nur Helmi@ Nur Jannah binti Azman

Terbalik merupakan gabungan 14 buah cerpen yang berjaya dihasilkan oleh seorang penulis, iaitu Ahmad J. Husein bermula dari tahun 1985 hingga 1990. Kesemua cerpen yang dipersembahkan dalam buku ini merupakan karya terbaik beliau dan setiap cerpen mempunyai keistimewaan dan mengkhusus pada aspek persoalan dan teknik penceritaan tersendiri. Isu dan persoalan yang cuba diketengahkan dilihat daripada pelbagai sudut pandangan dan berasaskan kejadian atau kisah yang berlaku dalam hidup penulis. Cerpen Terbalik yang dipilih sebagai tajuk buku ini merupakan cerpen yang berkisar tentang ketidaksefahaman orang kampung yang disebabkan oleh perbezaan haluan parti politik.

Cerpen pertama, iaitu Subuh di Bukit Jernang berkisar tentang seorang penoreh getah pawah, Awang yang kesempitan hidup dalam membesarkan tiga orang anaknya yang masih bersekolah. Isterinya, Sian pula mengandung dan hampir melahirkan anak. Kesusahan hidup Awang sekeluarga digambarkan dalam zaman penjajah apabila penoreh getah serta penduduk kampung hidup dalam ketakutan disebabkan oleh ancaman pengganas di dalam hutan. Awang menguatkan azam dan hatinya demi mencari sesuap nasi dan dalam usaha mencari ikhtiar membayar yuran sekolah anaknya yang akan mengambil peperiksaan.

Tragedi di Laut Jelutung pula mengisahkan tentang konflik orang Melayu di Pulau Pinang yang terpinggir dek pembangunan pesat serta peluasan kuasa dan tanah oleh bangsa asing. Tuk Man yang pernah berkhidmat sebagai buruh dan telah bersara daripada JKR ialah anak jati Pulau Pinang dan tinggal di pinggir laut Jelutung. Cerpen berakhir dengan kejadian rumah Tuk Man yang runtuh ke laut akibat hujan lebat berserta tanda tanya mengenai nasib Tuk Man dan isterinya.

Tak Kesampaian mengisahkan Salleh yang sangat rajin mendengar ceramah agama dan politik. Salleh juga aktif dengan perjuangan parti politiknya sehingga mengabaikan perasaan isterinya. Isterinya kesepian kerana ketiadaan Salleh dan juga Munirah, anak tunggalnya yang masih sekolah dan tinggal di asrama. Kejadian rumahnya yang dihempap pokok kelapa semasa ketiadaannya menginsafkan Salleh.

Konflik rumah tangga antara Munir dan Iza dipaparkan dalam cerpen Hati Perempuan. Munir kepingin untuk berkahwin lain kerana berkehendakkan zuriat. Iza yang lebih serba-serbi menolak hasrat Munir dengan alasan yang diberikan. Walau bagaimanapun, konflik mereka berakhir apabila calon isteri kedua menolak untuk menikahi Munir dan bertunang dengan jejaka pilhan hatinya. Munir dan Iza akhirnya berdamai dan berikhtiar untuk mendapatkan anak.

Perjalanan Pulang berkisarkan kisah seorang lelaki di “alam’’ lain yang dapat melihat keadaan ahli keluarganya yang masih hidup di dunia. Penceritaannya berbaur kekesalan yang dialami kerana cara hidup anak dan menantunya yang jauh menyimpang dari landasan agama. Walau bagaimanapun, kekesalan tidak dapat diungkapkan dan tiada jalan untuk berpatah balik.

Kasihkan Rezeki pula mengisahkan Derauh yang mencari rezeki dengan menanam padi huma di kampung. Tanamannya sentiasa dimusnahkan oleh babi yang berkeliaran dan ini membuatkan Derauh hilang sabar dan bertekad untuk membunuh binatang tersebut. Pada masa yang sama, Derauh berkonflik dengan anaknya yang malas bersekolah dan sering ponteng. Tindakan Derauh meminjam senapang tuk penghulu dengan niat memusnahkan binatang perosak tersebut dan menembak tanpa usul periksa telah mengakibatkan kematian seseorang.

Kisah seorang penulis berjiwa rakyat ditonjolkan dalam cerpen Sasterawan Rakyat. Markum dan Sin berkawan baik sejak dari kecil hingga ke hujung usia. Markum ialah seorang penulis dan dikenali dengan cerpen-cerpennya yang terkenal dan kreatif. Hasil seninya telah memenangi anugerah berprestij. Namun begitu, Markum masih lagi merasakan dia tidak layak untuk memperolehnya lalu mendedikasikan anugerah dan wang yang dimenanginya untuk anak-anak kampung yang lebih memerlukan.

