Oleh NORJANAH YUSOF

PROGRAM “Secangkir Kopi” merupakan bicara karya berkonsepkan santai sambil minum dan diselitkan dengan nyanyian lagu puisi. Program yang dilaksanakan sejak tahun 2016 ini khusus membicarakan buku baharu karya penulis Sabah. Sehubungan dengan itu, pada 8 Oktober 2018, Dewan bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS) telah mengadakan program ini di Dewan Pameran Kompleks Karamunsing, Kota Kinabalu. Program ini dilaksanakan sebagai pengisian acara Pesta Buku Borneo 2018 yang diadakan dari 5 hingga 9 Oktober 2018 dan bersempena dengan Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan 2018.

Datuk Jasni Matlani membicarakan karya beliau yang berjudul, “Kumpulan Puisi Kembara Kayangan”.

Karya yang dibicarakan ialah buku yang terbit mulai Jun 2018 yang diusahakan oleh Unit Penerbitan, DBPCS. Kali ini, dua buah buku karya penulis Sabah dibicarakan, iaitu Hari-hari terakhir di Jesselton, karya Ruhaini Matdarin dan Kumpulan Puisi Kembara Kayangan, karya Datuk Jamdin Buyong. Novel Hari-hari terakhir di Jesselton dibicarakan oleh Prof. Madya Dr. Hajah Asmiaty Amat, manakala Kumpulan Puisi Kembara Kayangan dibicarakan oleh Datuk Jasni Matlani.

Ruhaini Matdarin antara penulis muda yang prolifik di Sabah. Beliau juga pembimbing dan mentor bagi penulis cilik sejak tahun 2013. Karya beliau banyak memenangi pengiktirafan, seperti Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan Hadiah Sastera Kumpulan Exxonmobil. Ini merupakan petanda bahawa karya beliau mempunyai kekuatan sama ada dari sisi teknik ataupun muatan pemikiran serta nilai untuk dimanfaatkan. Novel Hari-hari terakhir di Jesselton membicarakan sekumpulan manusia yang diwakili oleh Kelab Bangsawan Seri Melati yang diketuai oleh Razak diundang oleh keluarga Sharif Hamid untuk membuat persembahan di Jesselton. Cerita berlegar dengan memfokuskan beberapa watak bangsawan. Novel ini mengetengahkan nilai moral seperti tanggapan terhadap anak wayang, iaitu harga diri wanita, terutama anak wayang atau anak seni, tidak semuanya menggunakan aset yang dimiliki untuk kepentingan diri walaupun memang ada yang berbuat demikian semata-mata untuk kesenangan dan mempertahankan identiti bangsa peribumi. Novel ini telah mengangkat nilai sejarah dan menjadikannya sebagai perkara yang mampu dijadikan bahan untuk mengubah perspektif masyarakat masa kini.

Jamdin Buyong merupakan penyair besar Sabah dan Malaysia. Karyanya bukan sahaja merakamkan hal yang berunsur kerohanian, alamiah, peribadi, catatan perjalanan ke pelbagai negara seperti Kazakhstan, Bosnia-Herzegovina, Turki, Indonesia dan sebagainya, malah yang lebih penting, turut menyerlahkan kepekaan penyair terhadap sejarah. Beliau melihat sejarah dalam karya puisinya, iaitu melihat atau memunculkan sejarah dalam makna baharu. Kumpulan Puisi Kembara Kayangan memuatkan 119 buah puisi yang melakarkan perjalanan diri atau perjalanan rohaniah penyair mencari erti keutuhan sejarah bangsanya, dengan tema pengabdian semangat cinta akan tanah air, perjalanan sejarah Melayu Nusantara, dalam konteks hubungan kental Semenanjung dengan Sabah. Mesej yang dibawa menyentuh soal sosiobudaya, ekonomi, sejarah tempatan dan antarabangsa, politik tempatan dan antarabangsa, agama dan cinta. Beliau turut mengangkat tema rasa penyatuan dan persahabatan yang memancarkan nilai moral bangsa dan negara. Buah tangan Jamdin Buyong ini diinspirasikan untuk mencari kebenaran tentang rahsia alam maya bagi kepentingan bangsa dan manusia sejagat.

Peserta mengambil peluang untuk bertanya kepada penulis dalam sesi soal jawab.

Antara objektif program ini termasuklah mempopularkan penulis Sabah, menggalakkan kegiatan bicara buku, mengangkat karya penulis Sabah melalui medium bicara, dan memartabatkan serta melestarikan bahasa kebangsaan. Acara ini juga diselitkan dengan persembahan lagu puisi oleh Wan Safri Oyong.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1045227
    Visit Today : 123
    This Month : 27826
    Total Visit : 1045227
    Hits Today : 450
    Total Hits : 4291015
    Who's Online : 19
  • Kategori