OLEH ATIQAH ABD RAHIM

BERSEMPENA dengan ulang tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang ke-64, sebuah program Bicara Santai bersama-sama Puan Pavithra a/p Sellakumaran atau lebih dikenali sebagai Puan Pavithra telah diadakan. Topik yang dibicarakan, iaitu “Asam di darat ikan di laut, di dalam belanga bertemu juga” telah disiarkan secara langsung melalui laman Facebook rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia pada 12 Jun 2020, jam 3.00 petang. Program Bicara Santai ini dikendalikan oleh seorang moderator, iaitu Encik Abdul Ghani bin Abu.

Puan Pavithra merupakan seorang Youtuber berbangsa India. Beliau telah berkongsi resipi masakan melalui saluran Youtube bersama-sama suaminya, Encik Sugu. Pasangan suami isteri ini telah menarik perhatian rakyat Malaysia selepas video mereka yang ringkas tanpa menggunakan kamera yang canggih dan resipi masakan yang sederhana memberikan kelainan untuk tontonan rakyat Malaysia. Yang lebih menarik, kedua-dua pasangan ini petah berbahasa Melayu dan mampu menerangkan setiap resipi masakan dengan menggunakan bahasa Melayu yang mudah difahami. Tajuk bicara santai, “Asam di darat ikan di laut, di dalam belanga bertemu juga”, yang diambil daripada peribahasa Melayu ini amat sesuai untuk menggambarkan pasangan ini yang saling melengkapi dalam setiap video masakan mereka. Pasangan sejoli ini menamakan saluran Youtube mereka sebagai Sugu Pavithra yang kini mempunyai lebih kurang 770 000 pengikut.

Apabila ditanya bagaimana tercetusnya idea untuk memulakan perkongsian video masakan menggunakan medium Youtube, Puan Pavithra menceritakan yang dirinya sebelum ini ialah seorang suri rumah dan tidak pernah bekerja selepas berkahwin. Selepas tujuh tahun berkahwin, ekonomi keluarganya menjadi semakin sukar. Beliau pernah terfikir untuk bekerja tetapi kekangan untuk menjaga dua orang anak yang masih kecil menyebabkan beliau buntu untuk mencari pekerjaan yang sesuai dengan keadaannya. Beliau kemudian berkongsi masalahnya dengan seorang jiran, dan jirannya itu mencadangkannya untuk memulakan perkongsian video-video melalui Youtube yang kini merupakan antara medium yang menjadi pilihan rakyat Malaysia untuk menjana pendapatan sendiri.

Pada mulanya, Puan Pavithra teragak-agak untuk mencuba kerana beliau dan suaminya kekurangan pengalaman dalam membuat rakaman video. Tambahan pula, dengan hanya menggunakan telefon bimbit untuk merakam video, beliau berasa kurang yakin jika ada yang mahu menonton videonya. Seperti peribahasa Melayu, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih, pasangan itu akhirnya berjaya menghasilkan video pertama mereka untuk saluran Youtube. Video pertama mereka yang telah dikongsi untuk tontonan rakyat Malaysia ialah video masakan ikan tilapia bakar.

Seterusnya, Puan Pavithra berkongsi cara beliau mendapatkan idea menu masakan. Menurut beliau, kebanyakan menu masakannya ialah masakan harian yang memang dimasak untuk keluarganya dan tentunya resipi-resipi tersebut mengikut caranya yang tersendiri. Beliau juga mempelbagaikan menu masakan selain daripada menu hariannya dan mencabar dirinya untuk mencuba masakan baharu terutamanya menu pada musim perayaan, contohnya sambal kuah kacang yang menjadi antara menu kegemaran semasa Hari Raya Aidilfitri. Selain itu, suami Puan Pavithra, Encik Sugu tidak melepaskan peluang untuk berkongsi rakaman video kebun kecil mereka yang menjadi sumber bahan-bahan masakan. Encik Sugu telah menanam pelbagai jenis sayur-sayuran seperti cili, terung, daun kari, serai, bendi dan daun pandan. Keserasian pasangan ini yang saling membantu jelas terserlah dalam video mereka.

