OLEH ATIQAH ABD RAHIM

 

Sesi Wacana Ilmu 2020 Siri Kedua telah bersiaran langsung menerusi laman Facebook rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia pada 15 Julai 2020 yang lalu. Sesi bicara yang berjudul “Akal Budi Melayu” telah disampaikan oleh Profesor Dr. Nor Hashimah binti Jalaluddin, pensyarah Program Linguistik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Profesor Dr. Nor Hashimah mendefinisikan akal budi sebagai cara kita memberi makna dan mentafsir alam sekeliling dengan menggunakan akal fikiran. Kita perlu melibatkan intelektual atau yang lebih tepat dirujuk sebagai akal budi bagi mencapai makna yang sebenar. Beliau merujuk buku Datuk Dr. Hassan Ahmad yang bertajuk “Bahasa dan Pemikiran Melayu”. Buku tersebut menceritakan tentang metafora Melayu atau kiasan Melayu tradisional

Profesor Dr. Nor Hashimah menunjukkan buku Datuk Dr. Hassan Ahmad yang bertajuk “Bahasa dan Pemikiran Melayu”

seperti peribahasa dan pantun. Metafora Melayu perlulah dikaji dari perspektif saintifik dan falsafah di sebalik penciptaannya. Banyak pengajaran dan nasihat yang dapat ditemukan daripada hubungan intelektual metafora tersebut dengan penciptanya.

 

Kiasan Melayu menuntut tafsiran dan pemikiran aras tinggi untuk memahami maksud yang hendak disampaikan. Profesor Dr. Nor Hashimah memetik kata-kata Dr. Syed Taufiq al-Attas yang mengatakan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa yang bersifat saintifik kerana memerlukan akal dan fikiran untuk mentafsir serta mengupas maknanya. Beliau memberikan beberapa contoh bagaimana peribahasa, simpulan bahasa dan pantun yang dihasilkan telah membuktikan tingginya aras intelektual penciptanya dan pengguna bahasa Melayu.

Peribahasa bagai isi dengan kuku yang bermaksud keakraban dalam perhubungan atau persahabatan. Beliau mempersoalkan mengapa tidak diciptakan peribahasa lain, contohnya, bagai bibir dengan gigi. Apabila beliau mencari kata kekunci “kuku” di laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia, terdapat pelbagai masalah kesihatan yang boleh dihubungkan dengan warna kuku seseora

ng. Sebagai contohnya, kuku yang berwarna putih dan dilingkari dengan warna hitam adalah petanda awal kepada penyakit hepatitis dan penyakit kuning. Kuku dan bibir yang berwarna kebiruan mempunyai penyakit jantung berlubang. Kuku yang berwarna kekuningan bagi seorang perokok pula ialah petanda awal kepada jangkitan kulat. Manakala, kuku yang tidak rata dan mempunyai lubang-lubang kecil menunjukkan penyakit keradangan artritis atau sinonimnya dipanggil radang sendi. Hasil kajian beliau ini menunjukkan bahawa orang Melayu bijak mencari analogi yang paling rapat dengan tubuh badan dan sekelilingnya. Kepentingan menjaga kesihatan dapat dilihat daripada warna kuku dan telah dikaitkan dengan betapa rapatnya hubungan antara isi dengan kuku, yang dianalogikan dengan hubungan yang rapat dalam perhubungan atau persahabatan.

 

 

Poster Wacana Ilmu 2020 Siri 2 Akal Budi Melayu

Contoh yang kedua ialah mulut tempayan yang bermaksud orang yang tidak boleh menyimpan rahsia. Tempayan kebiasaannya diletakkan di dapur dan dibiarkan terbuka tanpa penutup. Ciri yang sama juga ditunjukkan oleh periuk. Walaupun tertutup rapat dengan penutup, makanan yang panas dalam periuk tersebut lama-kelamaan akan menyamai suhu bilik. Yang sebaliknya, tempayan yang sememangnya tidak mempunyai penutup menunjukkan rahsia yang disimpan pasti akan terlepas.

 

Seterusnya, peribahasa kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan yang bermakna berbesar hati dengan pemberian orang. Persoalannya, mengapakah memilih nyiru dalam peribahasa ini? Nyiru ialah alat yang digunakan di sawah padi dan berfungsi untuk menampi beras daripada sekam. Selepas menumbuk padi menggunakan alu dan antan, padi akan ditampi. Beras diambil manakala sekam dijadikan bahan bakar seperti membakar labu sayung, menghalau serangga atau nyamuk dan menyalai ikan yang ditangkap. Mengapakah sekam perlu dibuang? Ciri sekam ialah miang, tajam, liat dan tidak boleh dimakan. Fungsi nyiru ini diibaratkan apabila orang memberi kita sesuatu, dinasihatkan supaya memikirkan terlebih dahulu sekiranya mempunyai unsur miang, tajam dan liat yang memudaratkan kita. Peribahasa ini mengajar kita supaya berhati-hati dengan pemberian orang. Begitu juga dengan berita palsu yang dikongsikan di media sosial. Gunalah nyiru untuk menampi apa yang dibaca dan akal fikiran untuk menilai sama ada berita tersebut sahih atau palsu.

