OLEH ATIQAH ABD RAHIM

FESTIVAL Cempaka 2019 anjuran Kolej Cempaka, iaitu salah sebuah kolej kediaman di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah mengadakan Pertandingan Tarian Tradisional bertempat di Dataran Cempaka pada 26 September 2019. Pertandingan ini merupakan salah satu aktiviti yang diadakan sepanjang festival ini berlangsung, bermula pada 21 September 2019 hingga 5 Oktober 2019.

Tarian kreatif etnik Kenyah

Pertandingan Tarian Tradisional telah disertai oleh beberapa buah kolej kediaman lain seperti Kolej Bunga Raya, Kolej Tun Ahmad Zahidi, Kolej Alamanda dan Kolej Cempaka sendiri. Pertandingan ini mendapat sambutan hangat daripada pelajar-pelajar kolej dengan sokongan padu telah diberikan oleh para penyokong mengikut kolej masing-masing.

Tarian kreatif Orang Ulu dan Orang Lun Bawang

Kumpulan pertama dari Kolej Alamanda mempersembahkan tarian kreatif Orang Ulu dan Orang Lun Bawang yang menggambarkan suasana para petani membanting tulang di sawah padi dan bekerja di ladang pertanian. Mereka menjalani dan menikmati kehidupan yang gembira walaupun kepenatan setelah seharian bekerja. Kumpulan kedua dari Kolej Bunga Raya mempersembahkan tarian kreatif suku Bajau Laut di Semporna, Sabah, iaitu ketika para nelayan lelaki turun ke laut mencari rezeki. Tarian ini menggambarkan kegiatan maritim yang dijalani oleh para nelayan di situ.

Tarian kreatif suku Bajau Laut

Kumpulan seterusnya adalah dari Kolej Cempaka yang mempersembahkan tarian topeng yang terkenal dalam kalangan masyarakat Iban pada zaman dahulu untuk menakutkan kanak-kanak yang nakal. Tarian topeng berwajah manusia hodoh ini dikatakan dapat mengimbas kembali memori zaman kanak-kanak yang penuh dengan pantang dan larang daripada ibu bapa mereka dan orang tua di rumah panjang. Kumpulan terakhir adalah dari Kolej Tun Ahmad Zahidi yang mengambil inspirasi tarian kreatif etnik Kenyah yang menggambarkan kegembiraan kehidupan mereka di hutan, sungai dan sekitarnya. Keharmonian dan kegembiraan rutin harian dari pagi hingga petang telah diterjemahkan dalam bentuk tarian yang begitu memukau para hadirin.

Tarian kreatif etnik Iban

Pertandingan Tarian Tradisional ini telah memperkenalkan keunikan tarian kreatif etnik-etnik di Borneo seterusnya memberi peluang kepada pelajar untuk meraikan kepelbagaian budaya di Malaysia, khususnya di Borneo. Melalui pertandingan ini, pelajar-pelajar dapat mengetengahkan bakat mereka selain mengisi masa terluang dengan hiburan yang bercirikan tempatan.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1045883
    Visit Today : 779
    This Month : 28482
    Total Visit : 1045883
    Hits Today : 2543
    Total Hits : 4293108
    Who's Online : 10
  • Kategori