Oleh: Ibrahim Majdi Bin Mohamad Kamil

 

Pendahuluan

Asas budaya merupakan perkara utama yang memimpin diri manusia dalam bertingkah laku. Jika ditanya mengenai definisi budaya, pelbagai definisi dan perspektif yang boleh dikongsi. Budaya bukan sahaja sesuatu yang boleh dikaitkan dengan etnik, budaya juga boleh dikaitkan dengan perkara lain seperti budaya kerja, budaya ekonomi, budaya kelompok atau kumpulan dan sebagainya. Dalam penulisan ini, penulis akan memfokuskan dalam memberi definisi budaya khusus mengenai budaya masyarakat yang berlaku di Malaysia. Definisi budaya oleh penulis lebih bersifat dari segi perspektif sosiologi. Dalam penulisan ini juga, penulis akan memberi dua jenis budaya berasaskan etnik, iaitu budaya kebendaan dan budaya bukan kebendaan.

Definisi Budaya

Pelbagai definisi budaya diberikan oleh para pengkaji pelbagai bidang dalam memberi maksud kepada budaya. Penulis cuba memberikan beberapa definisi berkenaan dengan budaya. Satu definisi awal diberikan oleh ahli antropologi klasik Edward B Taylor (1871) yang menyatakan bahawa kebudayaan ialah satu keseluruhan yang kompleks yang merangkumi ilmu pengetahuan, kepercayaan, seni lukis, moral dan akhlak, undang-undang, adat resam dan lain-lain. Linton (1945) menyatakan budaya ialah segala yang dipelajari dan diulangi dalam sesebuah masyarakat, iaitu warisan sosial ahli masyarakat.

Kluckohn (1949) mendefinisikan budaya sebagai satu cara hidup yang tersendiri. Roucek dan Warren (1986) mendefinisikan budaya sebagai satu cara hidup yang dikembangkan oleh sesuatu masyarakat untuk memenuhi keperluan asasinya untuk terus hidup, meneruskan zuriatnya dan mengatur pengalaman sosialnya. Bagi Noran Fauziah Yaakub (1987) pula, budaya memberi pengertian bagi segala hasil dan idea yang dipelajari dan dikongsi oleh ahli-ahli dalam sesebuah masyarakat. Kepercayaan ini merangkumi nilai, politik, adat resam, undang-undang, peraturan, moral, institusi dan sebagainya. Definisi yang diberikan kebiasaannya adalah bersifat ilmiah yang banyak diberikan oleh ahli-ahli sosiologi dan antropologi.

Secara umumnya, budaya dikaitkan dengan apa-apa aktiviti yang terdapat dalam persekitaran manusia seperti kesenian, makanan, cara sambutan perayaan, tarian, pakaian, dan barangan yang dihasilkan. Oleh yang demikian, masyarakat perlu memahami bahawa segala perlakuan oleh masyarakat adalah menurut sesuatu budaya. Inilah yang perlu difahami dalam konsep budaya.

Ciri-ciri Budaya

Budaya ini telah membentuk dan mengawal tingkah laku di dalam masyarakat.  Budaya juga boleh dikaitkan dengan apa-apa aktiviti yang dikongsi bersama yang terdapat dalam persekitaran manusia seperti kesenian, makanan, cara sambutan perayaan, tarian, pakaian, dan barangan yang dihasilkan. Budaya sebagai satu elemen terpenting dalam kehidupan manusia dan masyarakat dan budaya juga merupakan salah satu reaksi manusia terhadap penyesuaian hidup dengan alam sekeliling. Terdapat beberapa ciri-ciri budaya, antaranya;

