Judul: Konsep dan Reka Bentuk Rumah Bonggi
Penulis: Zaimie Sahibil
Terbitan: Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun: 2015
Pengulas: Atiqah Abd Rahim

Buku tulisan Zaimie Sahibil ini mengupas tentang asal usul, adat istiadat, kepercayaan, perkahwinan, ekonomi, adat kematian dan cara hidup yang banyak mempengaruhi konsep dan reka bentuk rumah masyarakat Dusun Bonggi. Dusun Bonggi ialah penduduk asal di Pulau Banggi dan merupakan suku kaum Orang Asli minoriti di Sabah. Menurut cerita penduduk awal di pulau itu, suku kaum Dusun Bonggi berasal dari sebuah tempat di kepulauan Filipina. Semasa pemerintahan Sultan Sulu, mereka yang didapati bersalah akan dihukum dan dibuang daerah ke Pulau Banggi. Nama Banggi dikatakan diambil bersempena dengan nama tempat asal suku kaum Dusun Bonggi.

Berdasarkan statistik bancian penduduk pada tahun 2000 di negeri Sabah, suku kaum Dusun Banggi yang masih tinggal di Pulau Banggi dianggarkan berjumlah 1901 orang. Mereka menggelar masyarakat mereka sebagai “Dusun Bonggi”. Namun begitu, orang luar tetap menggelar masyarakat mereka sebagai Dusun Banggi yang merujuk kepada nama Pulau Banggi. Pada awalnya, masyarakat ini membuat petempatan di persisiran pantai. Walau bagaimanapun, mereka berpindah ke dalam hutan kerana tidak suka bergaul dengan masyarakat lain dan gangguan daripada perompak atau lanun. Mereka membuka petempatan baharu dan dipimpin oleh seorang panglima (ketua masyarakat) yang digelar sebagai Orang Tua Kadut (pemimpin Dusun Bonggi yang membuka penempatan baharu). Mereka bekerja sebagai pemburu dan bercucuk tanam untuk memenuhi kehendak kehidupan.

Rumah tradisi suku kaum Dusun Bonggi mempunyai reka bentuk yang berbeza dengan suku kaum Dusun yang lain di Sabah. Mereka membuat rumah secara berasingan dan bukannya jenis rumah panjang. Rumah tradisional Dusun Bonggi digelar bali, merujuk kepada struktur dan rekaan rumah tradisional mereka, iaitu rumah menjadi tempat untuk membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan ekonomi secara tertutup yang banyak mengambil kira adat dan kepercayaan mereka. Menurut penulis, pembinaan rumah suku kaum Dusun Bonggi bukanlah semudah yang disangka kerana jika tidak dibina mengikut adat dan kepercayaan, mereka akan ditimpa malapetaka seperti berlakunya kematian penduduk setempat dan khususnya kepada penghuni rumah tersebut.

Penulis turut menyelitkan maklumat latar belakang suku kaum Dusun Bonggi yang lain termasuklah bahasa yang dituturkan, sistem sosioekonomi, jenis kediaman, agama dan kepercayaan, struktur sosial, sistem keturunan dan adat kematian. Berdasarkan temu ramah penulis dengan Ketua Kampung Log Tohog, terdapat sebuah tempat pemujaan bagi kaum mereka di Bukit Sinambung yang dikenali sebagai Buig Punsut. Terdapat tiga buah tempayan besar yang dipercayai dapat menyelamatkan mereka daripada malapetaka dan penyakit. Mereka juga membuat rumah khas untuk menjalankan upacara pemujaan. Menurut kepercayaan suku kaum Dusun Bonggi, pantang larang yang paling utama ialah orang luar tidak boleh melihat mereka menjalankan upacara sembahyang dan pemujaan di bukit tersebut. Yang paling menarik, pembinaan rumah Dusun Bonggi tidak boleh lebih besar daripada rumah pemujaan yang terdapat di bukit itu. Rumah mereka juga dilarang berdindingkan papan kerana dipercayai hantu akan marah dan membunuh mereka.

