Judul             : Angin Perubahan: Memoir Jasni Matlani

Penulis          : Jasni Matlani

Penerbit        : Dewan Bahasa dan Pustaka (2019)

Harga             : RM36

Pengulas      : Mohd Helmi Ahmad

Jasni Matlani telah mengabdikan dirinya dalam bidang penulisan lebih daripada 30 tahun. Sepanjang tempoh itu, beliau telah menghasilkan cerpen, puisi, dan esei yang disiarkan dalam majalah dan akhbar. Selain menghasilkan novel dan skrip teater, beliau memimpin persatuan penulis, membentangkan kertas kerja, kolumnis akhbar dan membimbing penulis muda menjadikan pengalaman berharga kepada beliau. Hasil daripada pengalaman berharga ini beliau menerima pengiktirafan tertinggi peringkat negeri, kebangsaan dan hingga ke rantau Asia Tenggara. Segala catatan pengalaman yang tersusun kemas itu boleh dibaca dalam buku Angin Perubahan: Memoir Jasni Matlani.

Buku ini dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu “Langkah Pertama”, “Menjadi Penulis” dan “Sejauh Perjalanan”. Bahagian Langkah Pertama menceritakan tentang latar belakang, susur galur dan salasilahnya yang bermula daripada cerita zaman kanak-kanak dan persekolahan rendah serta menengah sehinggalah beliau mendirikan rumah tangga digarap dengan penuh nostalgia. Cerita itu berkembang lagi apabila memasuki bahagian Menjadi Penulis, beliau melibatkan diri dalam bidang penulisan secara berperingkat, dengan menceritakan pengalaman menjadi penulis puisi, esei kritikan sastera, cerpen, novel dan skrip teater.

Pada peringkat awal, lirik lagu yang didengari melalui radio menarik minat beliau untuk mendekati bidang penulisan. Minat terhadap lirik lagu itu telah mendorongnya untuk menulis lirik lagu. Penulisan lirik lagu nasyidnya pernah dinobatkan sebagai lirik lagu terbaik bersempena dengan Pertandingan Nasyid Peringkat Negeri Sabah pada tahun 1994. Minat menulis karya sastera pula bercambah setelah beliau diperkenalkan dengan antologi puisi Biru Matamu. Beliau juga menyertai pertandingan menulis puisi, cerpen dan esei di peringkat sekolah. Akhirnya, puisi pertama berjudul “Pertunangan” disiarkan dalam akhbar Sabah Times pada tahun 1982. Selepas itu, barulah beliau memberanikan diri untuk melangkah lebih jauh lagi dengan menghantar puisinya untuk disiarkan dalam akhbar Berita Minggu. Dua tahun kemudian, puisi pertamanya disiarkan dalam akhbar Berita Minggu.

Sejak puisi pertamanya tersiar dalam media cetak, beliau telah berjaya menghasilkan 500 buah puisi. Kumpulan puisi pertamanya telah diterbitkan pada tahun 2010 dengan judul Skrip Aneh oleh Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA). Beliau turut melakar sejarah apabila menjadi penulis Sabah yang paling banyak menerima Hadiah Sastera Sabah bagi kategori puisi. Di samping itu, beliau juga turut mencipta nama apabila kumpulan puisi Dogeng Perkebunan turut memenangi hadiah ketiga Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH ke-2. Puisi beliau yang berjudul “Waktu Gerimis Petang Turun di Masjid Jamik” turut diiktiraf dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 1996/1997. Beberapa puisi beliau juga turut diterjemahkan dalam bahasa Inggeris, bahasa Tamil dan juga bahasa Thai.

Tanpa menggauli dan mendalami teori sastera, beliau cuba menulis esei kritikan sastera. Esei kritikan berjudul “Minat Puisi daripada Beberapa Perspektif” yang disiarkan dalam akhbar Sabah Times pada tahun 1984 telah mendorong beliau untuk terus menulis dalam genre ini. Beliau mempelajari dan mendalami ilmu kritikan melalui pembacaan buku teori sastera,. Buku Teori Kesusasteraan karya ReneWellek dan Austin Warren yang diterjemahkan oleh Wong Seng Tong telah membuka mindanya bahawa tugas seorang pengkritik sastera amat berbeza dengan kerja seorang penulis.

Pada mulanya, beliau mengaplikasikan teori sosiologi ketika mengulas puisi penyair Sabah sebelum beralih kepada Teori Kritikan Sastera Pengkaedahan Melayu yang dipelopori oleh Hashim Awang. Latar  belakang pendidikannya yang bersekolah agama di Sekolah Menengah Agama Toh Puan Hajah Rahmah, Kota Kinabalu hasilnya banyak esei kritikan yang menerapkan Teori Kritikan Sastera Islam yang ditulis telah memenangi Hadiah Sastera Sabah. Esei yang tersiar dikumpulkan dan diterbitkan dalam kumpulan esei kritikan Refleksi (2003), Sastera Sabah dalam Kritikan (2008) dan Karya Kreatif Penulisan Sabah dalam Kritikan (2013).

