OLEH AAINAA SYAZWANI BINTI MOHAMAD AMIR HAMZAH

SANA bangunan baharu, sini bangunan baharu! Kawasan perumahan? Macam cendawan. Cantik-cantik reka bentuknya. Yalah, populasi semakin bertambah, pembangunan haruslah seiring. Tempat tinggal merupakan keperluan asas bagi manusia.

Bagaimanakah pula dengan haiwan? Bukankah haiwan juga memerlukan tempat untuk berlindung? Ya, haiwan memerlukan tempat untuk berlindung tetapi bukan semua haiwan membina rumahnya sendiri. Antara haiwan yang membina sendiri rumah mereka ialah semut, serangga kadis, anai-anai, tebuan, lebah, memerang dan juga burung.

Hampir kesemua spesies burung membina rumahnya sendiri. Pernahkah anda terlihat “perumahan mini” mereka? Perumahan mini inilah yang kita panggil sarang. Ambil maklum bahawa bukan semua sarang burung berada di atas pokok!

Contoh sarang burung.

Burung hanya menyibukkan dirinya beberapa hari sahaja dalam setahun untuk membina sarang. Tidak perlu berbulan-bulan seperti manusia. Tetapi, hasil seni binanya sangat unik. Lain spesies lain pula reka bentuk sarangnya. Di Malaysia sahaja, ada 740 spesies burung. Manakala, di seluruh dunia pula, terdapat 18 000 spesies burung! Maksudnya, mungkin terdapat 18 000 manual pembinaan sarang yang Allah telah kodkan pada burung secara genetik mengikut spesies. Hebatnya burung, hebat lagi Allah yang menciptakan!

Burung hebat kerana burung tiada tangan. Manusia ada tangan, memerang ada tangan, semut, anai-anai, tebuan ada banyak tangan untuk membina. Burung hanya ada paruh dan kaki. Ya, paruh inilah yang burung gunakan sebagai tangan dan juga sebagai jarum. Jarum untuk menenun “secawan” sarang. Sesetengah sarang yang dibina adalah sangat kecil dan rumit, manakala ada juga yang sangat besar. Kakinya pula digunakan untuk memegang bahan-bahan binaan sementara badannya digunakan untuk membentuk sarang. Sangat luar biasa!

Sarang burung yang dibuat di celahan pelepah daun.

Selain itu, burung tidak memerlukan banyak latihan. Tiada istilah “practices make perfect” bagi burung. Hal ini adalah kerana burung hanya membina sarang sewaktu musim membiak sahaja. Kadangkala, mereka mengulang guna sarang yang sama selama beberapa tahun. Sarang adalah sangat penting untuk melindungi telur dan membesarkan anak-anak. Ibu burung dan ayah burung tidak memerlukan rumah, tetapi anak mereka perlu membesar dengan selesa dan terlindung daripada ancaman dan bahaya. Begitulah naluri ibu dan ayah, yang sentiasa mahu memberikan yang terbaik untuk anak-anaknya.

Walau bagaimanapun, ada juga burung yang terlalu ringkas pembinaan sarangnya terutama pada spesies burung yang tidak terbang tinggi, burung air dan burung gagak.

Burung Rapang Duit, Burung Tukang dan Burung Merak ialah contoh burung yang tidak terbang tinggi. Mereka hanya mengorek lubang yang cetek di atas tanah untuk bertelur. Kadangkala, mereka akan mencabut dan mengumpul bulu pelepah mereka untuk dijadikan alas meletakkan telur. Burung-burung ini tahu bahawa bertelur di atas tanah adalah berisiko. Oleh sebab itu, sarang dan telur haruslah disamarkan dengan keadaan sekeliling. Anak yang baru menetas juga haruslah mempunyai perkembangan prekosial. Perkembangan prekosial ialah kebolehan anak untuk mencari makanan sendiri supaya mereka boleh meninggalkan sarang sejurus selepas menetas.

Burung air seperti Burung Teratai, Burung Camar, Burung Tetimbul dan Burung Sintar membina sarang akuatik untuk bertelur. Bahan binaan sarang ini  terdiri daripada tumbuh-tumbuhan akuatik yang terapung. Tumbuh-tumbuhan ini membolehkan telur berada di atas air dan terhindar daripada serangan pemangsa darat.

