Judul:       Okong Srikandi Sungai

                                                        Penulis:    Lailah Elok

                                                        Terbitan:  Dewan Bahasa dan Pustaka

                                                        Tahun:       2018     

                                                        Harga:       RM8.00

                                                        Pengulas: Atiqah Abd Rahim

  OKONG Srikandi Sungai mengisahkan perjuangan seorang gadis suku kaum Sungai bersama-sama penduduk Kampung Dalat dalam mempertahankan rumah panjang mereka yang terletak di daerah pedalaman Kinabatangan, Sabah. Gadis yang berani itu bernama Okong dan berusia 13 tahun. Bapa Okong, Pipil merupakan ketua Kampung Dalat yang sangat handal bersilat dan selalu berlatih bersama-sama para pemuda kampung sebagai persediaan menghadapi kumpulan-kumpulan pengait kepala yang kejam. Aktiviti harian yang selalu diadakan di halaman rumahnya membuatkan Okong tidak melepaskan peluang itu untuk berlatih bersilat. Walaupun Okong ialah seorang perempuan, dia berpendirian bahawa jantina bukanlah pengukur bagi mempelajari ilmu ketangkasan persilatan tambahan pula dia merupakan anak sulung yang seharusnya melindungi keluarganya daripada sebarang kejadian yang tidak diingini.

             Lampingai adalah seorang remaja lelaki yang turut berlatih silat dan selalu menyindir Okong dengan mengatakan budak perempuan hanya bermain anak patung dan bermain masak-masak di pondok. Okong yang tidak sanggup mendengar sindiran itu lagi lalu memperlihatkan kehebatannya dengan menendang serta melompat di hadapan semua pemuda di situ. Okong juga menghunuskan senjatanya seakan-akan keris yang diperbuat daripada kayu keruing ke arah Lampingai. Lampingai menjerit kesakitan. Melihat keadaan yang riuh-rendah itu, Pipil meleraikan pergaduhan mereka dan memberi amaran kepada Lampingai supaya tidak memandang rendah terhadap budak perempuan yang menyertai aktiviti mereka lagi. Pipil hanya tersenyum melihat usahanya mengajar anak-anak muda bersilat semakin membuahkan hasil. Riak wajah Okong dan rakan seperjuangannya, iaitu Sumili, Tarungak, Sumping, Lampingai, Mariki, Sibabuamoi dan Maus penuh dengan kesungguhan dan ketekunan dalam mempelajari setiap gerak langkah silat.

            Kedamaian di Kampung Dalat tidak lama apabila kemunculan sekumpulan pengait kepala yang bengis telah mencederakan orang-orang kampung yang tidak berdosa. Pengait-pengait yang bertelinga panjang itu terus menyerang tanpa mengira kanak-kanak atau dewasa. Okong membantu adik-beradik dan ibunya bersembunyi di sebalik semak sementara ayahnya dan pemuda lain menyerang pengait yang sedang mengganas dan menggila itu. Okong juga membantu jiran-jirannya yang cedera dengan memapah dan membawa mereka bersembunyi di sebalik pohon ara. Setelah itu, Okong membawa orang-orang kampung yang terselamat bersama ibu dan adik-adiknya berlari menyembunyikan diri ke dalam hutan. Bapa Okong kemudiannya memberi isyarat agar mereka berundur dan meninggalkan tempat persembunyian mereka.

            Penduduk Kampung Dalat berasa sedih melihat kemusnahan rumah panjang, tanaman dan ternakan mereka. Orang-orang kampung mengambil keputusan untuk berhijrah dengan harapan tidak lagi diburu oleh pengait kepala. Mereka terus bermalam di dalam hutan tersebut. Pada keesokan harinya, penduduk Kampung Dalat bergotong-royong menyiapkan beberapa buah rakit daripada buluh-buluh hutan untuk menongkah arus Sungai Kinabatangan dan berharap dapat mencari penempatan baru. Akhirnya, mereka menemui penempatan yang sesuai dan dinamakan sebagai Kampung Batangan, iaitu bersempena dengan nama Sungai Kinabatangan yang telah mereka lalui untuk sampai ke situ. Kehidupan orang-orang kampung dilimpahi rahmat dengan tanah-tanah yang subur dan memudahkan mereka untuk bercucuk tanam sayur-sayuran dan padi bukit.

