OLEH AZURA HALID

KEGEMILANGAN kerajaan negeri Johor telah diwarisi daripada kegemilangan kerajaan Melaka setelah kejatuhan Potugis. Sultan Mahmud Shah yang melarikan diri ke Johor dan kemudian ke Pahang dan ke Bintan telah meletakkan Johor sebagai sebuah negeri yang disegani. Setelah kemangkatan baginda (1528), kegemilangan pemerintahan Johor dilegasikan kepada anakanda baginda, Raja Alaudin yang menggunakan gelaran Sultan Alaudin Riayat Shah II. Sultan Alaudin Riayat Shah II berjaya membina empayar pemerintahan dan perdagangan di (Johor Lama) yang kini dikenali sebagai Kota Tinggi (1529).

Konflik yang berlaku antara Johor dengan Aceh dan gangguan serangan daripada pihak musuh terutamanya Portugis, tidak mematahkan semangat juang pemerintah Johor untuk mempertahankan kedaulatan, kegemilangan dan kemasyhuran negeri Johor. Beberapa buah kubu pertahanan dibina demi menjadikan Ujung Tanah sebagai sebuah kerajaan yang maju dan makmur. Pemikiran sultan yang memerintah negeri Johor bukan calang-calang. Pada zaman Sultan Ali Jalla Shah II, Johor terus terkenal di Nusantara dan antarabangsa sebagai sebuah pelabuhan yang sangat penting dalam hubungan perdagangan dan diplomatik dunia setaraf dengan pelabuhan Melaka, sehingga Portugis berasa iri hati dan melakukan beberapa serangan membalas dendam (1576-1578). Namun serangan-serangan tersebut menemui kegagalan.

Keagungan Pemikir Johor terhadap Bahasa dan Sastera

Sungguh pun kerajaan Johor berjuang dengan jerih-perih cabaran memajukan dan memasyhurkan Johor sebagai kuasa ekonomi teragung pada era tersebut, namun tidak pula pemerintahnya mengabaikan ketamadunan bangsanya dengan pembinaan jati diri bangsa Johor melalui pengkaryaan agung daripada pemikir intelektual yang sohor. Tun Sri Lanang yang lahir daripada keturunan Tun Muhammad merupakan keturuan cerdik pandai bangsa Johor. Beliau telah melahirkan naskhah agung Sulatus Salatin yang diiktiraf dunia sebagai karya yang lengkap tentang sejarah kegemilangan bangsa Melayu. The Malay Annals ini mendapat perhatian pemerintah dan pemikir Barat seperti Raffles, William Shellabear, Richard Olaf Winstedt sehingga diangkat sebagai tokoh agung bangsa Melayu. Bangsa Johor seawal abad ke-17 telah melahirkan pemikir hebat, anak jati Batu Sawar, Kota Tinggi, Johor.

Pada zaman kegemilangan kesultanan Johor-Riau, telah lahir nama besar seperti Raja Ali Haji (1809-1870). Tokoh ini bukan sahaja terkenal dalam bidang bahasa tetapi juga sebagai sasterawan dan ahli dalam adat resam istiadat Melayu. Raja Ali Haji telah membawa Johor membangun sebagai sebuah pusat penyebaran bahasa, agama dan budaya di Nusantara menggantikan Aceh sebagai pusat penyebaran ilmu ketika itu. Kegemilangan kerajaan Johor-Riau dikenali sebagai zaman kegemilangan persuratan dan kesusasteraan Melayu di Nusantara. Dua karya Raja Ali Haji yang masyhur pada era tersebut ialah Muqaddimah fi Intizam al-Waza’if al-Mulk dan Thamarat al-Muhimmah Diyafah li al-Umara’ wa al-Kubara’ li ahl al-Mahkamah. Kedua-dua naskhah ini merupakan ilmu adat istiadat Melayu dan undang-undang Islam. Kedua-dua kandungan kitab tersebut juga telah dijadikan asas pembentukan Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895. Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor merupakan perlembangaan bertulis yang pertama di Tanah Melayu yang dihasilkan semasa pemerintahan Sultan Abu Bakar. Antara kandungannya ialah dalam tatacara pelantikan raja, pembesar negeri, menteri dan pegawai kerajaan. Pemikiran dan daya intelektual Raja Ali Haji bukan calang-calang sehingga pihak istana sendiri menjadikan beliau sebagai pakar rujuk dalam beberapa perkara yang melibatkan adat istiadat Melayu dan agama Islam. Manakala karyanya yang masih dijadikan bahan kajian dan pembacaan generasi masa kini ialah Gurindam Dua Belas. Gurindam Dua Belas merupakan gurindam yang sarat dengan nasihat dalam segala hal yang berkaitan dengan keluhuran hati budi bangsa Melayu yang merangkumi falsafah tersendiri untuk dijadikan pedoman kepada bangsa Melayu. Manakala karya agungnya Tuhfat an-Nafis telah menjadi bacaan generasi sehingga ke hari ini. Karya tentang sejarah ketamadunan Melayu ini telah diterjemahkan oleh R.O Winstedt pada tahun 1932 di Singapura. Kehebatan beliau kekal sehingga ke hari ini.

