Oleh HAFIZUL ADNEN

SEIRING dengan pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai Kota Buku Dunia menjelang tahun 2020, turut menyusul ialah tanggungjawab yang berat bagi merapatkan jurang masyarakat Malaysia dengan buku. Oleh yang demikian, cabaran pertama yang perlu diatasi terlebih dahulu bukan untuk menggalakkan masyarakat supaya menyentuh, membaca dan membeli buku, sebaliknya menarik tumpuan dan mendorong mereka untuk mendekati buku. Walaupun realitinya perkara ini bukan satu kerja yang mudah untuk berbuat demikian dalam suasana industri buku negara ini, tetapi bagaimana sesebuah buku dapat memikat hati bakal pembacanya?

Persepsi buku sama seperti manusia, pandangan pertama itu penting walaupun sering kali kita diingatkan supaya jangan menilai seseorang daripada sifat luarannya. Hakikatnya pandangan pertama itulah yang mewakili kualiti dan keunggulan yang ada pada sesebuah buku. Buku yang laris di pasaran bukan sahaja bergantung pada reputasi dan kredibiliti penulis serta kandungannya, malah reka bentuk kulit buku turut memainkan peranan yang signifikan bagi peningkatan jualan dan merancakkan pemasaran dalam industri penerbitan buku.

Apabila rak dalam kedai buku dipenuhi dengan buku dan terdapat penulis yang tidak diketahui, maka kulit depan buku harus menyediakan tarikan visual bagi mengumpan pembaca. Bagi sesetengah orang awam yang jarang membeli buku dan kesuntukan masa, mereka akan mencapai buku pertama yang mampu menarik perhatian mereka melalui kulit depannya dan jika kandungannya tepat dengan citarasa mereka, buku tersebut berpotensi untuk dibawa pulang.

Kreativiti reka bentuk kulit depan ialah salah satu kunci dalam kejayaan sesebuah buku. Elemen tersebut tidak harus dipandang ringan kerana ia merupakan faktor pelengkap yang mempengaruhi jualan dan membawa kepada pemasaran yang berjaya. Hal ini kerana, ada pembaca menggunakan reka bentuk kulit depan buku sebagai satu faktor genting dalam membuat keputusan untuk membeli sesebuah buku atau sebaliknya.

Umumnya, reka bentuk kulit depan buku merangkumi susunan dan jenis teks, imej atau objek dan pemilihan warna yang bersesuaian pada kulit buku. Prinsip reka bentuk ini turut dijelaskan oleh Cat Yampbell dalam artikel Judging A Book By Its Cover: Publishing Trends In Young Adult Literature yang membahagikan kepada tiga bahagian, iaitu kepentingan warna, objek dan teks pada kulit buku. Cat mengelaskan warna kulit depan mengikut isi kandungan yang terdapat dalam sesebuah buku. Contohnya, kulit yang berwarna putih sinonim dengan genre motivasi, kuning pula untuk keagamaan, hijau untuk sains dan matematik, biru untuk komputer dan teknologi, merah untuk perubatan dan hitam untuk biografi dan memoir. Sains fiksyen, seram dan fantasi biasanya mempunyai latar belakang hitam atau gelap. Manakala untuk genre kraf, hobi dan kediaman lebih sesuai dengan warna hijau untuk kulit buku. Menurutnya lagi, pemilihan warna yang tepat penting untuk klasifikasi buku dan menimbulkan serta mempengaruhi selera pembaca. Selain itu, beliau turut menekankan imej atau objek pada kulit buku yang lazimnya menjadi elemen pertama yang dapat menarik perhatian pembaca yang berpotensi untuk pembaca mendekati buku tersebut. Tegas beliau, “kedua-dua muka depan dan blurb harus memancing pembaca supaya membeli buku. Sekiranya ia gagal sampai kepada pembaca, buku akan menghilang dalam beratus-ratus yang lain sehingga tidak diterbitkan lagi”.

Di samping itu, jenis, struktur dan susunan kulit buku turut menjadi satu karakteristik dalam pengelasan buku. Buku dengan tajuk teks yang berada dalam petak, tidak mengira warna, cenderung untuk diklasifikasikan sebagai “perundangan” dan buku dengan landskap fotografi besar cenderung kepada topik “pengembaraan”. Corak ini berterusan kepada kategori yang lain, seperti buku berkenaan masakan dan makanan dengan imej makanan yang memenuhi seluruh muka depan, biografi dan memoir pula menampilkan gambar individu atau tokoh, manakala buku teks dan rujukan pula mengandungi satu warna.

Kulit depan bukan sahaja dapat mempengaruhi persepsi buku bahkan berperanan sebagai halaman pertama kisah dalam buku itu sendiri kerana ia menyampaikan gaya dan mood untuk kandungan di dalamnya kepada pembaca. Contohnya, kulit depan yang gelap dengan bayang-bayang dapat mencadangkan kisah seram, sementara kulit depan yang cerah dan putih dengan imej awan dapat mencadangkan bahawa ia berkenaan motivasi.

Kulit buku antara mekanisme dan aset pemasaran terbaik yang dapat dilaburkan dan dimanipulasi oleh penerbit kerana kulit buku diperlukan untuk pengiklanan dalam laman sesawang, media sosial dan sudah tentu pada fizikal buku itu sendiri. Kedai buku sering menayangkan buku dengan kulit depannya mengadap pembaca menjadikannya sebagai elemen pertama yang dilihat oleh pembeli. Imej pada kulit buku harus bertindak seperti teaser dan bukan seperti spoiler. Reka bentuk kulit yang efektif akan membantu menyalurkan maklumat kepada pembaca tanpa mendedahkan setiap perincian. Hal ini kerana, muka depan dapat menyampaikan secara langsung (tajuk, lukisan, gambar) dan tidak langsung (warna, bahan muka depan) maklumat berkenaan kualiti dan kandungan yang terdapat dalam sesebuah buku.

