Judul: Bagaimana Saya Menulis: Proses Penciptaan Cerpen

Penyusun: Mawar Safei dan Nisah Haji Haron

Terbitan: Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun: 2017

Harga: RM 25

Pengulas: Diviya Devaraj

Bagaimana Saya Menulis: Proses Penciptaan Cerpen ini amat efektif untuk individu yang baru menceburi dunia penulisan sastera. Buku ini wajib dijadikan sebagai bahan rujukan penting bagi setiap penulis baharu agar dapat menghasilkan sebuah cerpen yang berkualiti. Sebanyak 17 penulis telah menyumbangkan karya mereka bersama cabaran yang ditelusuri oleh mereka dalam menghasilkan sebuah karya yang berkualiti. Setiap cerpen yang dimuatkan dalam buku ini dijadikan paksi perbincangan oleh setiap penulis dari segi latar, perwatakan dan pengalaman peribadi.

Buku setebal 348 halaman ini mengandungi 17 buah cerpen. Cerpen pertama dalam buku ini ialah Ya Allah Dia Menangis oleh Aminah Mokhtar. Cerpen ini berdasakan pengalaman peribadi penulis berkaitan tema perubatan. Penulis menggunakan latar wad ICU untuk menghasilkan cerpennya. Dalam cerpen ini, penulis menganggap dirinya sebagai seorang jururawat yang menyaksikan perebutan jenazah antara isteri dengan keluarga arwah. Penulis memerhatikan ketaatan seorang isteri yang sanggup menjaga suami yang sedang tenat hingga ke akhir hayat tetapi akhirnya hilang hak untuk mengambil mayat arwah suaminya.

Cerpen seterusnya ialah Perlak Emak oleh Faizal Tehrani. Cerpen ini tercipta berdasarkan kenangan penulisnya melihat seni taman negara orang membuatnya untuk mengkaji tentang seni taman orang-orang Melayu yang kian pupus. Cerpen ini dihasilkan dengan penuh emosi menerusi pantun Melayu lama dan hikayat lama. Cerpen ketiga ialah Jiji Moga-Moga Kau Mendengar oleh Jais Sahok. Penulis telah mengadun pengalamannya dalam alam perguruan untuk menghasilkan cerpen ini. Cerpen ini berkaitan peristiwa sedih seorang pelajar pekak yang terdesak memiliki alat bantuan pendengaran yang berharga RM3200 tetapi akibat kehidupannya yang miskin, dia terpaksa menerima hakikat kecacatannya. Pengetua sekolahnya pula, enggan membantu pelajar tersebut walaupun mengetahui situasi yang dialami olehnya. Salah seorang guru dari sekolah tersebut sanggup membantu dan menghadapi pelbagai cabaran demi pelajar tersebut. Melalui cerpen ini, pengulas dapat merasakan kemarahan dan kecekalan yang membara dalam diri guru itu untuk membantu pelajar tersebut.

Cerpen keempat ialah Hijab oleh Kamariah Kamaruddin. Penulis telah menggarap cerpennya melalui pengalaman mengajar di kampus universiti. Penulis tersebut telah menekankan kepentingan memakai hijab dalam kalangan wanita umat Islam. Penulis mendapati masih ramai golongan wanita yang tidak mematuhi undang-undang yang digariskan dalam al-Quran mengenai etika berpakaian. Oleh itu, penulis telah menerapkan isu soal pakaian dan keperluan bertudung yang mewakili semua golongan usia, status, darjat dan pangkat dalam cerpennya. Nyanyi Sunyi oleh Maskiah Masrom merupakan cerpen kelima dalam buku ini. Penulis telah memilih cerita berjudul Amir Hamzah Pangeran dari Seberang sebagai inspirasi untuk mengabdikan dan meneruskan kisah cinta Amir Hamzah dalam karyanya. Penulis menekankan tema cinta dalam karya ini. Sebuah sajak juga dimuatkan dalam karyanya untuk menjadikan ceritanya lebih menarik.

Cerpen keenam ialah Dia dari Penjuru Tahun Lalu oleh Mawar Safei. Karya ini bertemakan persahabatan. Melalui cerpen ini penulis merakamkan penghargaannya mengenai sahabatnya dan menerapkan pengalaman peribadinya dalam cerpen ini. Cerpen ketujuh pula ialah Selirat Derita Pun Terurai oleh Mohd Nazmi Yaakub. Pengalaman penulis yang berada di luar negara, iaitu di Mesir telah digarap dengan isu politik di sempadan Palestin. Cerpen ini berkonsepkan semangat jihad dan penderitaan umat Islam di Palestin. Cerpen ini juga menerapkan sedikit mengenai politik Israel. Cerpen kelapan ialah Kelekatu Bersayap Ungu oleh Muhd Nasruddin Dasuki. Cerpen ini mengisahkan seorang lelaki pemecah batu yang menjual pecahan batu-batu untuk menyara hidupnya. Untuk menjadikan cerpen ini lebih menarik, penulis telah menggunakan lelaki tersebut untuk berkomunikasi dengan kelekatu, iaitu sejenis serangga seperti anai-anai yang bersayap yang menjadi tetamunya. Melalui karya ini, pengulas dapat melihat bagaimana penghayatan penulis terhadap situasi di persekitaranya.