Tamadun sesuatu bangsa diukur melalui kedaulatan kerajaannya, kegemilangan pemerintahannya dan keagungan pengkaryaannya. Tiada bangsa dalam dunia ini yang kemajuannya mengenepikan tiga faktor utama ini. Yang paling penting diangkat ialah hasil karya yang bermutu tinggi sehingga diwarisi daripada satu generasi ke generasi seterusnya. Negeri Johor telah membuktikannya semenjak zaman Tun Sri Lanang. Keagungan pengkaryaan ini seiring dengan pembinaan tamadun bangsa dengan penggunaan bahasa jati daripada penutur asal bangsanya. Dalam konteks ini sudah tentulah bahasa Melayu menjadi mauduk utama dalam penyebaran ilmu pada setiap zaman pemerintahan kesultanan Johor.

Johor terus maju dengan gerakan memperkembang bahasa Melayu Johor dan menyebarkan agama Islam. Kedua-duanya berjalan seiring di negeri Johor. Seawal abad ke-16 dan 17 lagi telah terbukti bahasa Melayu (Johor-Riau) terus-menerus diguna pakai dalam pelbagai bidang terutamanya dalam perhubungan diplomatik dan perdagangan antarabangsa. Johor mempertahankan bahasa Melayu (Melaka) dengan penambahbaikan penyerapan bahasa Portugis dalam kosa kata bahasa Melayu. Hal ini bukan menidakkan tentang kehebatan bahasa Melayu, tetapi sebagai usaha pemerintah dan pemikir Johor mengangkat bahasa Melayu setanding dengan kehebatan bahasa penjajah sehingga munculnya bahasa ‘pidgin’(Nor Hashimah Jalaluddin, 2015). Bahasa pidgin merupakan bahasa yang dihasilkan daripada konteks bahasa antarabangsa. Ia juga dikenali sebagai penggunaan dua bahasa atau lebih bagi memudahkan komunikasi antara individu yang berlainan bahasanya. Ia bukan bahasa milik penutur asal kerana ia lahir secara alamiah.

Bahasa Melayu (Johor) ketika itu sangat penting terutamanya dalam usaha ulamak di Johor menyebarkan agama Islam ke kepulauan Nusantara. Penggunaan bahasa, pemikiran sasterawan dan penyebaran Islam berjalan seiring. Seawal tahun 1880-an kerajaan Johor telah melihat kepentingan pendidikan sehingga tertubuhnya Pakatan Belajar Mengajar Pengetahuan Bahasa (PBMPB atau Pa. Ba. Mim. Pa. Ba) yang diasaskan oleh Dato’ Seri Amar Diraja Abdul Rahman Andak dan Ibrahim Munsyi. Dua orang pemikir Johor ini sedaya upaya menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang berdaulat di Johor dan Tanah Melayu walaupun pengaruh bahasa kolonial ketika itu masih kuat dalam kalangan pembesar istana dan pentadbir kerajaan Johor. Pakatan ini menjadi semakin kukuh apabila mendapat sokongan daripada Sultan Ibrahim ibn Sultan Abu Bakar sehingga baginda memberi gelaran ‘diraja’ kepada persatuan ini dengan beberapa kemudahan lain sehinggalah namanya ditukar kepada Pakatan Bahasa Melayu Persuratan Buku Diraja Johor. Antara intipati pakatan ini, ialah pemilihan tulisan jawi sebagai tulisan rasmi bagi bahasa Melayu, penyeragaman ejaan jawi, penyusunan semula sistem tatabahasa bahasa Melayu dan penambahbaikan kosa kata dan istilah bahasa Melayu. Walaupun Abdul Rahman Andak berpendidikan Inggeris, beliau tetap berjuang memperkukuh bahasa Melayu kerana beliau mempunyai kesedaran yang tinggi untuk sama-sama berjuang memajukan bahasa Melayu terutamanya di Johor. Tujuan utama penubuhan PBMPB ini ialah untuk mengkaji dan mempelajari bahasa Melayu agar ia mudah disebarluaskan. Abdul Rahman Andak mahukan bahasa Melayu ini dikuasai pemerintah yang pada ketika itu Johor dikuasai sebahagiannya oleh pihak Inggeris. Bahasa Melayu mestilah mengatasai kekuasaan bahasa Inggeris agar bangsa Johor lebih berwibawa jati dirinya.

