Oleh: KHAIROL ANUAR HARITH FADZILLAH

Majlis Anugerah Pencapaian Seumur Hidup 2019 telah berlangsung pada 8 Oktober 2019 bertempat di Auditorium Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang. Penganjuran Majlis Penyampaian Anugerah Pencapaian Seumur Hidup 2019 diadakan bersempena dengan Persidangan Antarabangsa Akademi Pengurusan Asia 2019. Selain itu, penganjuran Majlis Anugerah Pencapaian Seumur Hidup oleh Akademi Pengurusan Asia (AAM), Pusat Pengajian Pengurusan dan USM telah diadakan sejak tahun 1994. Secara keseluruhannya, penganjuran Anugerah Pencapaian Seumur Hidup 2019 bertujuan untuk memberi pengiktirafan terhadap kejayaan serta pencapaian anak seni dan usahawan terkenal Malaysia, iaitu Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Dato Rosyam Noor, Datuk Azman Ismail, Noor Azmi Mat Said, Datuk Seri Meer Sadik Habib dan Al-Ishsal Ishak.

Dato’ Seri Siti Nurhaliza Tarudin menandatangani poster pengiktirafan sebagai penerima Anugerah Pencapaian Seumur Hidup 2019 di Pusat Pengajian Pengurusan, USM Pulau Pinang.

            Keunggulan penyanyi tersohor negara, iaitu Dato’ Seri Siti Nurhaliza Tarudin telah berjaya dipilih sebagai penerima Anugerah Pencapaian Seumur Hidup Selebriti 2019 oleh Akademi Pengurusan Asia (AAM). Dalam ucapan sebagai penerima Anugerah Pencapaian Seumur Hidup Selebriti 2019, Dato’ Sri Siti Nurhaliza melafazkan rasa syukur terhadap penghargaan dan pengiktirafan yang diberikan terhadap anak-anak seni di Malaysia.

            Sejarah dan pencapaian pengajian seni di Pusat Pengajian Seni USM Pulau Pinang menurut Dato’ Seri Siti Nurhaliza jelas menunjukkan bahawa kepentingan dan nilai ekonomi pengajian seni di USM telah melahirkan ramai ilmuwan dan tokoh seni hebat di Malaysia. Selain itu, Dato’ Sri Siti Nurhaliza turut menasihati para penuntut di USM agar terus berusaha mencapai kejayaan dalam pengajian di USM, selain mencapai kejayaan dalam kehidupan berbekalkan cita-cita tinggi dan menyerlahkan bakat kurniaan Allah SWT dengan sebaiknya. Malah, Dato’ Sri Siti Nurhaliza menegaskan bahawa cita-cita beliau seiring dengan usaha, sokongan keluarga, sahabat dan peminat. Dalam Majlis Anugerah Pencapaian Seumur Hidup Selebriti 2019, Dato’ Sri Siti Nurhaliza mendendangkan lagu bertajuk Anta Permana buat para tetamu kehormat dan para pelajar USM.

Datuk Rosyam Noor bersama para pemenang anugerah dan tetamu kehormat di Persidangan Antarabangsa Akademi Pengurusan Asia 2019.

Kejayaan, pencapaian dan bakat pelakon terkenal Malaysia dan usahawan, Datuk Rosyam Nor dalam dunia lakonan filem dan perniagaan di Malaysia telah berjaya menerima pengiktirafan sebagai penerima Anugerah Keusahawanan Selebriti 2019. Selain itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PLUS Malaysia Bhd, Datuk Azman Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia, Noor Azmi Mat Said telah dipilih sebagai penerima Anugerah Tahunan Tokoh Perniagaan 2019. Seterusnya, Pengarah Urusan Habib Jewels, Datuk Seri Meer Sadik Habib telah dinobatkan sebagai penerima Ahli Perniagaan Terunggul Tahun 2019. Akhir sekali, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Al-Ishsal Ishak menerima Anugerah Alumni USM Terunggul. Semua anugerah dalam Majlis Penyampaian Anugerah Pencapaian Seumur Hidup 2019 telah disampaikan oleh Prof. Dr. Aldrin Abdullah, Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046119
    Visit Today : 1015
    This Month : 28718
    Total Visit : 1046119
    Hits Today : 3316
    Total Hits : 4293881
    Who's Online : 9
  • Kategori