Pusaka Cendana oleh Nisah Haji Haron pula bertemakan undang-undang. Penulis karya ini merupakan bekas penguam. Oleh sebab itu, penulis telah mengadunkan istilah undang-undang dalam karyanya dengan memperagakan kecintaan untuk melestari pusaka yang berharga. Pengulas dapat melihat dan menghayati pentafsiran falsafah tentang budaya bangsa dalam kehidupan seharian kita. Cerpen seterusnya ialah Pak Da Megat Wan Setapa Mek Mak Tuk Bagih oleh Rahimidin Zahari. Penulis telah menjadikan pengalaman kanak-kanaknya sebagai ilham untuk mengarang karya ini. Dalam karyanya, penulis telah menyerapkan mengenai jati diri dan pengalaman kanak-kanak dalam ceritanya. Pengulas boleh menggambarkan elemen mengenai seni budaya tulen dalam karyannya. Cerpen kesebelas ialah Cerita untuk Teman-Teman oleh S.M.Zakir. Cerpen ini juga bertemakan persahabatan. Penulis dalam cerpen ini menganggap bahawa dirinya sebagai seorang ahli silap mata semasa mengarang. Daya imaginasi dalam cerpen ini sangat luar biasa. Cerpen ini mampu membawa daya imaginasi pengulas untuk membayangkan tentang perkara-perkara ajaib disulap daripada realiti.

Cerpen seterusnya ialah Air Mata Orang Kaya oleh Saharil Hasrin Sanin. Penulis telah menggambarkan watak utama dalam cerpen ini yang menghidapi epifora. Oleh itu, konsep “air mata” digunakan dalam cerpen ini berbeza kerana “air mata” yang dicurahkan oleh watak tersebut bukan kerana perasaan gembira atau sedih tetapi akibat sakit mata. Konsep “air mata” yang digunakan telah menarik perhatian pengulas. Selain itu, cerpen Imam oleh Salina Ibrahim juga termuat dalam buku ini. Cerpen ini pula bertemakan keagamaan. Cerpen ini menceritakan mengenai solat Jumaat. Pengulas dapat melihat elemen ilmu yang diterapkan oleh penulis yang mempunyai kecerdasan emosi yang tidak menyakitkan dan melukakan orang lain. Cerpen Lazuardi oleh Samsiah Mohd. Nor juga termuat dalam buku ini. Dalam cerpen ini, penulis menggabungkan pengalaman, pengamatan dan imaginasinya untuk mengarang cerpen ini. Cerpen ini mengisahkan catatan perjalanan seorang gadis dalam menilai erti kehidupan. Penulis juga memaparkan visual mengenai kehidupan segelintir warga emas yang tidak mendapat pembelaan pada hari tua mereka dalam cerpen ini. Pembaca dapat membayangkan kesusahan dan kesulitan yang dihadapi oleh warga emas akibat diabai oleh anak-anak mereka.

Cerpen seterusnya ialah Kelir oleh Siti Jasmina Ibrahim. Dalam cerpen ini, kelir diibarat sebagai televisyen pada zaman dahulu kala. Melalui cerpen ini penulis telah menekankan tentang seni tradisi wayang kulit dan perbandingannya dengan diri manusia. Cerpen terakhir pula ialah Pendedahan oleh Zaid Akhtar. Penulis dalam cerpen ini telah mengaitkan kisah Hang Tuah dengan mewujudkan watak tersebut pada zaman moden. Dalam cerpen ini, penulis hanya mengunakan dua watak dan satu latar untuk mengarang ceritanya. Penulis juga telah mendedahkan isu bahasa Melayu dan sikap para pemimpin yang meremehkan agama.

Kesimpulannya, pengulas benar-benar mendapati buku ini sangat berguna. Bagi penulis baharu, mereka boleh menggunakan buku ini sebagai panduan awal untuk mengarang cerita yang menarik. Cerpen-cerpen yang dimuatkan dalam buku ini juga sangat menarik dan dapat memberi ilham kepada penulis baharu untuk menulis dengan baik.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046016
    Visit Today : 912
    This Month : 28615
    Total Visit : 1046016
    Hits Today : 2989
    Total Hits : 4293554
    Who's Online : 21
  • Kategori