Abdul Rahman Andak mula gelisah apabila Onn Jaafar yang menjadi pengarang Warta Malaya ketika itu telah membangkitkan semangat juang memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Onn Jaafar mempertikaikan sikap pentadbir kerajaan Johor yang mengutamakan penggunaan bahasa Inggeris dalam hal pentadbiran negeri dengan alasan memudahkan urusan dengan pihak Inggeris.

Semangat juang Abdul Rahman Andak ini diteruskan oleh Onn Jaafar dalam penyebaran bahasa Melayu di akhbar yang sememangnya sangat kuat mempertahankan kedaulatan bahasa ibundanya. Maka bermulalah era cetak ulang kitab-kitab lama, cetakan baharu buku yang bermutu tinggi dan menubuhkan pejabat bahasa yang besar yang menempatkan pegawai yang mampu memelihara kedaulatan bahasa Melayu. Perjuangan tokoh dan nasionalis Johor inilah yang membawa kepada penubuhan Balai Pustaka pada Jun 1956 sebelum ditukar namanya sebagai Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dalam perkembangan dunia persuratan Melayu, Johor tidak sepi daripada penghasilan mahakarya. Tiada sesiapa pun yang menyangkal akan kewibawaan sasterawan Usman Awang, anak kelahiran Kuala Sedili, Kota Tinggi yang diangkat sebagai pengkarya hebat lewat mahakaryanya dalam penghasilan prosa dan puisi. Karya Usman Awang yang terkenal ialah Tulang-tulang Berserakan (novel), Ke Makam Bonda (puisi), Bunga Popi (puisi), Kekasih (puisi), Untuk Malaya Merdeka (cerpen), Uda dan Dara (drama), Tamu di Bukit Kenny (drama), dan Matinya Seorang Pahlawan (drama). Karya-karyanya juga dijadikan bahan kajian oleh para intelektual. Beberapa karyanya diterjemah ke bahasa utama dunia telah memperlihatkan betapa pentingnya karyanya didokumentasikan untuk tatapan warga dunia dan penyebaran ilmu sehingga ke peringkat antarabangsa. Begitulah hebatnya pemikir anak bangsa Johor ini, yang dinobatkan sebagai penerima S.E.A Write Award (1982) oleh kerajaan Thailand dan penerima Anugerah Sastera Negara (1983) – Sasterawan Negara.

 

Penubuhan Sekolah Agama Johor

Pendidikan agama sangat penting di negeri Johor. Pada awal tahun 1860-an telah muncul beberapa buah madrasah (sekolah aliran agama Islam dan bahasa Arab) di negeri Johor terutamanya di Muar. Sekitar tahun 1872, telah wujud sekolah agama yang ditadbir urus oleh Jabatan Agama Johor. Sultan Johor ketika itu, Sultan Abu Bakar telah menitahkan penubuhan Sekolah Agama Kerajaan Johor dengan perantaraan bahasa Melayu dan percuma kepada semua murid. Murid-murid di negeri Johor mendapat pendidikan sekular pada sebelah pagi di sekolah kebangsaan manakala pada sebelah petang mereka menghadiri sekolah agama. Kerajaan Johor mengambil acuan pendidikan Maktab Othmani di Turki dalam usahanya menubuhkan sekolah agama kerajaan negeri Johor. Bahan pengajaran seperti kitab yang digunakan juga merujuk pada kitab dari Turki seperti Matla’al Badrin yang diterjemah ke bahasa Melayu dengan menggunakan tulisan jawi. Pengasingan dua buah sekolah berlainan aliran ini telah menambahkan nilai pendidikan dan daya keintelektualan murid di negeri Johor.

Pensijilan sekolah agama ini telah mendapat pengiktirafan kerajaan negeri. Murid akan mula memasuki sekolah agama bermula daripada darjah satu sehingga darjah enam. Peratusan minimun sehingga 70% akan melayakkan pelajar melanjutkan pendidikan agama ke Darjah Khas. Pada ketika itu, kelulusan sijil Darjah Khas sekolah agama kerajaan Johor telah melayakkan seseorang diterima bekerja sebagai kadi negeri. Penubuhan sekolah agama inilah yang menjadikan negeri Johor sebagai sebuah negeri yang unik. Keunikannya terletak pada keperhatinan sultannya yang menyintai ilmu yang mahukan penggalakan pendidikan seiring dengan kemajuan ekonomi negeri. Para pembesar dan nasionalis Johor pada ketika itu mahukan bangsa Johor menguasai bahasa Melayu dan Inggeris dan pada masa yang sama mahukan bangsanya mengamalkan ajaran Islam.

