Judul: Lazri Meon Daerah Zeni

Penulis: A. Samad Said

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun terbit: 2019

Harga: RM10

Pengulas: Jaymani Sevanathan

SEMEMANGNYA kita mengenali Sasterawan A. Samad Said atau Pak Samad dengan penulisan novel, cerpen, puisi, kritikan, esei dan drama. Dua buah dramanya ialah Di Mana Bulan Selalu Retak (1966), Wira Bukit (1980) dan Lantai T.Pinkie (1996). Pada masa yang sama, beliau mencipta istilah dekon yang merangkumi deklamasi dan lakon. Sesungguhnya, dekon merupakan wadah atau medium baharu dalam pementasan yang sederhana sifatnya dari segi pencahayaan, kostum, penggunaan set, bilangan watak malah durasinya juga antara 40 minit sehingga satu jam.

Dekon ini juga diperkenalkan oleh Pak Samad adalah untuk memudahkan pelajar memahami novel Daerah Zeni. Pak Samad mendeklamasi dan melakonkan rintihan Lazri Meon sebagai tukang cerita. Lontaran idea dekon oleh Pak Samad juga disambut oleh beberapa pensyarah dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang sedar bahawa genre baharu ini harus diperkenal dan dimantapkan. Ia diangkat sebagai bentuk lakon baharu oleh MAKUM (Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia) melalui Festival Dekon MAKUM yang bermula pada tahun 2001 sehingga kini.

Secara umumnya, Daerah Zeni memiliki 13 bab termasuk novel ciptaan watak utamanya, Lazri Meon. Hal ini bermakna terdapat dua buah novel, satu novel ciptaan Pak Samad dan sebuah lagi adalah ciptaan Lazri Meon. Ia seakan-akan sebuah novel berbingkai. Berkemungkinan besar Pak Samad bertindak sebagai orang surealis. Hal ini adalah kerana terdapat dua buah teks, iaitu teks utama dan teks sampingan dalam Daerah Zeni.

Menurut Mana Sikana (1990 : 21) dalam bukunya Sastera Melayu Moden : Perubahan dan Tamadun, Daerah Zeni suatu eksperimen A.Samad Said  yang sangat berani menentang tradisi  penciptaan  novelnya yang dianuti sejak Salina tetapi pemikiran yang dipokokkan masih merakyat sifatnya.

Monolog Lazri Meon tampaknya lebih mudah ditelusuri dan difahami sekiranya kita membaca Daerah Zeni terlebih dahulu. Novel Daerah Zeni berkisar Zeni, anak perempuan Lazri Meon yang membaca manuskrip bapanya tentang watak Hamdar (yang menjadikan Zeni membandingkan dunia Hamdar dan ayahnya). Hamdar menghuni gerabak keretapi dan mengenang kembali perjuangan sahabatnya yang menentang Inggeris.

Dalam Daerah Zeni, semasa plot bermula, Lazri Meon sudah beranjak tua. Beliau merupakan pengarang yang mula berkarya sejak tahun 1930-an. Manuskrip novelnya ditemui oleh Zeni dalam bakul pakaian lama. Setelah itu, manuskrip tersebut dibaca oleh Zeni, Zedi, Ehran, Dr. Emiliah dan Zirah. Mereka benar-benar terpukau dengan tema, persoalan dan teknik penulisan yang dilihat sebagai krisis hati Lazri Meon setelah kematian isterinya, Fahiyaton dalam sebuah kemalangan jalan raya. Lazri Meon berasa amat bersalah dengan kematian isterinya kerana beliau telah meninggalkannya untuk sebuah pertemuan politik.

Dalam buku Lazri Meon Daerah Zeni, Lazri Meon seorang penulis dan ketua keluarga duduk di sebuah bangku di stesen bas. Dia berhadapan dengan segala peristiwa dan penderitaan. Beliau terkenang akan nasib yang menimpa kedua-dua anaknya, Zedi dan Zeni. Zedi seorang yang lumpuh akibat kemalangan jalan raya manakala Zeni mengalami keruntuhan rumah tangga dan penceraian. Sudut pandangan Lazri Meon sahaja diketengahkan. Monolognya agak bersifat sentimental dan peribadi.