Burung Gagak merupakan pembina sarang yang paling aktif. Sarangnya yang besar memudahkannya kelihatan di tepi-tepi jalan. Gagak membina sarangnya dengan mengumpul ranting-ranting kayu dan melepaskannya di dahan pokok yang telah dipilih sebagai “tapak rumah”. Sebelum ranting-rantingnya cukup untuk dibuat sarang, gagak menumpang di dahan pokok pilihannya.

Burung Belatuk, Burung Raja Udang dan Burung Enggang juga membuat sarang di dalam lubang. Burung Belatuk dan Burung Enggang membuat lubang di batang pokok, manakala Burung Raja Udang pula membuat lubang di tebing sungai. Kadangkala, mereka hanya menggunakan lubang yang telah dibuat oleh burung terdahulu atau lubang semula jadi untuk sarangnya. Walau bagaimanapun, burung-burung ini akan menambah baik sarang tersebut dengan mengalas tempat bertelur dengan tumbuh-tumbuhan. Burung Enggang lebih istimewa! Burung Enggang akan menampal lubang dengan lumpur dan hanya membiarkan “tingkap” kecil sahaja terbuka.  Burung Enggang betina akan mengurungkan dirinya di dalam lubang untuk bertelur dan membesarkan anak selama lebih kurang dua hingga lapan bulan. Tingkap kecil tersebut akan digunakan oleh Burung Enggang jantan untuk menghulurkan makanan kepada pasangan dan anaknya. Tingkap kecil ini juga bertujuan untuk mengelak daripada pemangsa daripada menceroboh.

Sarang berbentuk cawan ialah jenis sarang yang paling klasik dan biasa ditemukan. Antara burung yang membina sarang seperti ini ialah Burung Murai, Burung Pipit dan Burung Perenjak Pisang.

Bahagian luar sarang Burung Perenjak yang dijahitnya.

Burung Murai menenun kemas sarangnya dengan menggunakan rumput dan ranting kecil. Rumput dan ranting kecil ini akan disusun secara bertindih-tindih untuk dijadikan sebagai dasar sarang. Setelah dasar sarang siap dibina, Burung Murai akan masuk ke dalam sarang dan mula menenun helaian-helaian rumput lain ke sisi sarang secara berhati-hati sehinggalah membentuk sebiji cawan. Proses seterusnya, Burung Murai akan terbang ke kolam atau lopak air terdekat untuk mengumpul lumpur. Lumpur akan dipalitkan di bahagian dalam sarang untuk menguatkan dinding sarang setelah rumput dan ranting dimampatkan. Di bahagian luar sarang, Burung Murai akan menampal lumut untuk tujuan penyamaran dan perlindungan.

Tahukah anda labah-labah sangat penting untuk kelangsungan hidup seekor burung? Labah-labah bukan sahaja sumber makanan kepada burung, malah suteranya merupakan elemen yang sangat penting dalam pembinaan sarang. Pastinya anda pernah terlihat Burung Pipit terbang ke hulu ke hilir dari pagar atau bingkai tingkap menuju ke pokok bukan? Sebenarnya, mereka sedang mengumpulkan sutera labah-labah untuk membina sarang. Burung Pipit membina sarangnya di celahan cabang ranting pokok. Mereka menggunakan sutera labah-labah yang melekit sebagai asas pembinaan sarang.

Sarang Burung Perenjak yang dilindungi daun-daun yang dijahitnya.

Terdapat satu lagi spesies burung yang juga istimewa dalam pembinaan sarang. Burung ini ialah Burung Perenjak Pisang. Perenjak Pisang merupakan burung yang sangat kecil; bersaiz antara 10-13 cm. Burung ini biasanya boleh ditemukan di hutan, paya bakau, taman, mahupun kawasan perumahan. Perenjak Pisang akan kelihatan sangat aktif melompat-lompat di celahan tumbuh-tumbuhan sama ada di kawasan berumput dan pokok renek seperti pokok ceri untuk mencari serangga atau larva sebagai makanan. Buah-buahan kecil, manisan daripada buah beri atau biji benih juga menjadi pilihan makanan untuknya. Walaupun tubuhnya kecil, suaranya sangat nyaring menyanyi, sebab itulah burung ini dikategorikan sebagai songbird dalam Bahasa Inggeris. Anda pasti biasa mendengar nyanyiannya walaupun tidak kenal siapakah gerangannya.

