OLEH MOHD FAIZAL BIN RUS RZERLI

BAGAI sirih pulang ke gagang, begitulah ibaratnya buat penyandang jawatan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang ke-11, iaitu Prof. Datuk Dr. Awang Sariyan. Pelantikan beliau sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola DBP yang baharu ini berkuatkuasa pada 22 Mei 2020 untuk tempoh tiga tahun. Beliau  menggantikan Prof. Datuk Dr. Mohamed Hatta Shaharom yang telah tamat tempoh perkhidmatannya.

Lawatan Menteri Penerangan Malaysia ke DBP pada tahun 2004.

Prof. Datuk Dr. Awang Sariyan juga sebenarnya bukanlah seorang yang asing lagi dengan DBP. Beliau juga pernah mengemudi DBP dari tahun 2012 sehingga tahun 2016 sebagai Ketua Pengarah DBP yang ke-10.

Sebagai peneraju organisasi bahasa dan persuratan Melayu, beliau banyak merangka strategi perancangan bahasa, sastera dan penerbitan. Beliau telah mengadakan muzakarah untuk mendapatkan pandangan dan buah fikiran cerdik pandai dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu. Dalam usaha ini, beliau telah memperkenalkan program Audit Bahasa yang merupakan satu daripada mekanisme ke arah pengaplikasian bahasa kebangsaan sebaik-baik mungkin di semua peringkat sektor awam dan swasta, bermula dengan jabatan kerajaan.

Beliau juga telah menggerakkan penyediaan Pelan Tindakan Strategik DBP 2011–2015 untuk memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu. Pelan Tindakan Strategik tersebut telah dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu, iaitu YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 13 Julai 2012. Pelan tindakan ini merupakan landasan dan hala tuju DBP dalam memperkasakan bahasa dan persuratan Melayu. Bagi beliau, rancangan ini merupakan sebuah komponen penting dalam proses pembinaan negara bangsa.

Pelancaran Pelan Strategik DBP 2011-2015 oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan, beliau pernah merencanakan program berimpak tinggi seperti Ziarah Bahasa yang melibatkan pemimpin di peringkat kementerian, institusi pengajian tinggi, ketua eksekutif badan berkanun dan swasta. Satu lagi program yang mendekatkan DBP dengan segenap lapisan masyarakat di seluruh negara ialah program Kembara Bahasa. Beliau juga telah mencetuskan tindakan dalam melonjakkan keupayaan penerbitan DBP melalui program Penerbitan Berpakej.

“Segala kekurangan dan kelemahan yang ada, haruslah diperbaiki segera agar DBP akan muncul sebagai organisasi berkesan dan dihormati, terutama dalam menegakkan bahasa dan sastera kebangsaan yang jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan tamadun bangsa”. Begitulah petikan ucapan beliau dalam satu kenyataan media di pejabatnya baru-baru ini.

Majlis sambutan beliau oleh pihak pengurusan tertinggi DBP di lobi Menara DBP.

Ketua Pengarah DBP, iaitu YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran dalam satu kenyataan pula berharap agar pelantikan YBhg. Prof. Datuk Dr. Awang Sariyan dapat melonjakkan lagi usaha DBP dalam pemartabatan bahasa, sastera dan penerbitan di negara ini, sekali gus mengangkat DBP sebagai benteng tamadun negara dan bangsa.

Kami seluruh warga kerja dan karyawan DBP amnya serta sidang editorial Klik Web DBP khususnya merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada YBhg. Prof. Datuk Dr. Awang Sariyan atas pelantikan sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola DBP yang baharu. Semoga DBP terus mekar dalam melakar kejayaan di bawah kepimpinan yang baharu ini.

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1045315
    Visit Today : 211
    This Month : 27914
    Total Visit : 1045315
    Hits Today : 737
    Total Hits : 4291302
    Who's Online : 26
  • Kategori