Dalam bab dua, penulis membincangkan gambaran dan reka bentuk rumah tradisional Dusun Bonggi secara terperinci seperti bentuk asas rumah, lakaran dan pelan lantai rumah, penggunaan bahan pembinaan dan peranan setiap ruang rumah untuk memenuhi kehendak pemilik rumah. Penulis juga melampirkan foto-foto yang jelas tentang pelan rumah Dusun Bonggi dan bagaimana setiap bahan pembinaan seperti rotan, nibung, kayu belian, kayu balak, akar kayu dan kulit kayu digunakan dalam pembuatan rumah tradisional ini. Selain itu, ruang rumah suku kaum Dusun Bonggi mempunyai banyak bilik kerana mereka mementingkan privasi. Masyarakat ini juga mementingkan hubungan sosial antara ahli keluarga dengan membuat pembahagian ruang bilik antara anak lelaki dengan anak perempuan. Suku kaum Dusun Bonggi juga sering berkumpul secara beramai-ramai untuk majlis keramaian dan upacara keagamaan.

Menurut penulis lagi, ciri utama reka bentuk seni bina tradisi Dusun Bonggi dilihat daripada reka bentuk dan bahan binaannya. Ciri yang pertama ialah komposisi elemen dan perkadaran bangunan yang menggunakan garisan mendatar melalui pemasangan tiang rumah. Garisan datar dikatakan mempunyai simbol keadian, keseimbangan dan kebebasan. Kedua, pemasangan lantai menggunakan kayu nibung yang merupakan bahan binaan tahan cuaca dan dihasilkan secara semula jadi. Ketiga, bumbung yang luas menutupi kawasan dalaman dan tunjangan perapian dengan menggunakan atap daripada daun pokok ladong. Konsep binaan seperti inimerupakan simbol kekukuhan keluarga. Ciri yang keempat ialah reka bentuk dinding pembahagi ruang yang memberi simbol kebebasan demokrasi, kemudahan pergerakan dan pencahayaan yang terang. Pintu laluan utama dan tingkap kecil yang dibuat daripada susunan anak-anak kayu dengan ikatan yang kukuh digunakan sebagai ruang untuk melihat dan meninjau keadaan di luar, yang melambangkan keselamatan kepada penghuninya. Ciri yang terakhir ialah rumah yang mempunyai tapak yang kukuh memberi gambaran sebatang pohon yang berakar tunjang yang dalam. Yang paling utama, reka bentuk rumah tradisional Dusun Bonggi ini tidak dipengaruhi oleh reka bentuk rumah tradisional masyarakat lain kerana mereka hanya berada di sekitar Pulau Banggi.

Dalam bab tiga dan empat, buku ini menjelaskan aturan pembinaan rumah bermula daripada pemilihan tapak sehinggalah rumah yang siap dibina bersama-sama ahli keluarga. Setelah memilih tapak rumah yang baik dan membersihkan tapak, satu upacara pemujaan yang dinamakan geid nein akan dilakukan oleh seorang pawang. Pawang tersebut akan membuat rangkaian tali-tali yang dipintal sepanjang satu kaki. Kemudian, setiap hujung tali tersebut akan digunakan untuk membuat sebuah bulatan. Sekiranya bulatan tersebut tidak bersentuh, maka kawasan itu tidak sesuai untuk pembinaan rumah. Pemujaan geid nein juga dilakukan berdasarkan mimpi. Mimpi yang bermaksud tidak baik memberi petunjuk bahawa rumah tidak boleh didirikan di tapak tersebut dan mereka perlu mencari tapak rumah yang lain.

Secara keseluruhannya, buku ini menawarkan pembacaan ilmiah dan rujukan yang bermanfaat kepada pembaca. Tambahan pula, kajian dan pendokumentasian tentang masyarakat Dusun Bonggi masih belum menyeluruh. Satu kelemahan tentang buku ini ialah pengulangan beberapa ayat dalam bab yang sama boleh menyebabkan pembaca keliru dengan maklumat yang ingin disampaikan. Pengulas berpendapat hal ini berkemungkinan disebabkan oleh masalah teknikal semasa proses penyuntingan.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1049755
    Visit Today : 600
    This Month : 32354
    Total Visit : 1049755
    Hits Today : 3850
    Total Hits : 4308611
    Who's Online : 16
  • Kategori