Puan Pavithra dikenali oleh penontonnya sebagai seorang yang memasak dengan penuh kasih sayang dan amat menitik beratkan kebersihan daripada penyediaan bahan masakan sehinggalah selesai memasak. Kuali yang digunakan oleh beliau turut menarik perhatian kerana sangat bersih dan berkilat. Tiada siapa menyangka tuah kuali yang dibeli dari Kedai RM2 membawa rezeki kepada keluarganya. Kebanyakan penonton tidak percaya bahawa kuali tersebut telah digunakan selama tiga tahun kerana masih bersih dan berkilat. Beliau menjelaskan bahawa ketika mereka berdua mahu memulakan perkongsian video di Youtube, ekonomi keluarga mereka susah dan tidak dinafikan peralatan yang digunakan untuk rakaman video juga tidak terlalu mahal. Beliau tidak menyangka akan menjadi sangat dikenali oleh ramai orang dan merasakan ini rezeki dan anugerah daripada Tuhan.

Puan Pavithra kemudian berkongsi pengalamannya semasa pertama kali merakamkan video. Menurutnya, beliau tidak terlalu berdebar tetapi lebih berasa gusar dan kekok akan bahasa yang mahu digunakan, cara penyampaian dan cara berpakaian. Beliau juga agak kekok bermula daripada video yang pertama hingga yang kesepuluh. Namun begitu, setelah membaca komen daripada penonton, beliau dan suaminya merasakan kegusaran mereka itu tidak penting. Yang paling utama, beliau perlu sentiasa beradab sopan, bersih dan ikhlas semasa menyampaikan resipi masakannya di hadapan kamera. Itulah faktor kekuatan video mereka. Moderator juga bertanyakan jika dua orang anak lelaki beliau ada mengganggunya semasa rakaman video dibuat. Puan Pavithra bernasib baik kerana mempunyai ibu mertua yang boleh menjaga anak mereka atau beliau akan memastikan keperluan kedua-dua orang anaknya dipenuhi terlebih dahulu sebelum membuat rakaman video. Beliau dan suaminya juga selalu berbincang untuk memberikan kandungan yang lebih menarik dan membuat rakaman video pada setiap hari.

Seterusnya, jawapan yang ditunggu-tunggu daripada Puan Pavithra sudah tentulah sebab beliau dan suaminya menggunakan bahasa Melayu dalam saluran Youtube mereka. Puan Pavithra menjelaskan beliau boleh berkomunikasi dalam bahasa Tamil tetapi sekiranya menggunakan bahasa tersebut, hanya rakan-rakannya yang akan memahaminya. Menurut beliau, Youtube menjadi tontonan antarabangsa dan penontonnya berada di seluruh dunia. Sebagai rakyat Malaysia, beliau percaya bahawa bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan yang boleh ditutur dan difahami oleh pelbagai kaum di Malaysia. Video beliau juga mendapat tontonan antarabangsa apabila ada penonton telah menterjemahkan video tersebut ke bahasa yang lain. Secara tidak langsung, bahasa Melayu dapat diangkat dan diiktiraf ke peringkat dunia. Usaha Puan Pavithra seharusnya menjadi teladan kerana telah menunjukkan keyakinan dalam menggunakan bahasa kebangsaan di saluran Youtube walaupun kita dapat melihat sesetengah rakyat Malaysia masih ragu-ragu untuk menggunakan bahasa Melayu dalam video Youtube mereka.

Puan Pavithra tidak melepaskan peluang untuk menjawab soalan daripada penonton secara langsung daripada Facebook DBP semasa program Bicara Santai ini berlangsung. Ada penonton yang mencadangkan Puan Pavithra untuk mencuba resipi masakan tradisional Melayu, Jawa, Minang dan Cina. Ada juga yang mencadangkan beliau memulakan penghantaran makanan secara atas talian yang menjadi norma baharu rakyat Malaysia ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan. Beliau akan memikirkan tentang cadangan itu sama ada beliau dan suaminya akan membuat penghantaran makanan atau membuka restoran pada masa akan datang. Moderator juga secara berseloroh mencadangkan Puan Pavithra untuk menyelitkan pantun dalam video beliau yang akan datang dan DBP bersedia untuk membekalkan buku untuk panduan beliau.

Akhir kata, Puan Pavithra berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang menonton video beliau dan memberikan komen-komen yang positif untuk beliau meneruskan usaha menghasilkan kandungan video yang lebih menarik. Semoga Puan Pavithra menjadi ikon dan contoh kepada yang lain, khususnya dalam bidang masakan dan jati dirinya dalam menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa yang menyatukan rakyat Malaysia.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1045623
    Visit Today : 519
    This Month : 28222
    Total Visit : 1045623
    Hits Today : 1671
    Total Hits : 4292236
    Who's Online : 9
  • Kategori