Episod di Rumah Ketua Cawangan adalah berkenaan sebuah majlis yang dianjurkan di Kampung Labu Besar. Majlis berkisar tentang parti politik di kampung itu dan menjemput seorang kenamaan untuk hadir tetapi berakhir dengan tragedi kecil apabila tikus menjadi punca masalah sehingga menyebabkan gulai daging yang dimasak musnah. Walau bagaimanapun, penceramah kenamaan tidak dapat hadir kerana berlaku musibah dan majlis itu berjalan tanpa tetamu jemputan.

Hati-hati yang Rusuh mengisahkan Ludin dan Lijah yang dikurniakan seorang anak yang bijak dan mengerti kesusahan ibu bapanya yang bekerja kampung. Walaupun Munirah layak untuk belajar tinggi di bandar namun dia memilih untuk bersekolah pondok dan belajar agama di kampung. Musim hujan lebat yang melanda menyebabkan Ludin tidak dapat menoreh bagi menyediakan wang sekolah untuk anaknya. Keadaan uzur sekolah pondoknya yang terletak di tepi sungai menggusarkan hati dan perasaan Ludin dan Lijah yang bimbang dengan keadaan keselamatan Munirah. Namun, kejadian Munirah yang selamat daripada kejadian kebakaran di sekolah pondoknya di kala hujan lebat menyebabkan mereka akur dengan kuasa Tuhan Yang Maha Esa.

Meniti Lorong Kenangan merupakan kisah cinta zaman muda waktu sekolah yang dilalui oleh Md Noor, seorang anak penoreh getah bersama Idah, anak guru besar sekolah. Md Noor yang tinggal di Muar akur dengan nasibnya setelah Idah berkahwin dengan orang lain dan tinggal di Kuala Lumpur. Md Noor yang hidup membujang sering dihambat kenangan cinta apabila disapa oleh kawan-kawan lamanya yang bertanyakan mengenai Idah. Pada suatu hari, Md Noor dikejutkan dengan surat yang diterima daripada Idah yang memaklumkan bahawa dia telah bercerai dan menginap di Terengganu.

Dipilih yang Muda mengisahkan seorang ustaz yang warak, Ustaz Haji Dahaman yang dipilih oleh Saleh untuk dijodohkan dengan anaknya yang berumur 27 tahun yang dianggap andartu. Ustaz Haji Dahaman yang sebaya Saleh menyokong konsep poligami dan menggalakkan orang ramai mengamalkannya telah memilih seorang anak dara yang berumur 18 tahun untuk dijadikan isteri baharunya. Saleh yang mendengar khabar itu terkejut dan tidak tahu bagaimana untuk memaklumkan anaknya tentang berita tersebut.

Pilihan Hati pula mengenai kisah Ustaz Farid yang berkira-kira dalam memilih calon isteri. Antara calon pilihan hati ialah Hamimah dan Hayati yang bukan calang-calang kelulusan akademiknya. Mereka mempunyai rupa paras dan berbudi bahasa tetapi apa yang pasti bakal isterinya perlu dapat menambat hati ibunya, Mak Yam.

Gangguan merupakan cerpen terakhir dalam buku ini yang menceritakan seorang penulis yang asyik dengan kerja dan mempunyai peminatnya tersendiri. Dalam keadaan bergelut dengan konflik dengan isterinya yang sakit untuk bersalin, dia tersedar dan cuba untuk memulihkan keadaan rumah tangganya yang bergolak.

Kepelbagaian cerpen yang dipaparkan dalam buku ini menunjukkan olahan hasil pengalaman dan kisah hidup masyarakat yang dialami atau diteliti oleh penulis.  Apa yang menarik ialah gaya bahasa yang bersahaja, mudah, ringkas dan tepat menjadikan kisah masyarakat yang biasa didengar, dipersembahkan dengan cara yang kreatif dan menarik serta sesuai dengan pembaca sasaran. Banyak pengkisahan yang diketengahkan dalam buku ini juga dapat dijadikan pengajaran sewajarnya.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046245
    Visit Today : 1141
    This Month : 28844
    Total Visit : 1046245
    Hits Today : 3752
    Total Hits : 4294317
    Who's Online : 5
  • Kategori