Terdapat beberapa kajian yang membuktikan bahawa buku dengan grafik kreatif, gaya huruf yang menarik perhatian dan kulit depan yang memikat mampu mempengaruhi jualan. Menurut kaji selidik daripada Verso Digital (Januari 2010), muka depan buku berada dalam lima faktor utama yang mempengaruhi pembelian sesebuah buku. Reputasi penulis (52%) mendahului senarai tersebut, manakala muka depan buku menduduki tempat kelima (22%) dengan didahului oleh cadangan peribadi (49%), harga (45%) dan ulasan buku (37%).

Kepentingan kulit depan buku dikukuhkan lagi melalui kajian oleh d’ Astous et al., dalam artikel Factors Influencing Readers’ Interest in New Book Release: an Experimental Study (2006) dengan menyelidik impak daripada lima faktor kepada tarikan pembaca dalam penerbitan buku baharu. Lima faktor tersebut ialah reputasi penulis dan penerbit, daya penarik pada kulit buku, keupayaan kulit depan mewakili kandungan buku dan jenis buku. Hasil kajian mereka menunjukkan bahawa tiga faktor pertama (termasuk daya penarik kulit buku) mempunyai impak yang signifikan kepada tarikan pembaca dan dapat digunakan untuk mempengaruhi minat individu dalam pembelian buku baharu.

Dixon dan Bortolussi dalam Approach and Selection of Popular Narative Genre (2005) pula telah membuktikan dalam kajian mereka bahawa pembaca dapat mengenal pasti genre buku dengan mudah, iaitu hanya menilai muka depannya sahaja. Selain dapat menyampaikan genre, pembaca juga sedikit sebanyak memperoleh gambaran awal berkenaan kandungan, karakter dan harga buku. Berdasarkan maklumat ini, kulit buku menjadi faktor pemilihan kepada pembaca dalam membuat pembelian.

Kulit depan yang dimanifestasikan dengan baik merupakan jaminan pertama untuk pembaca memiliki buku tersebut adalah berkualiti dan berbaloi untuk dibeli, baik daripada segi kandungan mahupun penyampaian. Karakteristik yang ada pada bahagian pertama anatomi buku ini dapat menjauhkan atau mendekatkan pembaca kepadanya. Kulit depan yang buruk dengan imej yang pecah, teks yang tidak disusun dengan baik dan seumpamanya mencadangkan kepada pembaca bahawa kualiti yang sama terdapat pada bahagian dalam buku tersebut dan sebaliknya.

Industri penerbitan buku di negara ini juga tidak terlepas daripada kelemahan reka bentuk kulit buku. Ada sesetengah buku yang kandungannya tidak selari dengan reka bentuk pada kulit buku dan kurang kreativiti. Hal ini secara tidak langsung mempengaruhi faktor jualan dan pemasaran buku. Bertambah malang buku yang mempunyai kandungan berkualiti dirosakkan oleh kulit depannya hingga menyebabkannya terabai dan hilang daripada radar pembaca sasarannya.

Reka bentuk yang kurang menonjol, buruk dan mengelirukan akan berhadapan masalah untuk menjadi daya penarik dan menyampaikan maklumat awal kepada pembaca kerana kulit buku tersebut bertindak sebagai penghubung pertama kepada mereka. Malah ada buku yang warna tajuk teksnya hampir sama dengan ton warna kulit buku. Perkara ini termasuklah teks yang halus dan jenisnya yang tidak bersesuai dengan tema buku. Aspek ini menyebabkan tajuknya tidak dapat dibaca dengan jelas walaupun dalam jarak dekat dan gagal menarik perhatian mata pembeli.

Oleh itu, reka bentuk kulit depan buku merupakan salah satu aspek terpenting dalam pemasaran sesebuah buku. Pengunjung di mana-mana kedai buku pasti akan ditarik oleh sejumlah tenaga kreatif yang terdapat pada sesebuah buku. Sekiranya kulit depan kelihatan tidak profesional, ia berpotensi menjadi buku yang tidak mencapai sasaran jualan. Keharmonian antara teks, imej dan warna dapat menghasilkan “medan magnet” kepada sesebuah buku kerana ketiga-tiga elemen ini membentuk komunikasi pertama yang sampai kepada pembaca atau pembeli. Tanpa kelebihan tersebut, buku kurang istimewanya dalam komunikasi visual dan pengiklanan. Perlu diingat bahawa tugas untuk menghasilkan kulit depan buku yang menarik dan kreatif bukanlah bertujuan untuk mencapai sasaran jualan semata-mata. Buku ialah medium untuk berkongsi dan menyampaikan ilmu, pengalaman dan banyak perkara berfaedah. Sekiranya tidak dipromosikan dengan baik melalui strategi yang betul, idea penulis dan mesej dalam buku gagal untuk sampai kepada orang awam.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    127834
    Melawat Hari Ini : 62
    Jumlah Pelawat : 127834
    Hits Hari Ini : 109
    Jumlah Hits : 229445
    Siapa atas talian : 2
  • Kategori