  1. Budaya adalah sesuatu yang dipelajari oleh manusia sama ada secara formal atau tidak formal.
  2. Budaya merupakan perlakuan atau kepercayaan yang dikongsi oleh sekelompok masyarakat.
  3. Budaya juga merupakan satu bentuk kesejagatan kelompok manusia. Budaya berbeza di antara satu masyarakat dengan masyarakat yang lain dan dipengaruhi oleh persekitaran manusia.
  4. Budaya adalah sesuatu yang diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain.
  5. Budaya adalah sesuatu yang berubah mengikut perkembangan persekitaran seperti keperluan, teknologi, alam sekitar dan konflik.
  6. Budaya sebagai satu bentuk perlambangan dengan memberi makna tertentu kepada pendokong sesebuah budaya tersebut seperti bendera, logo, warna dan sebagainya.
  7. Pandangan semesta wujud apabila manusia memberikan tafsiran mengikut pertalian persekitaran manusia. Pertalian ini diterjemahkan dalam bentuk simpulan bahasa, pantun, peribahasa dan sebagainya.

Ciri-ciri yang disebutkan ini menunjukkan bahawa budaya ini ada di dalam mana-mana golongan masyarakat.

Walau bagaimanapun, budaya berbeza antara satu masyarakat dengan satu masyarakat yang lain. Sebagai contoh, perbezaan dari sudut makanan. Masyarakat di Asia menyukai buah durian kerana rasanya yang manis dan baunya yang harum. Walau bagaimanapun, masyarakat di Barat menganggap bahawa buah durian berbau busuk dan mempunyai rasa yang teruk. Hal ini terjadi apabila adanya perbezaan budaya antara satu masyarakat dengan satu masyarakat yang lain. Keadaan ini menunjukkan kepentingan fungsi budaya dalam kehidupan seharian manusia.

Fungsi Budaya dalam Kehidupan

Budaya memainkan peranan yang penting dalam fungsi kehidupan manusia. Artikel ini akan berkongsi beberapa fungsi budaya dalam kehidupan manusia. Yang pertama adalah bagi memenuhi dan menyediakan keperluan bagi manusia. Antaranya dengan memberikan pendidikan dan pengetahuan kepada masyarakat berkaitan sesuatu perkara asas bagi kesinambungan kehidupan manusia.

Fungsi budaya yang kedua adalah memberi panduan kepada manusia dalam bertingkah laku. Budaya membantu dalam memberi panduan kepada masyarakat berkenaan dengan norma-norma masyarakat yang positif mahupun negatif. Budaya juga mengajar manusia untuk mengenal nilai, norma, pantang larang dan cara hidup di dalam masyarakat.

Fungsi budaya yang seterusnya ialah mengatur hubungan sesama manusia. Budaya penting dalam mengetahui norma-norma dalam masyarakat terutamanya dalam interaksi sosial dalam anggota masyarakat.

Fungsi budaya yang keempat ialah menerangkan tentang budaya yang memainkan peranan sebagai penggalak kepada manusia untuk mencipta. Budaya berfungsi dalam memberi gambaran dan ruang kepada manusia untuk meningkatkan kemahiran mencipta bagi memenuhi keperluan dalam kehidupan masing-masing mengikut persekitaran mereka. Manakala fungsi yang terakhir berkait rapat tentang budaya yang juga dijadikan sebagai alat penyatuan dan pengenalan identiti.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, sama ada secara sedar atau tidak, budaya cukup sinonim di dalam persekitaran manusia dan budaya wujud dalam kehidupan seharian manusia. Tanpa manusia, tiada budaya. Tanpa budaya pula, manusia akan mengalami kesukaran dalam menjalani kehidupan mereka. Budaya akan sentiasa wujud dalam persekitaran manusia. Budaya juga adalah sesuatu yang unik yang boleh membezakan daripada satu masyarakat ke satu masyarakat yang lain dan turut memainkan peranan penting dalam mengawal tingkah laku manusia dalam kehidupan bermasyarakat.

 

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    127841
    Melawat Hari Ini : 69
    Jumlah Pelawat : 127841
    Hits Hari Ini : 150
    Jumlah Hits : 229486
    Siapa atas talian : 1
  • Kategori