Selain menulis puisi dan esei kritikan sastera, beliau juga turut menulis cerpen. Cerpen yang dibaca dalam majalah URTV menjadi pencetus kepadanya untuk menulis cerpen. Kumpulan cerpen Sangkar (1986) karya Anwar Ridhwan dan kumpulan cerpen Ermmadis (1989) karya Razak Mamat yang dibaca berjaya menambat hatinya untuk mendampingi genre ini. Bahkan, kedua-dua buku ini telah menjadi kitab panduan kepada beliau dalam bidang penulisan cerpen. Cerpen pertama beliau yang telah disiarkan dalam akhbar Sabah Times pada tahun 1990 bertajuk “Sahabat”.

Pada peringkat awal menulis cerpen, beliau mendapat bimbingan daripada Dr. Othman Puteh yang ketika itu pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kesungguhan beliau menghasilkan cerpen telah mendorong beliau untuk menerbitkan beberapa kumpulan cerpen termasuklah Dunia Iris (2002), Negeri Malam (2009), Pemburu Merpati (2014) dan Cerita Dialog Fauna (2018). Pencapaian membanggakan bagi beliau dalam penulisan cerpen apabila kumpulan cerpen Cerita Monyet, Anjing dan Pohon Ginkgo terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) telah dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2015/2016.

Jika cerpen Anwar Ridhwan dan Razak Mamat menjadi pencetus  kepada minat beliau menghasilkan cerpen, novel Sesudah Fajar Sebelum Senja (1982) dan Arca Berdiri Senja (1984) karya Baharudin C.D menjadi pemangkin kepada beliau untuk menulis genre novel. Pada tahun 2007 novel pertamanya berjudul Cinta Lestari telah diterbitkan oleh Cerdik Publication. Beliau mengorak langkah meneruskan lagi penulisan novel sehinggalah terhasilnya Riwayat Pandora kemudian judulnya ditukarkan kepada Pulau Tanpa Cinta diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 2014. Novel satira yang unik ini turut diberikan pengiktirafan dalam Hadiah Sastera Sabah 2014/2015. Novel ketiganya bertajuk Burung Merak yang diterbitkan sendiri melalui syarikat penerbitannya. Novel Jambu Merah Selatan Pulau Pandora pula merupakan sambungan novel Pulau Tanpa Cinta. Beliau berharap novel ini dapat diterbitkan tidak lama lagi.

Segmen Sejauh Perjalanan pula, beliau mencatatkan kisah pengembaraan beliau ke beberapa buah negara termasuklah Australia, Taiwan, India, China, Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei dan Thailand. Pengembaraan itu melibatkan kerja-kerja pembentangan kertas kerja, pertemuan sasterawan, pembimbing bengkel penulisan dan beberapa aktiviti serta program yang berkaitan dengan sastera dan penulisan. Pengalaman yang menarik itu diceritakan melalui penulisan cerpen dan puisi. Beliau juga pernah mengikuti program Penulisan MASTERA pada tahun 1999 yang diadakan di Indonesia yang dibimbing oleh Budi Darma dan Sapardi Djoko Damono.

Program pertemuan penulis di Selatan Thailand membuka mindanya tentang perkembangan sastera Thailand yang mendapati sastera tradisional  lebih mendominasi berbanding dengan sastera moden. Kunjungan beliau ke Taiwan dan Guangzhou telah menghasilkan beberapa buah cerpen yang termuat dalam buku Pembunuh Anarki (2015) dan dua buah cerpen dalam buku Cerita Monyet, Anjing dan Pohon Ginkgo. Nama Iris cukup bermakna dalam kehidupan Jasni Matlani. Iris merupakan nama seorang pramugari yang menghidangkan makanan dalam pesawat sewaktu beliau dalam perjalanan dari Hong Kong ke Pulau Hainan. Nama Iris itu juga bukan sahaja diabadikan dalam cerpen dan judul buku Dunia Iris, bahkan diabadikan sebagai nama syarikat penerbitan beliau, iaitu Iris Publishing.

Kemuncak kegemilangan selama beliau menyumbang tenaga, masa dan buah fikiran dalam menggerakkan kesusasteraan tanah air dan menghasilkan ratusan karya, beliau telah dipilih sebagai penerima S.E.A Write Award 2015 kategori cerpen. Selain itu, beliau turut menerima anugerah Panglima Darjah Gemilang Kinabalu sempena Hari Jadi Rasmi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-64 yang membawa gelaran Datuk.

Angin Perubahan: Memoir Jasni Matlani ini berjaya merakamkan catatan sejarah dan peristiwa yang berharga selama beliau melibatkan diri dalam bidang penulisan. Pengalaman yang mendewasakan itu wajar ditelaah khususnya bagi mereka yang terlibat dalam bidang penulisan. Cabaran yang dihadapi sesekali tidak mematahkan semangatnya untuk mengangkat mata pena, sebaliknya mematangkannya untuk menongkah angin perubahan di denai pengalaman.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1045229
    Visit Today : 125
    This Month : 27828
    Total Visit : 1045229
    Hits Today : 458
    Total Hits : 4291023
    Who's Online : 20
  • Kategori