            Malangnya, penempatan kedua mereka turut diserang oleh pengait-pengait kepala yang berjaya menjejaki mereka. Kemudian, penempatan baharu dibina lagi pada kedudukan yang lebih tinggi, iaitu di lereng bukit. Okong memberikan cadangan supaya menggunakan teknik perang yang lebih strategik untuk menghentikan serangan pengait kepala. Akhirnya, pengait-pengait kepala itu berjaya ditumpaskan dengan teknik serangan yang dicadangkan dan juga bantuan daripada orang-orang Panglima Gayoh. Okong dan penduduk kampung berasa amat gembira kerana penempatan mereka tidak lagi diganggu oleh pengait-pengait kepala.

            Cerita rakyat Sabah ini bertemakan semangat juang dalam menegakkan hak penempatan rumah panjang. Bagi kebanyakan etnik di Sabah, penempatan rumah panjang bukan sahaja berperanan sebagai tempat tinggal mereka malah aktiviti penanaman dan ternakan di sekitarnya menjadi nadi dalam kehidupan penduduknya. Peranan sesebuah rumah panjang dan keharmonian penduduknya amat penting dalam menjamin kelangsungan hidup bagi kesemua keluarga di rumah panjang tersebut.

           Tanggungjawab seorang ketua kampung juga penting dalam membuat keputusan yang bijak. Contohnya, bapa Okong, Pipil melaksanakan tanggungjawabnya dalam menjaga keamanan rumah panjang dan melindungi penduduknya daripada serangan musuh. Semangat tolong-menolong dapat dilihat apabila penduduk Kampung Dalat saling membantu semasa penghijrahan ke tempat baru. Dalam cerita ini, penulis menggambarkan kehidupan nomad yang biasanya dipraktikkan oleh masyarakat di kawasan pedalaman Sabah. Salah satu sebabnya ialah untuk menjauhkan diri mereka daripada ancaman pengait-pengait kepala.

            Cerita rakyat ini menonjolkan watak utama, Okong sebagai seorang gadis yang berani dan bertanggungjawab dalam melindungi ahli keluarganya dan juga keluarga-keluarga lain. Kemahiran berpedang yang telah dipelajarinya akan digunakan apabila sebahagian pengait kepala cuba mencederakan wanita dan kanak-kanak. Watak antagonis pula ditonjolkan dalam watak pengait-pengait kepala yang digambarkan mempunyai fizikal yang menggerunkan dan gelak tawa yang menakutkan. Konflik dalam cerita ini digerakkan dengan kedatangan pengait-pengait kepala secara tiba-tiba di rumah panjang dan memusnahkan semua harta benda penduduk kampung. Pembaca turut merasai debaran semasa serangan pengait-pengait kepala yang kejam itu terhadap penduduk di rumah panjang.

            Karya penulis Lailah Elok ini mampu menarik perhatian pembaca dengan jalan cerita dan gaya bahasa yang mudah difahami. Penulis turut memperkenalkan dan menyelitkan beberapa perkataan orang Sungai sebagai menghargai warisan bahasa nenek moyang orang Sabah. Penulis menggunakan susunan penceritaan yang teratur dan teknik plot pemerian dengan kesan dramatik di beberapa bab untuk menghidupkan perasan debar kepada pembaca.

            Kekuatan cerita rakyat ini terletak pada mesejnya seperti bertanggungjawab, tolong-menolong, berani dan teguh dalam mempertahankan hak. Penulis menekankan bahawa sifat tidak mudah berputus asa sewajarnya diterapkan dalam diri walaupun ditimpa malapetaka secara bertimpa-timpa. Nilai-nilai murni ini dapat dilihat dalam setiap penduduk Kampung Dalat yang berjuang habis-habisan dalam mempertahankan kemerdekaan rumah panjang mereka.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    119426
    Melawat Hari Ini : 86
    Jumlah Pelawat : 119426
    Hits Hari Ini : 159
    Jumlah Hits : 210995
    Siapa atas talian : 2
  • Kategori