Peribahasa menanam tebu di tepi bibir juga dilihat agak janggal dan tidak masuk akal tetapi mempunyai makna yang tersendiri. Bibir ialah anggota badan manusia yang digunakan untuk bertutur. Manakala, air tebu rasanya manis. Persoalannya, mengapakah memilih tebu? Menurut beliau, ciri tebu lebih kurang sama dengan sekam. Beliau memperincikan struktur tebu yang daunnya kasap, berduri dan miang. Kulitnya liat dan kita perlu menggigit dan mengunyahnya dengan gigi untuk mendapatkan air tebu yang manis. Hampasnya tidak dimakan kerana bersifat tajam dan boleh memudaratkan diri. Pada zaman sekarang, kulit tebu dimasukkan ke dalam mesin untuk diambil airnya. Dalam erti kata lain, walaupun rasa tebu manis tetapi boleh memudaratkan diri kita, perkara ini boleh dianalogikan dengan menabur janji manis melalui kata-kata yang boleh memudaratkan.

Perbincangan menarik tentang falsafah di sebalik penciptaan metafora Melayu ini mengundang Profesor Dr. Nor Hashimah untuk mempersoalkan anak muda kini yang suka mencipta peribahasa baharu di media sosial. Antaranya ialah kecil tapak tangan, padang bola saya tadahkan; mendengarkan guruh di langit, segala timba dan baldi saya keluarkan; dan ada udang di sebalik mi. Beliau mengulas keupayaan anak muda ini mencipta peribahasa baharu yang tidak ada unsur falsafah dan sebab kukuh peribahasa itu diciptakan. Anak muda ini hanya suka mencipta peribahasa yang mempunyai rima yang menarik perhatian pengikut laman media sosial. Malangnya, peribahasa tersebut tidak kekal lama dan bersifat relevan. Yang kekal hanya peribahasa Melayu lama yang penuh berprinsip.

Profesor Dr. Nor Hashimah juga mengupas tentang ulam-ulaman sebagai objek dalam pantun Melayu. Beliau telah mengedarkan borang soal selidik dalam kajiannya tentang keutamaan memilih ulam yang dimakan. Hasil kajian beliau menunjukkan masyarakat di negari-negeri utara lebih menggemari makan ulam-ulaman berbanding dengan negeri kelahirannya, iaitu Johor yang hanya menghidangkan timun atau pegaga sebagai ulam-ulaman dalam juadah harian. Beliau menjelaskan hal ini berkemungkinan disebabkan oleh topografi negeri Johor yang mempunyai tanah berasid yang hanya sesuai untuk penanaman getah dan kelapa sawit. Berbeza dengan negeri-negeri di utara yang bertanah pamah dan sesuai untuk pelbagai tanaman ulam-ulaman.

Sehubungan dengan itu, beliau telah menjalankan kajian tentang hubungan kiasan Melayu dengan pemakanan orang Melayu. Beliau melihat sebab selasih, pegaga dan petai dipilih sebagai objek dalam pantun. Semua pantun yang melibatkan petai mesti dikaitkan dengan orang yang berilmu, orang perantara dan jurubicara. Apabila kita memakan petai, mulut akan berbau, bermaksud pertuturan orang berilmu yang penuh berisi. Semua pantun yang mempunyai perkataan selasih pula dikaitkan dengan kasih sayang. Selain itu, labu dikaitkan dengan ciri orang yang sombong. Cili, halia dan ketumbar dikaitkan dengan sifat panas. Daging juga bersifat panas dan boleh menyebabkan penyakit kanser. Pantun yang mempunyai perkataan daging yang  sering dikaitkan dengan sikap hipokrit, talam dua muka, menganiayai orang dan bersikap zalim. Sifat-sifat ini merupakan ciri kanser yang boleh merosakkan masyarakat.

Profesor Dr. Nor Hashimah menyimpulkan bahawa semua peribahasa dan pantun Melayu mampu dikaitkan dengan pelbagai bidang ilmu, terutamanya dalam ilmu perubatan. Metafora Melayu mempunyai daya keintelektualan yang tinggi dan pastinya relevan sepanjang zaman.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046493
    Visit Today : 109
    This Month : 29092
    Total Visit : 1046493
    Hits Today : 184
    Total Hits : 4294986
    Who's Online : 17
  • Kategori