Peranan istana inilah yang membuka ruang yang lebih luas terhadap kestabilan ekonomi, sosial, pendidikan dan politik bangsa Johor. Kestabilan politiknya (dengan penubuhan UMNO) telah menjana kekuatan ekonomi negeri Johor. Kemajuan pendidikannya – keseimbangan pendidikan aliran sekular dan agama melambangkan jati diri bangsanya.

Kota Iskandar Mercu Tanda Johor

Pada tahun 1979 Sasterawan Negara, Usman Awang telah melakarkan sebuah puisi bertajuk “Melayu” yang merupakan pemikiran Usman Awang tentang masa depan negerinya.

 

MELAYU

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu

Masihkah tunduk tersipu-sipu?

Jangan takut melanggar pantang

Jika pantang melanggar kemajuan;

Jangan segan menentang larangan

Jika yakin kepada kebenaran;

Jangan malu mengucapkan keyakinan

Jika percaya kepada keadilan.

Jadilah bangsa yang bijaksana

Memegang tali memegang timba

Memiliki ekonomi mencipta budaya

Menjadi tuan di negara merdeka.

(Usman Awang, 1979)

Jelaslah pemikiran sasterawan bangsa Johor ini sangat terkehadapan. Beliau telah menggambarkan kemajuan Johor (khususnya) pada abad ke-21. Penubuhan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) pada tahun 2006 telah menjadikan Johor sebagai tumpuan dunia apabila dengan giatnya telah mengundang para pelabur asing berdagang di Johor Bahru. Hal ini sekali gus telah menyumbang kepada kepesatan ekonomi Johor dalam tempoh lima tahun pertama. WPI ditukar namanya secara rasmi pada 2008 sebagai Iskandar Malaysia dengan harapan kepesatan ekonominya menyumbang kepada pembangunan insfrastukur Malaysia secara keseluruhannya.

Iskandar Malaysia telah melonjakkan ekonomi Johor dan Malaysia keseluruhannya dengan penarikan pelabur asing terutamanya galakkan daripada pelabur China. Projek pembangunan insfrastruktur bandar raya Johor Bahru berkembang amat pesat. Iskandar Malaysia menjadi sebuah bandar bertaraf dunia. Kejayaan ini merupakan kecenderungan daripada pemikir bangsa Johor yang terdahulu.

Cuma yang menjadi tanda tanya kini, adakah Johor akan mengekalkan zaman kegemilangan bahasa Melayu seperti yang dipegang oleh nasionalis lama? Kemasukan pelabur asing sedikit sebanyak mencalarkan penggunaan bahasa Melayu di papan-papan iklan. Kerajaan tempatan belum pernah mengambil apa-apa tindakan terhadap pelabur yang ingkar menggunakan bahasa Melayu dalam urusan perniagaan. Adakah keseimbangan pendidikan aliran Melayu, Inggeris dan agama berjalan seiringan? Adakah sekolah agama kerajaan Johor terhenti setakat pensijilan Darjah Khas? Sedangkan zaman semakin maju dan pendidikan agama sudah menjadi satu keperluan bagi generasi X dan Y. Sudah sekian lama bangsa Johor mengidam sebuah universiti Islam yang unggul agar Johor mampu menyambung legasi pemikiran bangsanya dengan lebih hebat. Siapakah lagi karyawan yang mampu melahirkan karya agung seperti Tun Sri Lanang, Muhamad Said Sulaiman, Usman Awang, dan Zam Ismail? Kepesatan ekonomi di Iskandar Puteri adakah dibina atas kepentingan anak bangsa Johor? Orang Johor dihormati kerana kepimpinan tokoh nasionalisnya yang tegas dengan prinsip dan pendirian memajukan negeri. Semenjak zaman Dato’ Onn Jaafar sehinggalah pemerintahan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Johor tetap jadi Johor.

Pihak istana acap kali turun padang bagi memastikan rakyat memperoleh dan meraih kesenangan dan hak yang sewajarnya. Peranan istana semakin hari semakin bertaring apabila skuad bola sepak JDT mengaum di arena antarabangsa. Jika pasukan bola sepak berjaya dilonjakkan ke pesada dunia, mengapa tidak tamadun Johor keseluruhannya? Alangkan stadium mampu diimarahkan, mengapa tidak negerinya? Pemikir Johor akan terus bercambah dan tidak akan sirna sinarnya jika bangsa Johor sentiasa menjaga kedaulatan tanah yang dipijaknya dan menjunjung langit yang menaunginya.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046687
    Visit Today : 303
    This Month : 29286
    Total Visit : 1046687
    Hits Today : 605
    Total Hits : 4295407
    Who's Online : 20
  • Kategori