Sebanyak 14 bahagian diketengahkan dalam buku ini. Setiap bahagian memiliki monolog yang agak pendek dan ringkas tetapi ayat yang digunakan bersifat klasik dan mandalam. Setiap perkataan membawa makna. Bagi pengulas, ia merupakan kekuatan Pak Samad yang bijak bermain dengan aksara dan kalimat.

Pengulas gemar mengulang baca bahagian yang keempat. “Kepada yang sudah tiada kita berasa bersalah; kepada yang masih ada, kita berasa bertanggungjawab.” Kata-kata Zeni ini cukup membuat pembaca sedar agar sentiasa belajar untuk tidak menyesal dengan perkara yang sudah ditakdirkan terutamanya kematian. Pada masa yang sama, kita perlu mensyukuri pemberian Tuhan dan berusaha untuk menjaganya dengan baik.

Dalam bahagian keenam pula, Lazri Meon bermonolog, “Pernah kau ingin bercakap kepada hanya dirimu sendiri? Kau sudah terlalu banyak bercakap kepada orang lain, kau lupa kepada dirimu sendiri.” Ayat ini sudah tentunya memberi kesan kepada para pembaca kerana pengulas percaya bahawa kebanyakan daripada kita sememangnya pernah dan sedang melalui pengalaman sedemikian yang akhirnya mengubah kehidupan kita. Satu-satunya cara kita bercakap dengan diri sendiri adalah dengan menulis. Setiap luahan kita dalam bentuk penulisan menjadikan kita lebih kuat untuk hari-hari yang akan datang kerana di penghujung hari, hanya diri sendiri sahaja yang mampu membangkitkan kita setelah jatuh.

Bahagian kesepuluh memperlihatkan Zeni dan suaminya, Mohdi bertikam kata yang menunjukkan rumah tangga mereka sedang melalui konflik. Zeni mengibaratkan kehidupannya bersama Mohdi bagaikan luka dalam cuka manakala Mohdi menganggap Zeni terlalu cepat membuat kesimpulan. “Sejarah juga ada manis pahitnya, berguna tidaknya. Kau sendiri kan tau gunanya sejarah. Manusia boleh menoleh ke belakang belajar dari sejarah …” Penyataan ini memang benar dan rasional. Secara jujurnya, pengulas banyak mempelajari hal-hal kehidupan daripada buku ini. Sejarah menjanjikan pengajaran hidup. Setinggi mana pun seseorang manusia mencapai puncak, sejarah lampaunya tidak wajar dilupakan. Sejarah itulah yang akan mendidik manusia tersebut untuk mara ke hadapan dan tidak mengulangi kesilapan silam. Namun tidak dapat dinafikan, sejarah amat pahit.

Seterusnya, bahagian terakhir dalam dekon ini, iaitu bahagian yang keempat belas, kita dapat melihat Lazri Meon yang sangat khuatir dengan keadaan Zeni lebih daripada Zedi. Lazri Meon sedar akan ancaman yang dihadapi Zeni daripada Mohdi yang dianggapnya membahayakan. Kata Mohdi kepada Zeni: “Aku datang untuk menyedarkan kau. Aku ingin insafkan kau ini dunia – tempat segala-gala tak sempurna. Pagi, petang, siang, malam segala-gala tak sempurna.” Kata-kata Mohdi mendalam dan ada benarnya tetapi perbuatannya pada Zeni benar-benar meresahkan Lazri Meon sebagai seorang bapa.

Kesimpulannya, pengulas benar-benar menghayati setiap kata-kata dan monolog Lazri Meon. Buku ini tidaklah setebal mana tetapi cukup untuk membuat pembaca tergamam dalam diam.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046205
    Visit Today : 1101
    This Month : 28804
    Total Visit : 1046205
    Hits Today : 3629
    Total Hits : 4294194
    Who's Online : 6
  • Kategori