Ti-chi ti-chi
kri-ii-ii
 tiu tiu tiu
 tweet-to to-tweet
tzee-tzee-tzee
 preee-yip pree-yip

 Antara spesies Perenjak Pisang yang paling biasa ditemukan di persekitaran kita ialah Perenjak Pisang biasa (Orthotomus sutorius), Perenjak Pisang Leher Hitam (O. atrogularis), Perenjak Pisang Ekor Merah (O. sericeus) dan Perenjak Pisang Kelabu (O. ruficeps). Perenjak Pisang mempunyai ekor yang tegak dan panjang. Perenjak Pisang biasa dan Perenjak Pisang Leher Hitam berwarna kehijauan manakala Perenjak Pisang Ekor Merah dan Perenjak Pisang Kelabu berwarna kelabu. Kesemua spesies burung ini mempunyai mahkota yang berwarna karat.

Burung Perenjak.

Bulan Jun hingga Ogos menandakan kemuncaknya musim pembiakan bagi Perenjak Pisang. Burung ini sangat unik dengan keupayaannya membina sarang daripada daun-daun yang dijahit sehinggakan seorang penyair Bahasa Inggeris, iaitu Rudyard Kipling mengabadikannya dalam sebuah puisi yang bertajuk Darzee’s Chaunt (“ ‘Rikki-Tikki-Tavi’ ” – The Jungle Book). Pada waktu ini, Perenjak Pisang betina akan mula mengumpulkan rumput-rumput halus untuk membuat sarangnya. Namun, sarang tersebut akan dilindungi dengan daun-daun yang bersaiz lebar yang dijahit membentuk seperti bumbung, buaian atau kelongsong. Daun-daun tersebut dijahit dengan cara melubangkan bahagian tepi daun dengan menggunakan paruhnya yang tajam. Sutera labah-labah pula akan digunakan sebagai “benang” untuk menjahit daun-daun tersebut. Benang akan diikat pada bahagian luar daun. Sarang Perenjak Pisang kebiasaannya sangat rendah; lebih kurang satu meter dari aras tanah dan tersembunyi dengan baik. Mungkin dengan kelakuan unik burung ini membina sarangnya, Perenjak Pisang dipanggil Tailorbird dalam Bahasa Inggeris.

Anak Burung Perenjak.

Perenjak Pisang akan bertelur sebanyak dua hingga empat bijj telur. Telurnya berwarna putih kebiruan atau kemerahan serta mempunyai tompokan berwarna merah keperangan. Tempoh pengeramannya adalah selama 14 hari. Burung betina sahaja yang akan menetaskan telur-telur tersebut. Perenjak Pisang jantan dan betina akan bersama-sama memberi makan serta membesarkan anak-anaknya.

 

 

 Dikir Si Darzee
(Rikki-Tikki-Tavi – The Jungle Book)
Puisi Asal: Rudyard Kipling
Diterjemahkan oleh: Aainaa Amir

 

Aku adalah penyanyi dan tukang jahit —
Dua kali ganda kegembiraanku —
Banggaku di langit,
Banggaku di rumah yang aku jahit–
Ke atas ke bawah, aku menenun sambil bernyanyi — rumahku ku tenun dan ku jahit
 
Nyanyilah kepada anak-anakmu lagi,
Ibu, oh angkatlah kepalamu!
Hapuskanlah kejahatan yang menimpa kita,
Kita akan mati di taman ini.
Keganasan yang bersembunyi di balik mawar itu lemah – humbankannya ke lembah dan biarkan ia mati!
 
Siapakah yang telah menyelamatkan kita, siapa?
Beritahuku sarang dan namanya.
Rikki, yang berani, yang benar,
Tikki, dengan bola mata yang berapi,
Rik-tikki-tikki, yang bertaring gading, si pemburu dengan bola mata berapi.
 
Ucapakan terima kasih kepadanya dengan caramu wahai burung,
Tunduklah dengan kembangkan ekormu!
Pujinya dengan bibit-bibit Burung Perindu Malam –
Jangan, biar aku yang memujinya!
Dengarkan! Aku akan memuji si Rikki yang berekor botol dan merah bola matanya dengan laguku!
(Tiba-tiba Rikki-tikki menyampuk, dan keseluruhan lagu tadi hilang.)

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046345
    Visit Today : 1241
    This Month : 28944
    Total Visit : 1046345
    Hits Today : 4094
    Total Hits : 4294659
    Who's Online : 13
  • Kategori